Isnin, 28 September 2009

Kopi O Keras Berasap 6 : Sehangat Lemang Di Laman Rumah!

Sepatutnya sehari sebelum lebaran sambil menunggu dan membuat jangkaan bila Ramadhan berakhir dan Syawal menjelma, telefon bimbit aku menerima satu pesanan ringkas dari sebuah syarikat telekomunikasi gergasi (gergasi biasanya berwatak jahat). Pesanan ringkas tanpa rasa bersalah yang mengatakan aku tidak boleh menghantar dan menerima pesanan ringkas pada malam itu. Pada mulanya aku tidak kisah kerana dalam suasana hujan renyai-renyai, aku lebih memikirkan dapatkan solat terawikh dilaksanakan pada malam itu atau malam semalam adalah solat terawikh terakhir bagi 1430H. Rupa-rupanya aku terpilih untuk merasa bahana sebuah syarikat gergasi yang bergerak seperti siput b*b*. Apa yang lebih pelik, aku dapat terima pesanan ringkas tetapi aku tidak dapat membalasnya. Aku hanya dapat berbuat demikian 36 jam kemudian. Cuba bayangkan apa reaksi saudara dan sahabat yang menghantar pesanan ringkas tetapi tidak menerima sebarang balasan. Aku benar-benar marah kerana aku membayar perkhidmatan yang aku gunakan tetapi aku dilayan seperti pelanggan yang tidak bermakna. Apakah tanggungjawab sosial syarikat gergasi siput b*b* ini? Pernahkah syarikat ini utuskan pesanan ringkas meminta maaf kerana 'kebengongan' juruteranya berhadapan dengan masalah kesesakan begini? Ini bukan kali pertama berlaku dan wang yang kita bayar untuk perkhidmatan ini lebih rela mereka gunakan untuk menaja kumpulan penyanyi sesat dari luar negara dan bukannya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk kita!

Celcom anda memang gergasi siput b*b*!

Khamis, 17 September 2009

Si Kerian : Catatan Rindu III

Si Kerian tetap menggoda seperti seekor ular yang merenung tepat ke mata anda. Namun penyakit 'gila'nya semakin teruk. Selain marah hingga melangkau tebing dan memusnahkan apa saja yang menghalang, Si Kerian juga 'pemakan manusia'. Sepanjang aku berjiran dengan Si Kerian, aku sudah melihat paling tidak tiga kejadian membuktikan Si Kerian adalah puaka! Tanpa sebab dan tanpa diketahui Si Kerian mahukan nyawa manusia. Si Kerian pura-pura menggoda dan kemudian merampas nyawa manusia yang telah terpesona dengan godaan itu. Apakah yang sudah berlaku? Si Kerian sudah sukar dikawal lagi - gila dan puaka, marah dan pemusnah! Si Kerian pemilih. Mangsanya adalah orang luar yang terpesona dengan liuk tubuhnya yang licin seperti ular itu. Kata orang tua, jambatan besi yang merentasi Si Kerian adalah sempadan. Tidak pernah sekalipun dia meragut nyawa mangsa yang menikmati tubuhnya di bahagian timur. Setakat yang aku tahu mangsanya disebelah barat. Dua remaja Cina, seorang lelaki Cina separuh umur dan paling akhir budak Melayu berusia dalam lingkungan 5 tahun. Si Kerian tidak menggigit, apa lagi memamah. Cuma Si Kerian ingin menyimpan tubuh mereka buat beberapa hari. Biasanya apabila berlaku seorang lelaki tua akan membantu; memujuk dan merayu agar Si Kerian menunjukkan simpati. Bebaskan mereka. Biar tubuh yang sudah berwarna pucat dan keputihan itu dapat dikuburkan. Si Kerian bukan kubur dan kerja Si Kerian bukan menyimpan mayat manusia!

Kini Si Kerian semakin uzur. Dadanya dikekah dan dirobek jentera. Tubuhnya tidak lagi berkilau menggoda. Si Kerian meraung dan aku pasti tiada siapa mendengar raungan itu kecuali aku kerana aku adalah jiran dan sahabatnya!

Rabu, 16 September 2009

Si Kerian : Catatan Rindu II

Memang Si Kerian seperti gadis pingitan yang kuat menggoda dengan gerak halusnya. Umpama perawan yang mendedahkan seluruh tubuhnya, dia terus menggoda saban hari. Setiap detik godaan itu tidak dapat ditolak, malah Si Kerian mahu kami terus meneroka dirinya. Si Kerian adalah makhluk dan sudah pasti sesekali Si Kerian marah dan marah itu kadang kala sukar menduga tahap kemarahannya. Pernah sekali Si Kerian buat perangai. Dari cantik, Si Kerian berubah menjadi hodoh. Si Kerian benar-benar pongah! Marah Si Kerian menyebabkan kami lari meninggalkan kawasan rendah dan aku sekeluarga biasanya akan ke masjid kerana kedudukan masjid depan rumah itu di atas bukit kecil. Jadi dari tebing masjid, kami sekeluarga dapat melihat bagaimana kemarahan Si Kerian, meratah dinding, pintu, pagar, segala peliharaan kami, pasu bunga dan apa saja yang menghalang. Si Kerian benar-benar tunjuk gila! Tahun 1999 merupakan tahun paling gila Si Kerian. Malah aku rasa tahap gila Si Kerian tahun itu tidak pernah aku tengok selama berjiran dengannya. Rumah kami akhirnya hanya nampak bumbung. Tidak pernah Si Kerian marah begitu sekali. Biasanya hanya hanya setakat lutut atau paling kuat bawah pinggang Tetapi Si Kerian marah betul kali ini. Entah di mana salahnya. Saat itulah koleksi majalah yang aku kumpul selama ini hanyut begitu saja. Aku tidak menangis kerana mak dan bapak aku menangis melihat kerosakan akibat amarah Si Kerian!

Selasa, 15 September 2009

Si Kerian : Catatan Rindu I

Entah kenapa akhir-akhir Ramadhan ini aku begitu merindui sungai yang telah sebati dengan jiwa aku - dalam blog ini aku panggilnya Si Kerian. Aku benar-benar merindui detik sungai ini masih lagi memberi khidmat yang tidak terkira. Sebenarnya aku tinggal di Kampung Bukit Bertam yang bersempadan dengan Pekan Mahang. Kedua-dua tempat ini dipisahkan oleh 'si ular yang muda dan cantik', iaitu Sungai Kerian. Bukit Bertam berada dalam negeri Perak dan Pekan Mahang dalam negeri Kedah. Sebenar isu perbezaan antara negeri tidak pernah wujud kecuali suatu ketika dahulu (aku tidak pasti tahun berapa) apabila negeri Perak berhari raya sehari awal daripada negeri Kedah. Saat itu perbezaan antara dua buah negeri amat terasa walaupun kami hanya dipisahkan oleh 'si ular yang muda dan cantik' ini. Yang tua masih mahu meneruskan puasa dan yang muda mahu berhari raya. Jadi agak kelam kabut hari raya tahun itu.

'Si ular yang muda dan cantik' ini hanya sepuluh meter dari rumah aku, jadi keakraban antara kami memang sudah lama terbina.Paling tidak dalam sehari aku mengunjungi sungai itu 3 kali dan biasanya kunjungan aku lebih dari itu. Pagi sebelum ke sekolah, tengah hari setelah pulang sekolah dan waktu petang. Si Kerian begitu kuat berperanan dan di setiap pangkalan suasana begitu meriah dan penuh gosip dan gelak ketawa. Air jernih hingga ternampak kuku kaki di dalam air. Sejuk mencengkam tulang dan kadang kala menggigil hingga menimbulkan ketawa. Airnya mengalir sederhana laju. Di tebingnya penuh dengan rumpun buluh, tebrau, rembia, kelempong, bebaru, keladi, mengkuang, riung. Muism kering menyebabkan beberapa tompok pantai putih terbentuk dan kemudian menjadi medan bola sepak pantai. Si Kerian menyediakan makanan yang mewah buat kami. Tengas, lampam, pipi merah, terbul, tebal sisik, pucuk pisang, baung, udang galah dan keli sungai. Malah kadang kala kami terpesona dengan kisah ikan besar yang tidak lut di panah senapang besi kerana ketebalan sisiknya. Si Kerian juga mengembangkan kisah cinta remaja. Bertemu di sungai, malu-malu. Lelaki berseluar pendek dan perempuan berkemban tetapi aku tidak pernah dengar kisah lahirnya anak-anak di bawah pokok atau di tepi tong sampah seperti sekarang. Mandi bersama dan keindahan itu sudah tidak pernah aku lihat lagi sekarang!

Jangan hairan jika ketika itu sesiapa saja akan tanak nasi sebelum megunjungi Si Kerian. Bawa sebatang jorang batang bertam dan pulang ke rumah dengan beberapa ekor ikan yang enak jika dibakar begitu saja. Guna umpan nasi ( campuran nasi, kacang goreng dan serbuk kunyit ) yang mampu menggoda nafsu tengas atau lampam. Si Kerian punca rezeki pemberian Allah. Dari hulu pencari rotan, buluh dan berbagai hasil hutan akan bina rakit untuk membawa keluar hasil tersebut. Si Kerian tidak pernah marah, malah reda. Dia rela dadanya di redah demi memberi rezeki kepada penduduk.

Si Kerian, aku memang merinduimu!

Ahad, 13 September 2009

Kita Dibohongi Mereka!

Lewat petang kelmarin, sambil menunggu waktu berbuka dan kebetulan menonton televisyen bersama puteri-puteri aku, kami melayan dokumentri mengenai serangan ke atas WTC. Dokumentri ini memuatkan rakaman oleh saksi kejadian dan selama dua jam itu (kecuali semasa berbuka dan waktu selepasnya) banyak persoalan yang timbul dalam fikiran aku termasuk soalan-soalan yang dikemukakan oleh puteri-puteri aku. Setelah aku renung kejadian ini dari sudut pemikiran aku aku dapati bukan susah untuk menyerang dan menjatuhkan negara yang dikatakan sebuah kuasa besar ini. Mungkin kerana gah pada nama membuatkan orang lain fikir adalah sesuatu yang mustahil untuk menyerang negara Uncle Sam ini. Tetapi jika anda lihat dalam masa dua jam itu dua buah kapal terbang telah merempuh dua bangunan yang menjadi ikon negara tersebut. Bagaimana mungkin terjadi? Kenapa tiada langsung alat keselamatan yang selama ini di uar-uarkan sebagai paling hebat di dunia yang dapat mengesan dua buah kapalterbang yang terkeluar dari laluannya? Sebenarnya aku tidak perlu menulis secara teliti kerana sudah ramai pakar yang mengkaji kejadian ini dengan segala teknologi dan kemahiran yang mereka miliki.

Timbul pula persoalan, adakah benar bangunan ini diserang oleh pengganas dan kemudiannya dikaitkan dengan Islam? Persoalan ini masih belum terjawab dan orang Islam tidak akan melupakan tarikh ini kerana semenjak kejadian itu Islam menjadi musuh mereka secara tiba-tiba (sebenarnya sudah lama mereka memusuhi Islam).

Selasa, 8 September 2009

Manusia Sebelum Adam?

Pagi tadi sekali lagi sahabat aku menimbulkan kisah manusia sebelum Adam. Ini adalah kali kedua dia menimbulkan isu untuk didebatkan ini. Memandangkan perdebatan tidak berlaku seperti yang dijangkakan, aku segera menyelongkar mencari dan mengesan sekiranya ada perdebatan tentang topik tersebut. Rupa-rupanya tanpa diduga memang banyak perdebatan berlaku di alam siber ini. Antara bukti yang menjadi alasan pendapat ini ialah terjemahan Surah al-Baqarah ayat 29-30:

Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya'. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 29-30).


Ahad, 6 September 2009

Islam Terus Diperlekeh?

Suatu ketika nanti umat Islam seperti buih (jumlah yang banyak) tetapi semakin lemah. Aku perhatikan sejak beberapa bulan yang lalu, agama Islam seperti diperlekeh oleh orang bukan Islam. Mereka main-main dan cakap tanpa menggunakan otak. Entah apa masalah mereka hingga begitu memusuhi Islam. Malah kadang kala sudah berani mempertikaikan amalan agama Islam di dalam sebuah negara yang mendakwa negara Islam. Kenapa jadi begini? Mungkin faktor mainan politik yang terlalu kotor menyebabkan mulut manusia bukan Islam yang semakin berani mengkritik Islam di Malaysia, lebih kotor dari najis! Ada yang sudah berani mempertikaikan laungan azan dan sudah nampak permusuhan secara nyata. Hairan kenapa tiada langsung rekasi oleh alim ulama atau pemimpin politik yang memegang kuasa. Kebisuan ini menyebakan orang bukan Islam ini sudah berani dan semakin banyak lemaknya! Aku bukan mahu membangkitkan sentimen keagamaan dalam kafe ini, tetapi kadang kala aku sedih melihat tingkah laku mereka. Keterlaluan dan mungkin suatu hari nanti orang Islam akan hilang sabar. Aku tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi!

Malas hendak terus menulis kerana aku benar-benar sedih. Baca Surah al Kafirun dan fahami maksudnya.

Rabu, 2 September 2009

Anekdot Ramadhan II : Banyakkan Sedekah dan Amal Jariah...

Itulah ayat 'power' di bulan yang mulia ini. Memang bulan Ramadhan bulan yang mendesak dan menuntut anda agar banyak bersabar. Mendesak dalam situasi tertentu dan menuntut dalam situasi berlainan. Cuba bayangkan dalam masa dua hari ini ada yang mendesak anda bersedekah sedangkan sedekah adalah dituntut. Namun anda harus ingat sedekah zaman ini bukan lagi seperti zaman dulu. Dulu anda masih mampu tersenyum apabila menghulurkan wang 'sen' tetapi sekarang sedekah telah ditetapkankan kadar bayarannya. Baru sebentar tadi dua pengutip sedekah mendekati meja kerja aku (sedangkan semalam sudah datang seorang pengutip sedekah) lalu menjelaskan tujuannya mendekati aku sambil menunjukkan buku resit yang telah menetapkan bayaran satu sedekah sebanyak RM30.00 (sebenarnya kumpulan ini telah datang dua bulan yang lalu tetapi kali ini indivdu yang lain dan aku cadangkan kepada mereka agar menurunkan kadar sedekah tersebut supaya memudahkan orang berderma dan bersedekah). Jadi sekali lagi aku jelaskan niat aku supaya menurunkan kadar tersebut dan memberitahu aku telah memberikan sedekah untuk tujuan yang sama dua bulan lalu. Memandangkan aku agak liat hendak bersedekah (?) dia menghulurkan satu lagi resit bernilai RM5. Jadi aku pun menyeluk saku seluar dan biasanya dompet aku berada di rumah pada bulan puasa. Terpaksa pula aku meminjam untuk bersedekah!

Cuma timbul persoalan, adakah sedekah begini sudah diswastakan? Ada pula mereka yang datang berulangkali dan seolah-olah mahu membina bangunan anak-anak yatim bernilai ratusan juta ringgit. Mungkin aku bersedekah dalam keadaan kurang selesa dan mungkin juga tidak diberi pahala, tetapi rasa kurang selesa itu disebabkan oleh rasa kurang percaya! Tetapi jika anda terjumpa makcik seperti gambar di atas, bersedekahlah kerana dia tidak pernah menetapkan kadar untuk orang bersedekah.

Selasa, 1 September 2009

Estima Boleh Pakai RON95?

Tiba-tiba 1 September menjadi susah kerana bahana petrol bernombor. Selama ini aku tidak pedulikan nombor-nombor yang ada di stesen minyak apatah lagi untuk memahaminya. Tetapi mulai pagi tadi aku sedikit bingung kerana menurut sms kawan aku kata harga RON97 yang biasanya RM1.80 menjadi RM2.05 dan diganti dengan RON95 yang berharga RM1.75 menjadi RM1.80. RON95? Apa hal ni? Sesuaikah dengan Estima 2.4 aku. Jadi sepagi ini aku terus merayau-rayau mencari maklumat kerana Estima 2.4 dibawa masuk oleh 'grey importer'. Mana ada buku manual penggunaan.

Sekali dulu, ketika aku sering bermusafir ke Tanjong Malim, tiba-tiba harga petrol naik mendadak. Sesak juga poket aku menanggung kos petrol sepanjang bermusafir sehinggalah harga petrol diturunkan kembali. Jadi dalam banyak-banyak maklumat yang aku dapat sepanjang pagi tadi, Estima 2.4 serasi dengan petrol berplumbum! Jadi atas ilmu permotoran yang kurang ini, aku membuat andaian bahawa Estima 2.4 aku boleh guna RON95.