Jumaat, 6 Februari 2009

Kopi O Keras Berasap 4

Sebenarnya aku telah berjanji dengan diri tidak akan melibatkan diri dengan senario politik negara. Tetapi apa yang sedang hangat di negeri Perak, seolah-olah mendesak agar aku menulis sedikit tentang apa yang sedang berlaku itu. Kisah Sang Penderhaka, itulah tajuk yang aku rasakan begitu sesuai untuk kali ini. Apa yang sedang berlaku sebenarnya dan aku rasa kerajaan negeri yang baru saja tersungkur sudah diberi peluang untuk membetulkan kesilapan yang mereka dakwa telah berlaku selama ini. Tetapi malangnya peluang itu tidak ambil sepenuhnya sehingga berlakulah apa yang telah berlaku. Lebih malang lagi mereka sudah tidak berpeluang untuk membetulkan keadaan, apatah lagi untuk melaungkan bahawa mereka sedang berjuang untuk rakyat.
Nah, inilah yang dikatakan politik! Kuasa yang ada di tangan kita akan hilang dengan tiba-tiba ( walau dengan apa cara dan kaedah sekalipun ) dan apabila hilang kuasa tersebut barulah tersedar betapa Allah SWT telah memberi peluang, namun peluang itu disia-siakan dan diperlekeh oleh kita. Bacakah mereka kisah Hang Jebat? Merampas kuasa sultan untuk membetulkan keadaan tetapi setelah mabuk kuasa, Hang Jebat tersalah langkah dan bicara. Cita-cita ingin membalas dendam terhadap sultan yang menghukum saudaranya tanpa usul periksa bukan lagi satu perjuangan. Malah Hang Jebat berbuat onar di dalam istana. Inilah yang berlaku di Perak sebelum kerajaan yang ada runtuh. Sensitiviti Melayu dipandang mudah, malah beberapa tindakan dirasakan terlalu mementingkan satu kaum lain. Mungkin rakyat tidak nampak bagaimana kerajaan ini akan runtuh, namun segala-galanya berlaku dan hari semalam tidak akan muncul lagi. Semua janji-janji sebelum PRU ( kerana mereka tidak akan menang di Perak ) menjadi debu dan hari ini ketua mereka memohon derhaka! Cis, pantang Melayu derhaka, namun mereka lakukan juga. Kisah yang berlaku ini akan tercatat dalam lipatan sejarah dan tidak akan terpadam buat selama-lamanya.
Kini peluang untuk kerajaan baru mengubah segala suasana. Untuk memenangi hati bukan Melayu bukan bermaksud sanggup menghancur hati Melayu. Lakukan sesuatu yang terbaik dan kopi O di sisi meja masih terus berasap!