Rabu, 16 Mei 2012

Mencari Cebisan Yang Hilang

Memang aku mencari cebisan yang hilang yang mungkin sengaja dihilangkan atau sengaja tidak dicatatkan. Sudah beberapa minggu aku selusuri beberapa blog yang membicarakan tentang MELAYU kerana aku mula risau dengan makhluk Allah SWT yang bernama Melayu. Salah satu cerpen aku terawal ialah CATURRANGGA yang mengisahkan pembidakan ke atas manusia dalam sebuah negara. Bagaimana manusia itu hanyalah buah catur yang digerakkan oleh tangan ghaib. Itulah yang aku fikirkan sekitar tahun 1988 lalu aku hasilkan sebuah cerpen. Sampai bila manusia bernama MELAYU tidak kenal diri, lupa kehebatan masa lampau dan terus disumbat dengan segala kelemahan dan keburukan. Kelemahan dan keburukan ini disumbat pula dengan mendung politik yang carca merba nafsu.

Maki hamun, caci mencaci dan lebih teruk menjadi pak turut yang tidak tahu apa-apa, sekadar memenuhi gelanggang tanpa arah dan tujuan perjuangan. Adakah begini orang MELAYU? Di mana MELAYU yang pernah membina kapal yang berjaya meredah lautan hingga ke Australia dan dicemburui oleh penjajah, perenang dan penyelam terbaik nusantara, pembidik peluru penunang, pakar besi, pakar senjata bedil - hilang dan terus hilang hingga aku terasa terhina begitu sekali. Tangan-tangan ghaib terus membidak dan MELAYU menjadi lalai. Cebisan-cebisan kisah kehebatan MELAYU terus dibiarkan hilang tanpa usaha-usaha mencari.

Aku dipersimpangan...mencari susur galur atau mengesan tangan-tangan ghaib?