Khamis, 30 April 2009

Sesi Membaca Satu Malam Oleh Sahabat

Untuk sahabat Hj Ismail:

Terima kasih kerana menghabiskan satu malam untuk membaca semua entri dalam BIBLIOHOLIKAFE. Banyak teguran membina dan dia tegur kerana kadang kala aku agak lantang! Jadi banyak perkara yang disebut oleh sahabat ini terhadap lebih 130 catatan yang aku buat. Sahabat ini kata catatan aku agak terkeluar dari janji pertama dalam catatan aku. Untuk sahabat, sebagai manusia kita kadang kala terkeluar dari landaan dan teguran itu mungkin akan membetulkan semula perjalanan ini.

Jadi aku ingin ucapkan terima kasih dan bukannya minta maaf berkali-kali!

Rabu, 29 April 2009

Nilai Sekeping Kertas

Selepas marah-marah kerana WANG kelmarin akhirnya aku termenung dan asyik memerhati kertas-kertas yang bertimbun di atas meja. Terfikir kembali betapa banyaknya pohon-pohon kayu yang dikorbankan dan kemudian kertas-kertas itu dibuang begitu saja seperti tidak bernilai. Aku pernah melawat sebuah kilang kertas yang dianggap paling moden di Malaysia semasa berada di Sabah. Sedih melihat bagaimana batang-batang kayu dicincang begitu saja untuk dijadikan kertas bagi kegunaan manusia. Tetapi akhirnya aku tersenyum kerana WANG juga diperbuat daripada kertas!Aku lipat sekeping kertas dan aku jadikan sebuah kapal terbang lalu melayang membawa harapan.

Selasa, 28 April 2009

Kopi O Keras Berasap 5

Apa yang sebenarnya diharapkan oleh seorang penulis? Nama? Atau gembira apabila melihat buku yang dihasilkan disusun atas rak kedai menjual buku? Aku rasa khuatir apabila ramai berkata menulis untuk nikmat, kepuasan atau beribu kehendak yang langsung tidak menjurus kepada WANG! Apa guna masa mencari bahan, menaip, edit dan binding. Kemudian pos. Bajet kertas dan dakwat - bukankah harus dibalas dengan wang? Jadi aku kagum apabila seorang penulis mengatakan dia akan sedekah buku yang akan dia terbitkan untuk khalayak yang mahu membaca! Hebat dan perkataan yang lain untuk penulis ini adalah bodoh! Lebih baik wang untuk projek itu disedekah kepada masjid atau surau.

Betapa perit seorang penulis baru mahu menuntut bayaran royalti daripada syarikat penerbit, benar-benar mengajar erti menjadi penulis di Malaysia. Perkara ini menyebabkan penulis di Malaysia sering 'syok' sendiri. Aku sudah malas hendak hubungi syarikat penerbit kerana dirasakan 'prepaid' aku sia-sia. Ah... kopi O keras di atas meja aku semakin berasap!

Ahad, 26 April 2009

Jom Undi Sipadan!

Ini bukan kempen untuk pilihan raya kecil atau pilihan raya umum tetapi undi untuk jadikan salah sebuah pulau yang terdapat di Malaysia sebagai New7wonders of Nature ( 7 Keajaiban Semulajadi Dunia). Tanpa diduga Pulau Sipadan disenarai pendek daripada 261 calon seluruh dunia untuk dimasukkan ke dalam senarai tujuh keajaiban semula jadi dunia. Sehingga kini Pulau Sipadan termasuk dalam kumpulan 77 calon yang menerima undi terbanyak. Anda boleh membaca kisah lanjut dalam web New7Wondes of Nature ( http://www.new7wonders.com).

Apa istimewanya Pulau Sipadan?
- satu-satunya pulau lautan dalam terletak di atas terumbu karang berteraskan pasir dengan kedalaman mencapai 600m.
- hanya seluas 5km X 2km melibatkan lebih kurang 3 ribu spesis ikan dan 100 terumbu karang.
- menjadi tumpuan ke 5 dunia dengan aktiviti penyelaman.
- diisytiharkan sebagai santuari burung pada tahun 1930an.

Jadi, para pengundi Jom Undi!

Selasa, 14 April 2009

Cogito Ergo Sum - Milik Siapa?

Membaca ruangan Mega/Agama yang disiarkan pada 10/04/2009 (Jumaat) mengundang rasa gundah dan tidak sabar sabar. Kebetulan pula saya membaca ruangan tersebut awal pagi ketika bersiap untuk bermusafir. Ruangan berbentuk ulasan novel oleh Lalu Mohamad Zaenudin berjudul Cogito Allah Sum. Tiada apa yang hendak saya ulaskan tentang novel tersebut, cuma apabila saya membaca perenggan 7, saya sedikit teruja untuk mengulas. Pengulas yakni Siti Ainiza Kamsari menyatakan bahawa " begitu pun apa yang boleh difahami dari tajuk buku ini, Cogito Allah Sum? Ahli falsafah yang juga seorang saintis dan pakar matematik terkemuka Perancis, Rene Descartes menjadikan frasa ini sebagai tagline kepada ajarannya".Mungkin atas kekhilafan Siti Ainiza, beliau terlupa siapa sebenar tokoh yang mencipta tagline tersebut. Imam al-Ghazali (1058-1111) merupakan tokoh terkemuka yang mengasaskan teori sangsi/skeptisisme dalam sumber pengetahuan. Berubah dari seorang konformis (hanya mengikut pendapat/hujah guru) kepada insan yang sentiasa bergelumang dalam keraguan terutama terhadap sumber pengetahuan bersifat empirikal. Bagi al-Ghazali keraguan adalah peringkat pertama keyakinan. Descartes begitu terpengaruh dengan gaya ilmiah al-Ghazali terutama ayat-ayat yang dikatakan menjadi tagline (seperti yang didakwa oleh Siti Ainiza) iaitu Saya mempunyai kemahuan dan inilah buktinya saya ada!

Mengukuhkan lagi hujah, apabila Uthman al-Ka'ak (Pengarah Gerakan Nasional Tunisia) mengunjungi Perpustakaan Descartes di Paris telah menemui terjemahan karya al-Ghazali yakni yakni al-Munqidh min al-Dhalah dan di atas ayat keraguan peringkat pertama keyakinan terdapat anotasi dakwat merah berbunyi pindahkan ini ke dalam metode kita.

Jadi, amat jelas berlaku unsur peniruan terhadap karya al-Ghazali oleh Descartes kesan 'exodus' kedunguan Barat terhadap keilmuan Islam yang mendesak mereka meniru dan menterjemah. Bagi diri saya, lebih indah jika Siti Ainiza menyebut paling tidak nama ilmuan Islam iaitu al-Ghazali ketika membicarakan tagline Cogito Ergo Sum yang dicipta oleh Descartes.

Ahad, 12 April 2009

Penemuan di Larkin!

Berita rakaman beberapa keping imej yang didakwa sebagai UFO memang mengujakan setelah aku menulis catatan tentang Hantu Gigi Jarang. Tiba-tiba saja ada saksi berjaya merakam beberapa imej yang didakwa sebagai UFO.Mungkin ini adalah bukti yang paling menarik dan aku berharap bidang kriptozoologi mula diberi perhatian. Siap sedia kamera digital anda setiap malam dan pastikan baterinya penuh!

Khamis, 9 April 2009

Hujan Oh Hujan...

Secara sedar atau tidak musim hujan kali ini agak keterlaluan. Yalah, hampir setiap petang tumpu ke tengah malam, hujan turun dan terus turun. Bukan sikit-sikit, sebaliknya mencurah-curah. Tetapi ada juga kebaikannya, dalam keadaan begini ada perkara yang kita tidak boleh lakukan dan ada perkara yang kerap kita lakukan ketika hujan! Jadi aku sedikit rimas kerana setiap kali hujan akan berlaku 'black out' dan sudah semesti dalam beberapa ketika kemudian air paip akan terputus. Ahh.. RimbunKasih pula berada di lidah tanah. Ada perasaan khuatir dalam diri.Mungkin lebih merimaskan aku tidak dapat menaip walaupun sebaris ayat kerana khuatirkan panahan kilat dan dentuman guntur yang silih berganti. Khuatir jika komputer aku meletup! Jadi banyak catatan dilakukan di dalam buku nota sambil menunggu hari yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam cakera keras. Hari ini hujan masih mencurah, cuma guntur dan kilat telah berkurangan. Sempat aku catatkan sedikit di sini tanpa aku peduli soal politik yang semakin kacau dan kacau.