Selasa, 31 Mac 2009

Siapa Akan Beri Pingat?

Mungkin sehari dua ini berita sukan akan menyentuh kejayaan besar dua orang pelumba trek sukan berbasikal negara. Ini gara-gara kemenangan yang memang telah diduga berdasarkan prestasi kedua-dua pelumba sebelum ini. Azizulhasni Awang (Dungun) dan Rizal Tisin (Klang) berjaya mencipta nama setelah memenangi acara trek Kejohanan Trek Dunia Puszow, Poland beberapa har yang lalu. Jadi secara peribadi aku ingin mengucapkan tahniah kepada mereka berdua kerana selama ini terlalu sedikit atlit Malaysia memenangi sebarang acara pada peringkat dunia.
Jadi Azizulhasni dan Rizal telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang bersaiz kecil mampu mengalahkan atlit luar yang mempunyai saiz badan yang lebih besar. Mereka berdua telah menguburkan mitos yang sering menjadi alasan kekalahan atlit negara sebelum ini. Cuma aku tertanya tanya, adakah mana-mana negeri akan menganugerahkan sebarang pingat yang memberi gelaran 'datuk' untuk dua orang atlit ini? Ini sejajar dengan anugerah yang diberi kepada atlit badminton dan skuasy atau lebih teruk lagi kepada pelakon Bolllywood! Lebih manis juga jika ada mana-mana syarikat besar negara menawarkan pekerjaan tetap untuk Rizal Tisin sebagai menghargai pengorbanan yang telah beliau lakukan. Harapan rakyat Malaysia; mungkin tidak mahu kejayaan atlit ini akan terus menjadi sejarah sukan berbasikal yang pernah melahirkan beberapa tokoh terkenal sebelum ini. Tidak perlu melahirkan ribuan Azizul atau Rizal jika mereka hanya sekadar berada di tempat terakhir setiap kali berlangsung pertandingan.

Ahad, 29 Mac 2009

Uzur...Semakin Uzur...

Semalam ketika baru sampai di rumah setelah usai bermusafir, di selubungi rasa letih dan rimas kerana hujan terus mencurah setiap petang selama seminggu; isteri tersayang memberitahu bekalan air terputus kerana paip air ke rumah aku di tepi jalan terputus (untuk kali ke berapa setelah aku mendirikan RimbunKasih) kerana dilanyak tayar lori, kereta, motosikal dan segala kenderaan yang bertayar. Dalam rasa rimas kerana hujan setiap petang, aku tersentak kerana tersedar betapa penting bekalan air. Memang benarlah air adalah ibu kehidupan! Memandangkan sudah mendekati waktu Maghrib, aku tangguhkan dulu untuk menghubungi pihak berkenaaan (JBA) kerana sedar mereka semua mungkin sudah pulang dalam kesejukan suasana menghampiri malam.

Kemudian melayani anak-anak dengan berbagai kisah dan cerita, aku perhatikan puteri sulung dan puteri kedua sibuk menfotokopi dan seterika baju. Kata mereka sebelum pukul 8.30 malam. Aku yang masih letih bertanya kenapa? Kenapa sebelum pukul 8.30 malam? Ada rancangan TV baru ke? Balas puteri aku, pukul 8.30 malam, semua lampu akan dimatikan kerana Earth Hour! Ah... betapa aku lalai kerana aku tidak sangka semalam adalah Earth Hour selama sejam.

Uzur...semakin uzur. Jadi mungkin tindakan manusia mematikan lampu selama sejam akan memanjangkan usia bumi yang semakin tua.

Khamis, 26 Mac 2009

Catatan Dalam Catatan

Catatan 1 :
Ketika musafir minggu lepas, pertama kali bersolat Jumaat di Masjid Proton City yang baru dinaiktaraf dari surau kepada masjid. Suasana masjid yang indah walaupun sedikit kecil dipenuhi jemaah yang melimpah hingga ke ruang lobi masjid. Penyampaian khutbah oleh tuan imam padat dan aku tersentuh apabila beliau menukilkan bahawa jika di rumah kita dipenuhi dengan ratusan atau ribuan buku, adakah salah sebuah daripadanya buku tentang sirah Nabi Muhammad SAW? Jika tidak, betapa lemahnya jiwa kita sebagai umat baginda. Mungkin ada antara jemaah yang mengambil tindakan mencari buku-buku yang dimaksudkan oleh imam tersebut dan meletakkannya di rak buku di ruang tamu rumah. Khutbah yang mudah dan amat berkesan.

Catatan 2 :
Dalam kekalutan bermusafir, aku sempat singgah di R&R untuk sarapan. Bersama sahabat yang turut bermusafir di hujung minggu, kami berdua berbincang tentang isu-isu semasa lalu meninggalkan R&R tersebut untuk meneruskan perjalanan ke selatan. Namun beberapa minit kemudian aku tersedar bahawa kami hanya membayar untuk nasi lemak saja. Sedangkan air yang kami togok belum berbayar. Ini bermakna minggu ini kami akan singgah sebentar untuk membayar hutang yang tidak diduga itu.
Catatan 3 :
Aku sedang memandu apabila puteri kedua aku memarahi adiknya - tahu tak adik gagal menyampaikan maklumat dengan berkesan!. Aku terkejut kerana aku tidak menjangkakan anak aku yang berusia 12 tahun itu akan berkata demikian kepada adiknya yang berumur 11 tahun. Mereka berdua saling bertengkar dan tuduh menuduh kerana kegagalan tersebut. Aku hanya tersenyum sambil memandu. Emm... betapa manusia sering gagal ketika berkomunikasi!

Selasa, 24 Mac 2009

Hantu Gigi Jarang


Imbang Penuh
Sekitar tahun 2006, masyarakat Malaysia gempar dengan kisah-kisah 'bigfoot' dari selatan tanah air, iaitu Johor. Terlalu banyak saksi mendakwa melihat makhluk yang lebih dikenali sebagai 'Hantu Gigi Jarang', termasuk juga penemuan kesan tapak kaki yang dikatakan milik lembaga ini. Sesiapa saja yang meminati dunia misteri akan terpikat dengan kisah ini, terutama setelah mendapat liputan yang meluas di kalangan media. Aku juga turut teruja dengan berita ini dan semenjak kisah itu diberi liputan yang meluas, perkataan 'Hantu Gigi Jarang' mula terkenal. Kini sudah 3 tahun dan berita itu 'sejuk' tanpa sebarang perkembangan.

Makhluk ini dikata ditemui secara tidak sengaja sekitar Tanjung Piai, Mersing, Kahang, Kota Tinggi dan Taman Negara Endau Rompin. Malah atas liputan yang meluas pihak media menyebabkan Perbadanan Taman Negara Johor telah membentuk satu pasukan (mungkin saintis) untuk membuat kajian terhadap penemuan ini. Mungkin bidang cryptozoology terlalu baru buat rakyat Malaysia dan sudah pasti banyak peruntukan diperlukan oleh perbadanan ini untuk terus melakukan kajian ini. Cuma ada satu persoalan timbul dari dalam diri, sudah tiga tahun berlalu masih bertemu hantu ini?

Berdasarkan gambaran yang diberi oleh saksi saiz Hantu Gigi Jarang mungkin seperti gambaran di atas. Sudah pasti menarik dan orang yang berjaya menangkap hantu ini sudah pasti akan menjadi jutawan. Lihatlah pameran hantu yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Bukankah rakyat Malaysia suka benda yang pelik-pelik walaupun tidak suka mengkaji benda-benda pelik ini.

Begitu juga penemuan-penemuan UFO yang berlaku sekitar Malaysia tetapi malangnya tiada sebarang imej yang dirakam oleh aksi. Mungkin bidang ini perlu diterokai oleh rakyat Malaysia agar kisah tidak menjadi kisah dan mitos atau dongeng. Zaman kini bukti adalah segala-galanya. Emm...orang-orang Johor tunggu apa lagi!

Isnin, 23 Mac 2009

Kisah Kawan Sebelah

Kawan aku sedang mencari-cari idea untuk menamakan blog yang bakal dia lancarkan sehari dua ini. Jadi dia minta pendapat aku - aku berilah beberapa perkataan dan kemudian sama-sama ketawa. Cuma aku kata fikirkan konsep dulu kemudian belasahlah apa-apa nama. Aku perhatikan dia dan sekarang (10.07am) dia sedang asyik mengisi maklumat untuk mencipta blog. Aku lihat kesungguhannya dan bila aku tanya blog lama macam mana? Dia kata dah lupa kata laluan untuk masuk dan aku kata sebenarnya kau lama tak update! Sekarang aku tunggu lagi dan perhatikan dia (10.09am) masih asyik dan aku harap blognya akan siap sebelum tengah hari ini.

Mudahkan? Jadi jom blog!

Pisang yang bakal disedekahkan oleh jiran aku setelah selesai mencipta blog! Semoga dimurahkan rezeki...

Sabtu, 21 Mac 2009

Jom Aku Belanja!


Ada sesuatu yang enak apabila mendengar kata-kata itu terutama dari seorang yang baru mendapat 'tuntutan perjalanan' atau pengedar kopi kuat yang semakin kembung poket seluarnya akhir-akhir ini! Jadi apa tunggu lagi - jom! Teh yang berbuih, roti canai yang semakin nipis dan ringan dan disudahi dengan sebatang rokok. Sempurna. Tapi cuba rasa teh yang berbuih dan amat manis dan asap rokok yang disedut. Bukankah itu enak?


Cuba lihat reaksi kawan anda apabila anda yang belanja mereka. Jika anda makan roti canai kosong, dia hendak roti canai 'jantan'. Anda minum teh, dia pesan nescafe. Jika anda hirup sup tulang, dia bantai sup ekor. Jadi begitulah suasana yang anda hadapi tetapi anggaplah semua itu sedekah kerana anda sudah pasti ikhlas. Atau mungkin niat ikhlas itu terpesong ketika anda menerima bil! Mungkin juga dia sempat menyapu rokok anda dua-tiga batang, kemudian anda tersengeh membayar dan dia berlalu pergi sambil sendawa!
Tapi bukankah mereka semua rakan baik anda? Ahh...lebih baik belanja anak bini!

Isnin, 16 Mac 2009

Nik Nur Madihah : Antara Realiti Kehebatan Manusia


Sebenarnya aku berkira-kira untuk menulis perkara ini sejak semalam. Saban tahun apabila keputusan SPM dikeluarkan, ada saja idola baru akan muncul dan mendapat perhatian segenap kelompok masyarakat. Kali ini giliran Nik Nur Madihah; seorang pelajar yang kemudiannya kita sedar terlalu daif dalam kehidupan tetapi cemerlang dalam ilmu. Kemudian aku terfikir-fikir apabila Nur Madihah mendedahkan betapa dia sering berpuasa dan hanya makan roti kerana kedaifan keluarganya itu. Jadi di mana letaknya kajian/teori yang mengatakan bahawa faktor pemakanan menentukan kualiti akal seseorang? Jelas teori tersebut hanya satu teori yang boleh diamalkan oleh golongan yang mempunyai wang dan kekayaan. Berita terbaru pula menjelaskan kedaifan yang dialami oleh keluarga ini hingga menyebabkan aku berkata kepada seorang pembaca akhbar "ALLAH membayar secara tunai atas kesungguhan dan keimanannya!"

Apapun tahniah, semoga Nur Madihah tidak tenggelam dengan segala bentuk bantuan yang sedang bertali arus kerana begitulah budaya orang Malaysia! Gunakan peluang yang ada sebaik mungkin dan buktikan bahawa Islam dan Melayu masih kukuh dan wujud di muka bumi ini. Semoga kejayaan ini tidak dimanipulasi oleh golongan kapitalis yang hanya mahu mengaut keuntungan seperti yang berlaku terhadap para genius Malaysia sebelum ini!

Selasa, 10 Mac 2009

NoPen 1 - Kesusasteraan Islam

Ibadat dalam Islam bukan sekadar amalan seperti solat dan puasa saja; tetapi turut melibatkan berkarya. Tetapi untuk meletakkan sesuatu karya itu suatu ibadah, beberapa syarat perlu dipenuhi antaranya penghasil karya itu mestilah seorang yang beriman, niat menghasilkan karya itu haruslah ikhlas dan jujur, kandungan karya tidak melanggar batas-batas akidah, diterbitkan dengan sumber yang halal dan kesan penerbitan karya itu tidak mendatangkan keburukan di sisi Islam.

Berdasarkan syarat tersebut sudah pasti tidak dapat digunapakai bahawa kesusasteraan Islam dihasilkan oleh orang bukan Islam dan diterbitkan oleh syarikat bukan Islam. Mungkin lebih elok dikatakan kesusasteraan Islam yang dihasilkan oleh penulis bukan Islam diistilahkan sebagai 'ala-Islami'. Tetapi molek juga sekiranya dijelaskan bahawa hasil kesusasteraan yang dihasilkan penulis Islam juga belum tentu dapat diistilah sebagai kesusasteraan Islam jika gagal memenuhi syarat di atas. Memadaikah jika sesuatu karya itu dikatakan kesusasteraan Islam jika pengarangnya hanya 'memotongtampalkan' ayat-ayat suci al-Quran atau menukilkan Hadis? Bagaimana pula jika penulisan begini dihasilkan oleh pengarang 'totok sekular'?

Apakah maksud Islam? Perkataan Islam asalanya ialah ' salima yaslamu' atau 'salaman wa salamatan'. Dari bentuk ini perkataan itu berubah menjadi 'aslama' kepada 'yuslimu' kepada 'islaman' yang memberi maksud 'tunduk menyerah diri dan patuh'. Dalam bahasa Melayu lebih molek istilah ini merujuk kepada perkataan 'ad-din'. Jadi kesusasteraan Islam haruslah bentuknya 'tunduk menyerah diri dan patuh'. Bukan hanya ekadar luaran, malah lebih kepada rohaniah. Oleh demikian tiada siapa yang harus berani mendakwa karyanya adalah karya Islam jika tidak tunduk menyerah diri dan patuh, di samping memenuhi syarat yang lima tadi.

Selasa, 3 Mac 2009

Kenapa Mereka Baru Sedar?

Seorang sahabat dalam keadaan teragak-agak meminta aku - kena kurang sikit! Aku terpinga dan cuba memikirkan apakah yang dimaksudkan oleh sahabat aku ini. Sebenarnya aku malas untuk memikirkan perkara begini kerana aku khuatir dalam usia aku begini memang mudah diserang penyakit darah tinggi dan darah manis! Dalam keadaan berteka-teki dia cuba memberi isyarat supaya aku tidak menjadi duri dalam daging kepada pentadbir tempat aku bekerja. Lantas aku terkesima... Adakah baru mereka sedar bahawa mereka berurusan dengan manusia. Adakah kerana kritikan sekali-sekala apabila dirasakan mereka alpa atau minta supaya tandas dibersihkan oleh pekerja atau sering membantu sahabat lain membuat kerja yang bukan dibawah tanggungjawab kita; ada manusia sudah rasakan diri mereka tergugat?
Sebenarnya aku tidak suka memikirkan perkara ini tetapi setelah mendengar suara perlahan, tenang dan sedikit berteka-teki sahabat aku itu; baru aku sedar mereka semakin sedar wujudnya manusia di bawah mereka yang perlu dihargai!