Ahad, 28 Jun 2009

Pabila Aku Pakai MitEvo

Adakah manusia mampu mengekang nafsu sendiri? Dalam situasi tertentu, mungkin. Tetapi dalam banyak situasi, sebenarnya manusia gagal mengekang keinginan terutama sesuatu yang menggambarkan kehebatan. Itulah yang berlaku apabila seorang guru menggunakan MitEvo yang harga atas RM200K dan tiba-tiba mendapat perhatian SPRM. Mungkin selama ini mereka tdak menjangka bahawa insan yang berjawatan guru mampu menggunakan kereta mewah begitu. Buatlah sedikit kajian berapa ramai guru yang menggunakan Mercedes, Alphard, Estima, Wish, CRV dan berbagai jenis jenama lain. Dulu zaman 60an dan 70an, hanya guru yang mampu pakai basikal Releigh di kampung-kampung.

Sebenarnya guru lakukan berbagai kerja sambilan terutama sekali yang tinggal di kawasan bandar besar kerana mengharapkan gaji guru saja, sudah pasti mereka hanya mampu tinggal di kawasan setinggan. Guru terlibat dalam dunia perniagaan adalah lumrah. Menjadi peniaga pasar malam, berniaga warung, penyewa kenderaan, jual burger, jualan langsung, jual kain batik, terlibat dalam dunia saham dan berbagai jenis lagi perniagaan yang sentiasa terbuka. jadi mungkin atas sikap yang kuat bekerja ini membolehkan mereka menggnakan kenderaan mewah begitu. Belum kira lagi kesediaan koperasi guru dan Bank Rakyat yang menyediakan berbagai jenis pinjaman

Guru juga manusia!

Sabtu, 27 Jun 2009

Berakhirnya Suatu Fenomena Raja Pop Dunia

Mungkin masih wujud persoalan adakah manusia ini masih Micheal Jackson atau Mikhael? Tetapi sukar ditolak bahawa insan ini telah menimbulkan suatu fenomena pop yang sukar untuk dilupakan. Dan semalam insan ini disahkan sudah 'mati'. Sebagai salah seorang yang pernah melihat dan mengkagumi semua klip video dan mengkagumi lagu-lagu yang dipersembahkan dengan cara yang luar biasa, amat sukar untuk menolak tanggapan bahawa insan ini telah melepasi tahap kekagumanan manusia terhadap insan seni. Sebagai insan seni sudah pasti ada unsur 'pelik' dalam kehidupannya. Jika hari ini anda mengkagumi filem 'Transformers', ingin aku katakan bahawa insan ini telah melakukannya sejak belasan tahun lalu terhadap tubuh dan wajahnya sendiri. Menghayati klip video merupakan sesuatu yang baru sekitar tahun 1980-1990. Jadi mungkin ramai peminat masih ingat dengan klip video 'Thriller', 'Billy Jean', 'Bad' dan beberapa buah klip lagi yang menimbulkan rasa kagum hingga mempengaruhi setiap benua, sudah pasti aku lebih mengkagumi 'Smooth Criminal'. Mungkin ketika itu tiada siapa mempertikaikan maksud lirik yang kemudiannya kita dapati kurang sesuai dengan budaya kita, tetapi inilah hakikat raja pop dunia.

Dengan penuh harapan, aku harap insan ini benar-benar seorang muslim seperti yang didakwa sebelum ini. Al Fatihah?

Khamis, 18 Jun 2009

Akhirnya Mendapat Undangan Hadiah Sastera

Akhirnya aku mendapat undangan dari pihak yang menganjurkan Hadiah Sastera 2009. Dan seperti tahun lepas juga kad undangan itu aku terima dua hari selepas tarikh pengesahan untuk hadir atau tidak. Jadi aku ingin ucapkan terima kasih kepada sekretariat yang menganjurkan Hadiah Sastera 2009 kerana masih sudi menjemput aku. Terima kasih banyak-banyak dan ber'daun keladi'.

Juga aku ingin ucapkan tahniah kepada Kumpulan Utusan, Exxon Mobil dan mungkin juga Astro (rakan penyiar) kerana masih sungguh-sungguh berusaha memartabatkan karya sastera negara.

Selasa, 2 Jun 2009

Apabila 'Kuli' Menjadi 'Tokeh'!

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi apabila seorang pekerja berlagak sombong seolah-olah dia adalah tokeh? Mungkin sudah ribuan kali anda berhadapan dengan situasi begini, cuma anda tidak mempedulikannya. Setiap kali kita berurusan di kaunter pasar raya besar, stesen minyak, lobi hotel, meja makan nasi kandar atau warung kecil, kaunter bank dan seribu satu macam urusan yang kita lakukan sepanjang usia kita hingga kini, kita berhadapan dengan manusia kecil tanpa jiwa tetapi berlagak seperti tokeh kaya.

Setiap kali kita membayar wang di pasar raya besar, adakah pekerja memberi senyuman kepada kita sedangkan barang yang kita beli itu mencapai harga ratusan ringgit. Bukankah sebahagian kecil daripada wang itu digunakan untuk membayar gajinya? Begitu juga pelayan restoran yang sering menunjukkan reaksi kurang senang dengan kehadiran kita kerana dia terpaksa bekerja dan bukannya duduk saja sambil mendapat gaji buta! Pelayan kaunter stesen minyak begitu juga. Berapa kali dia ucapkan terima kasih kepada pelanggannya. Di plaza tol, kita mendapat layanan yang sama.

Cuma satu persoalan yang bermain di kepala aku : betapa manusia sekarang tidak pernah bersyukur!