Isnin, 29 Disember 2008

Salam Maal Hijrah

Masa begitu pantas berlalu dan akhirnya usia kita melangkah setahun lebih tua dan hari ini kita bertemu semula dengan 1 Muharram. Kita tidak mampu menahan kemunculan waktu begitu dan cuba menahan daun usia terus berguguran helai demi helai. Lewat Maghrib semalam, aku terus menerima sms demi sms lengkap dengan doa, harapan dan azam baru para sahabat yang aku kenali. Entah aku tidak sama ada berlaku apa-apa perubahan setiap kali kita bertemu dengan detik akhir hari yang berlalu. Harapan agar doa akhir dan awal tahun bakal merubah keadaan dan situasi; dan kita sebagai manusia seharusnya reda.

Namun siapa yang mempedulikan apa yang sedang bermain dalam fikiran kita. Yahudi terus melakukan serangan dan mengorbankan nyawa umat Islam. Serangan di awal sambutan tahun hijrah begitu menghinakan dan kita masih tidak mampu melakukan apa-apa. Cuma sekadar kecaman demi kecaman dengan harapan kecaman itu dapat meredakan situasi. Di dalam negara pula sudah ada manusia yang berani menghina pemimpin agung Islam, Nabi Muhammad SAW. Jika sebelum ini kita mendengar kisah bagaimana orang kafir Eropah mempersendakan nabi kita, tetapi kali ini berlaku di negara kita dan lebih menyedihkan dilakukan oleh penulis blog tempatan. Jika tindakan manusia kafir Eropah dulu kita tentang habis-habisan, bagaimana kali ini? Sesuatu yang dilakukan dalam negara kita oleh rakyat Malaysia? Maal Hijrah terus tercalar dan sesuatu yang serius perlu dilakukan, cuma masa yang menentukannya dan usah biarkan isu ini terus menjadi medan perdebatan.
Sikap berahsia kita, kadang-kadang amat menakutkan. Dulu kita dikejutkan dengan makanan sejuk beku yang bercampur dengan daging khinzir, kemudian bihun dan laksa, melamin dan sekarang blog. Kenapa perlukan semua rahsia ini? Kenapa tidak didedahkan saja kepada masyarakat agar masyarakat tidak tertanya-tanya? Sikap berahsia dan enggan mendedahkan siapa sebenar mereka menjadikan mereka tidak takut untuk terus mempermainkan kita sebagai umat Islam.
Harapan aku agar Maal Hijrah ini akan merubah segala situasi pincang dan kita terus kukuh sebagai seorang Islam!

Sabtu, 20 Disember 2008

Peristiwa Hitam Berurusan Dengan Lelaki Berjawatan Pengurus

Emm... agak panjang tajuk pilihan kali ini setelah aku tidak mengendahkan kafe ini selama seminggu (mengenangkan pemergian bonda tercinta). Terdetik untuk segera mencapai laman maya dan kembali bersarang di dalam kafe setelah perasaan semakin tenang. Namun tanpa aku duga aku telah melalui satu peristiwa hitam (paling tidak kelabu) apabila aku mengunjungi Tabung Haji cawangan Kulim untuk mendapatkan salinan faksimili yang dihantar oleh Pusat Operasi Maklumat Makkah, Hotel al Janadariah Am'ir, Makkah, Arab Saudi. Memandangkan pegawai yang menguruskan kaunter bahagian tersebut bercuti, aku dilayani oleh seorang lelaki yang memiliki jawatan pengurus cawangan. Maaf, kerana aku tidak pasti betapa besarnya jawatan pengurus cawangan sehingga dia bertindak melondeh segala kepincangan seorang manusia yang bongkak dan ego. Tanpa sebarang ucapan takziah walaupun aku telah menjelaskan tjuan aku ke sana, aku terus terasa terseksa berhadapan dengan manusia ini. Entah di mana silapnya, aku seolah-olah menjadi orang bersalah hanya kerana aku tidak tahu siapa yang mengubungi aku memaklumkan bahawa faksimili tersebut telah sampai ke cawangan itu. Lelaki ini terus meledakkan kuasanya dengan memberitahu bahawa aku harus tahu tentang prosedur apabila berurusan dengan pejabatnya! Aku hanya mampu beristighfar kerana aku sedar bahawa aku sedang berurusan mengenai kematian bonda yang tercinta. Tetapi malangnya lelaki Melayu Islam ini bertindak bukan seperti yang seharusnya. Beberapa minit berurusan dengan lelaki ini amat menyeksakan dan aku mohon agar segalanya pantas berlalu.
Aku mengambil masa dua hari untuk memberitahu isteri apa yang aku lalui di sebuah tempat yang menguruskan simpanan wang para bakal haji. Tempat yang seharusnya tidak berlaku kerana mereka melakukan kerja mulia. Namun hingga saat aku mengetuk papan kekunci ini, aku nekad mengatakan lelaki ini tidak layak memang jawatan itu dan aku tidak hairan jika wang Tabung Haji pernah disonglap oleh mereka! Lantas aku hitamkan wataknya buat selama-lamanya! Dengan lafaz Bismillah, aku tuliskan sepucuk surat mengandungi tiga helaian buat tatapan lelaki ini dan aku tahu sudah pasti dia membakulsampahkan surat aku. Tanpa dia sedar juga aku menetap masa selama TIGA hari untuk dia menghubungi aku bagi menjelaskan situasi sebenar. Sehingga detik ini, tiada sebarang maklum balas dari lelaki tersebut. Dan aku harus bertindak lebih jauh! Aku akan utuskan pula sepucuk surat buat mereka yang sedang berada di Kuala Lumpur!
Adilkah aku bertindak begini? Aku tidak meminta layanan taraf seorang menteri tetapi sekadar aku juga salah seorang penabung di Tabung Haji. Betapa durjananya mereka yang menganggap penabung yang mengunjungi kaunter mereka adalah manusia hina sedangkan mereka turut memakan peratusan kecil keuntungan penabungan tersebut! Semoga mereka insaf kerana surat aku bukan satu karma kerana aku sedar Allah SWT itu Maha Berkuasa!

Jumaat, 12 Disember 2008

Kopi O Keras Berasap 3

Sebenarnya tidak wajar jika kita gemar menuduh terhadap orang tanpa memberi peluang orang yang kita tuduh itu untuk membela diri. Tetapi bagaimana jika orang yang dituduh itu bertindak berdiam diri? Ini yang aku rasa apabila saban minggu (aku rasa sejak 4 minggu yang lalu) salah satu ruang sastera dalam sebuah akhbar perdana asyik mengentam sebuah persatuan yang menggabungkan beberapa persatuan penulis negara ini. Sebenarnya aku tidak faham kepentingan persatuan-persatuan begini jika tiada 'sengat yang berbisa'. jika sekadar berfungsi sebagai satu persatuan , ah...lebih baik setiap manusia di negara wujudkan persatuan sendiri dengan kehendak sendiri. Aku cuba memahami apa yang sedang bermain dalam diri 'penghentam-penghentam' tersebut. Mungkin ada benarnya hingga marah sedemikian rupa!


Semuanya gara-gara pengajaran dan pendidikan di sekolah dalam dua mata pelajaran dilakukan dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya untuk makluman pengunjung kafe ini, sejak sistem pendidikan kebangsaan wujud di negara kita, anak-anak kita adalah bahan kajian mereka. Mungkin aku tidak maksudkan sebagai tikus putih yang telah banyak berjasa kepada manusia selama ini apabila menjadi sasaran saintis di makmal. Kita lihat saja Laporan Barnes, Laporan Razak, Laporan Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Laporan Kabinet dan sebagainya adalah bukti anak-anak kita (termasuk aku) telah dijadikan bahan kajian dunia pendidikan. Itulah hakikatnya! Niat PPSMI mungkin baik apabila ratusan juta ringgit diperuntukkan demi masa depan anak-anak kita, cuma cara perlaksanaannya sedikit pincang. Lantas ianya menjadi kudis dan pencinta bahasa Melayu sentiasa menggaru kudis tersebut hingga berdarah!


Tetapi bukan itu yang mahu aku katakan, cuma aku hairanlah apabila badan yang melindung dan memayung penulis-penulis yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, tidak bersuara. Kenapa? Mungkin itulah persoalannya. Seperti yang aku katakan sebelum ini, ada persatuan penulis bertindak seperti syarikat pelancongan ada kebenarannya. Mencari sisa-sisa Melayu seluruh dunia tetapi bagaiamana Melayu di tanah sendiri? Bahasa sendiri sudah tidak bererti. Tetapi aku sanjung mereka yang masih tegar berjuang demi bangsa dan seperti yang aku mahukan ialah kembalikan sejarah di sekolah rendah. Dedah sepenuhnya tentang kehebatan Melayu, jangan meleret ke Eropah, India dan China. Semua itu tiada kaitan dengan keagungan orang Melayu. Bakal penulis teks sejarah sekolah rendah, aku ingin nasihatkan; adalah tanggungjawab anda untuk tidak memesongkan sejarah dan bersedialah untuk menanggung segala dosa jika anda tidak jujur! Sejarah dan keagungan Melayu tidak dapat dipisahkan kerana melalui sejarah saja bahasa Melayu akan kembali ke tempat sewajarnya.


Begitu juga ahli akademik dan ilmuan di universiti, bersuaralah sedikit kerana anda dipilih dan dianugerah Allah dengan pengetahuan yang tinggi; berilah pendapat. Tidak berdosa jika anda bercakap benar! Kopi O keras di meja aku terus berasap!

AL FATIHAH

Untuk makluman, bonda tersayang Che Zan Bt Darus telah kembali ke rahmatullah pagi 10 Disember 2008 ketika berada di Arafah. Kami menerima berita tersebut sekitar pukul 4.27 petang waktu Malaysia dan pengesahan dibuat oleh Tabung Haji mengatakan bonda menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.00 pagi waktu tanah suci. Jenazah dikebumikan di Makkah. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa allahyarhamah dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Terima kasih kepada mereka yang menghubungi saya dan usaha menyampaikan ucapan takziah dan kata-kata untuk melunakkan perasaan yang lara. Semoga keikhlasan ucapan-ucapan itu menguatkan lagi persahabatan yang telah tersedia terjalin. InsyaAllah.

Selasa, 9 Disember 2008

Suatu Hari Bernama 'Kelmarin'

Akhirnya 'kelmarin' berlalu seperti hari-hari yang lalu. Solat sunat AidilAdha bermula pukul 8.30am dan berakhir sekitar 9.35am dengan bacaan khutbah yang agak panjang dan menyentuh perasaan jemaah. Alhamdulilah satu keluarga berada di dalam sebuah surau kecil yang tiba-tiba menjadi sesak. Seperti tahun-tahun lalu AJK surau berjaya menjalankan ibadah korban melibatkan dua nyawa dan tahun ini aku hanya mampu menyertai 2 bahagian (satu untuk puteri sulung dan satu untuk emak di Makkah). Suasana agak meriah walaupun cuaca suram antara akan hujan atau sebaliknya (kemudian aku bersyukur kerana kami tidak terlibat dengan banjir, semenatara beberapa buah negeri sedang 'gelut' berhadapan dengan air yang mungkin sedang marah dan ingin membalas dendam! Atau runtuhan tanah yang selama ini rintihannya tidak dipedulikan oleh sesiapapun kecuali setelah ia memberontak!). Daging dua ekor lembu berjaya diagih-agihkan untuk semua penghuni 124 buah rumah di kampung ini.
Tanpa perlu arahan, segalanya berjalan lancar. Dua-dua ekor lembu disembelih oleh Tokoh Maal Hijrah Kedah (tidak silap aku untuk tahun 2006), kemudian semua kerja dilakukan secara beramai-ramai. Bukankah indah begitu. Dalam suasana tertentu kita boleh bekerja secara harmoni. Ibadah korban berjaya menghilangkan rasa taksub kepartian. Begitu juga dengan majlis perkahwinan. Jadi aku rasa tidak silap aku membina RIMBUNKASIH di kampung ini dan menjadi sebahagian masyarakatnya. Namun 'bumi mana tidak ditimpa hujan', sudah pasti ada sedikit sebanyak rasa berpuak-puak, tetapi segalanya seperti air yang tenang. Dalam hal-hal tertentu, rasa kepartian ditinggalkan di muka pintu rumah sebelum ke rumah jiran yang mengadakan majlis. Sekali lagi aku terasa indah.
Hidup mesti diteruskan dan ketika melihat siaran langsung dari Padang Arafah, keinginan untuk menjadi tetamu AllahSWT semakin kuat. Azam terus disimpan dan insyaAllah, kita akan berkumpul di satu tempat dan segala-galanya akan ditinggalkan di pintu utama balai berlepas lapangan terbang!

Ahad, 7 Disember 2008

SALAM AIDILADHA BUAT SEMUA

Untuk semua dan mereka yang sudi menjenguk blog ini. Semoga AIDIL ADHA tahun ini memberi pengertian yang sebenar tentang erti pengorbanan.