Isnin, 28 Disember 2009

Munafik Si Penulis Surat


Sebenarnya dalam kegembiraan meraikan kemenangan Kala Yuda dan kemudian tersentak dengan pemergian tiba-tiba bonda mentua, tanpa diduga muncul sekeping surat yang menyebabkan perasaan ini berbaur gembira, sedih dan marah. Bagaimana perasaan seseorang itu apabila kemunculan sekeping surat yang ditulis oleh manusia munafik dan menuduh beberapa perkara yang tidak benar? Malah surat tanpa nama itu diterima oleh majikan dan pihak yang lebih tinggi dan suatu sisatan dilakukan dengan penuh percaya. Bagaimana hendak mempertahankan diri jika tidak siapa penulisnya? Malah hingga tampalan ini ditulis (sebenarnya aku mengambil masa lebih dari seminggu untuk menulisnya), aku masih tertanya-tanya apakah dosa aku terhadap manusia munafik ini? Jelas penulis munafik ini menggunakan kemahirannya menulis untuk menjatuhkan seseorang dan berbeza dengan aku; apa yang aku tulis untuk bacaan khalayak dan paling tidak sedikit mengajar tentang kebaikan.

Jelas budaya surat layang masih menguasai kotak fikiran manusia walaupun menerima pendidikan yang tinggi Budaya kotor seolah-olah masih hidup dalam budaya animisme, rasa jengkel dengan kehidupan orang lain cemburu, hasad dengki dan tidak bersyukur dengan anugerah Allah SWT telah menjadikan penulis ini manusia munafik. Berpura-pura dan sering berlakon baik. Bagaimanakah amalan sehariannya kerana dosa menfitnah lebih besar dari membunuh dan zina. Semoga manusia ini sedar dengan kesalahannya dan aku masih dapat menerima jika dia bertaubat dengan perbuatannya. Kini, aku hanya manusia kerdil dan masih seperti dulu; terus berdoa dan berdoa kerana aku menjadi mangsa aniaya.

Khamis, 17 Disember 2009

Kala Yuda : Benih Idea

Lewat malam di tapak perkhemahan, saya berbual dengan sahabat dan dia menceritakan tentang mimpi bintang sedang berputar seolah-olah bertawaf di dada langit. Dan saya ambil kesempatan ini untuk cambahkan perbualan apabila bertanya apa yang akan berlaku sekiranya saintis berjaya menggabungkan gen haiwan dalam gen manusia untuk melahirkan manusia super. maksud saya, saintis berjaya menyaring gen haiwan yang mempunyai ciri-ciri ketahanan agar dapat dimanipulasikan dalam kehidupan manusia yang sentiasa terdedah kepada bahaya ciptaan sendiri. Terdapat beberapa spesis haiwan yang berjaya hidup hingga sekarang walaupun seluruh dinasor telah musnah akibat malapelataka menimpa dunia. Malah spesis seperti kura-kura dan buaya berjaya meneruskan hidup hingga sekarang kerana mempunyai ciri dan kualiti terbaik bagi menghadapi kesukaran hidup. Itu yang aku maksudkan.

Memang berlaku apabila saintis Rusia melakukan kerja gila ini ketika zaman komunis menggila. Haiwan seperti babi dan anjing menjadi subjek kajian. Tetapi bukan itu yang saya mahukan dalam Kala Yuda. Kala Yuda lebih kepada kemampuan manusia menguasai dunia teknologi nano! Kala Yuda memperkenalkan watak yang memiliki ciri-ciri ketahanan dan kekuatan seperti haiwan! Lantas, saya dapat katakan benih idea Kala Yuda bermula pada suatu malam ketika saya bertanya bolehkan saintis melakukan kerja gila ini? Pertanyaan itu saya realisasikan dalam Kala Yuda sambil berpegang kepada tali Allah.

Selasa, 15 Disember 2009

Kala Yuda : Sesuatu Yang Mengejutkan

Hari yang amat mengejutkan. Pagi tadi dalam perjalanan menghantar isteri ke Bukit Mertajam, terima SMS tahniah dari Shaiful. Dalam terpinga-pinga berhenti di gerai akhbar tepi jalan dan terpandang muka depan Utusan Malaysia. Rupa-rupanya Kala Yuda memenangi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Kemudian SMS tahniah silih berganti sepanjang perjalanan termasuk juga panggilan telefon. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka semua dan bersyukur kerana Kala Yuda amat mengejutkan!

Kala Yuda ditulis dalam masa amat terhad, tidak seperti biasa saya hanya membenarkan diri saya menulis sejam selepas Isyak. Tetapi Kala Yuda menuntut saya menulis dan mengedit dalam masa dua bulan. Mungkin menulis dalam keadaan serius dan bersungguh-sungguh akan menghasilkan sesuatu yang mengejutkan. Tidak bermakna yang sebelum ini, seperti Kembara Amira sesuatu yang main-main. Seperti biasa Kala Yuda ditulis tanpa bantuan bahan dari internet sebaliknya segala macam bahan dari akhbar, majalah dan sisipan menjadi bahan utama. Kala Yuda yang menyentuh dunia nano teknologi hanya bersumberkan sisipan Estidotmy keluaran khas tentang nano teknologi. Siapa sangka sisipan percuma bersama akhbar Utusan Malaysia itu mendatangkan hasil sebanyak RM 15 ribu! Sama juga seperti Kembara Amira yang membicarakan tentang emas bersumbarkan buku kulit keras untuk pelajar menengah rendah! Jadi saya simpulkan bahawa maklumat dan bahan tidak semestinya sesuatu yang terlalu dominan. Internet telah menguasai dunia maklumat tetapi tanpa diduga kertas masih menjadi punca utama saya untuk menulis.

Novel ini mungkin menemui khalayak sekitar bulan Februari dan saya tidak mahu membuat sebarang ulasan kerana untuk mengetahui kisahnya beli... baca dan... nikmati!

Khamis, 3 Disember 2009

Tahniah Isha!

Ayah mana tidak berbangga apabila puterinya berjaya dalam peperiksaan. Amira Harissa mendapat 5A dalam UPSR baru-baru ini. Memang sejak darjah 1 lagi, puteri kedua ini sering menunjukkan kemampuannya mencatat keputusan terbaik di dalam kelas. Malah semasa tadika (PASTI) lagi dia sudah menunjukkan taringnya. Alhamdulilah bersyukur kepada Illahi. Jadi seminggu dua ini memang sibuk untuk memenuhi kemampuannya mencatat keputusan itu dengan memohon sekolah berasrama penuh, MRSM dan sekolah agama kerajaan.

Semoga Amira Harissa dapat memenuhi impian dapat menyambung pelajaran ke sekolah terbaik dan menjadi insan terbaik serta muslimah yang beriman. InsyaAllah.