Ahad, 30 Ogos 2009

Rempuhan Ulat dan Berenga!

Dua pagi berturut-turut aku mengalami mimpi yang aku jangkakan bakal menjadi ulat atau berenga. Mimpi itu amat sesuai dijadikan asas sebuah novel sci-fi kerana terlalu banyak benda baru. Aku bangun pagi sebelum sahur dan sengaja tidak mahu mencatat apa yang aku mimpikan. Pagi kedua aku alami mimpi yang hampir sama dan aku rasakan mimpi seperti bersambung. Seperti pagi yang pertama, aku tidak mencatat mimpi tersebut. Aku masih ingat tentang 'tendon semut', 'penanda keselamatan wang kertas', 'nano robotik' dan berbagai gajet lagi yang muncul dalam 2 mimpi itu. Cuma aku nekad tidak mahu mencatat kerana aku tidak mahu menulis sebarang novel dalam masa terdekat. Aku rasakan sudah cukup 10. 4 telah diterbitkan, 3 di sekretariat sayembara (belum tentu nasibnya) dan 3 masih terperam dalam C komputer aku.

Berhenti sebentar kerana aku mahu novel aku asalnya adalah ulat yang bertukar menjadi rama-rama daripada berenga yang menjadi lalat hijau!

Khamis, 27 Ogos 2009

Anekdot Ramadhan II : Bersolatkah Mereka?

Beberapa minggu sebelum Ramadhan, khutbah Jumaat pada hari itu membicarakan sempatkah peniaga pasar malam bersolat Maghrib ketika berniaga. Imam membuat perkiraan secara rawak proses jual beli antara penjual dan pembeli dan mengandaikan penjual tidak akan sempat bersolat Maghrib sekiranya dia melayan pembeli-pembeli yang mengerumuni warungnya. Memang logik kerana waktu Maghrib pendek. Jadi imam menegur tindakan meninggalkan solat kerana berurusan jual beli.

Cuba perhatikan pula peniaga bazar Ramadhan. Sempatkah mereka bersolat Asar kerana waktu adalah waktu kemuncak bazar. Seperti juga solat Maghrib, solat Asar juga pendek waktunya. Anda jawab sendiri kerana beratnya dosa menuduh orang! Aku ada cadangan, tidak salah bersolat secara bergilir-gilir.

Selasa, 25 Ogos 2009

Kokok Si Ayam Jantan!

Sebenarnya sudah lama aku tinggalkan keseronokan permainan bola sepak; sama ada sebagai pemain atau penonton. Cuma sehari dua ini rasa seronok itu tiba-tiba timbul apabila membaca berita kemenangan pasukan yang pernah menjadi kegilaan aku sekitar awal tahun 1980an. Tanpa aku pedulikan perkembangan bola sepak Inggeris yang selama ini didominasi oleh Manchester United, Arsenal, Liverpool dan Chelsea; tiba-tiba ayam jantan ini berkokok nyaring. Memang aku tertarik dengan pasukan ini terutama apabila melihat jersi hitam putihnya dengan lambang ayam jantan berkokok di atas sebiji bola. Aku masih teringat kemenangan Spurs ke atas Anderlecht melalui jaringan penalti setelah terikat dengan keputusan seri dalam final UEFA 1984. Beberapa pemainnya yang masih aku ingat seperti Garth Crooks, Steve Archibald, Glenn Hoddle dan Osvaldo Ardiles. Tahun ini Spurs di bawah pengurusan Harry Redknapp menunjukkan prestasi yang hebat pada awal musim. Entah bagaimana nasib mereka selepas ini. Tetapi maaflah Spurs, aku sudah tidak mampu 'melangut' dengan tv untuk menonton kehebatan kau. Cukuplah mendengar ayam jantan di belakang rumah berkokok.

Sudah tidak segan-segan mengaku peminat Spurs!

Ahad, 23 Ogos 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Memang mencabar sambutan Hari Kemerdekaan kali ini kerana kebetulan 31 Ogos itu berada dalam bulan Ramadhan. Sementelahan pula H1N1 masih menggila. Emm... bagaimana agaknya sambutan kemerdekaan kali ini? Apapun aku ingin laungkan kata-kata semangat yang pernah dilaungkan oleh mereka 52 tahun dahulu. Merdeka! Merdeka!Merdeka! Letihlah... ada seminggu lagi untuk latihan!

Khamis, 20 Ogos 2009

Selamat Datang Bulan Yang Membahagiakan

Akhirnya bulan yang membahagiakan muncul kembali setelah dinanti-nantikan sekian lama. Umpama seorang perindu merindui kekasihnya. Umpama Laila merindui Majnun. Umpama Uda merindui Dara. Bukankah perumpamaan begitu yang dapat aku ambil untuk membayangkan kerinduan tersebut? Inilah kisah seorang perindu yang merindui bulan yang di dalamnya terdapat satu malam menyamai 1000 bulan. Kutiplah segala pahala yang ada seperti mengutip buah-buah ranum dihujung ranting.

Munculnya bulan ini menjadikan Biblioholikafe cukup umur setahun. Kini lebih 1336 pengunjung sudah mengunjungi kafe ini dan mungkin ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan setelah membaca tampalan yang sudah berjumlah 127. Ini sesuatu yang tidak aku duga kerana blog ini hanya blog biasa dan aku juga hanya manusia biasa.

Selasa, 18 Ogos 2009

Tanda-tanda Hadirnya Ramadhan alMubarak

Mungkin anda berpendapat aku ingin berdakwah apabila membaca tajuk tampalan kali ini. Sebenarnya aku memandang dalam bentuk songsang untuk mengesan kehadiran bulan mulia ini. Pertama cuba anda mendengar iklan di radio dan menonton iklan di televisyen, apakah bentuk iklan yang sedang mendominasi media sekarang. Tidak lain dan tidak bukan adalah iklan buah kurma dan kain langsir. Begitu juga jika anda membaca akhbar, sudah pasti anda terserempak beberapa muka penuh iklan sajian buffet yang berbagai dan penuh lazat serta nikmat bagaimana hendak berbuka puasa. Jadi itulah yang sedang berlaku sekarang menyebabkan aku sedar bahawa Ramadhan muncul kembali. Lalu timbul persoalan, beginikah bulan mulia ini harus disambut? Apakah orang Islam sudah tersasar arah dan tujuan untuk menempuh sebulan yang penuh cabaran. Aku tidak dapat menjawab kerana aku bukan pakar dalam bidang ini. Kemudian aku teringat pula kajian yang menunjukkan bahawa hanya beberapa kerat dapur hotel yang mempunyai sijil halal.

Bagaimana pula dengan iklan menyeru umat Islam memperbanyakkan amalan ketika berada dalam bulan mulia ini? Mungkin sudah sampai waktunya pihak berkuasa dan berwajib dalam bidang agama memperuntukkan sedikit wang untuk berkempen di akhbar dan televisyen agar umat Islam banyak beribadat dan bukannya banyak melahap! Aku khautir suatu masa nanti bulan mulia ini ditunggu-tunggu hanya untuk memenuhi nafsu perut! Umat Islam sekarang seperti kanak-kanak 5 tahun yang pertama kali berpuasa, maksud aku hendak makan segala-galanya demi perut yang kosong.

Isnin, 17 Ogos 2009

Seperti Tom Memburu Jerry!


Setelah beberapa minggu tidur malam agak terganggu dengan karenah Jerry, akhirnya kelmarin aku membuat andaian spesis terakhir telah berjaya ditangkap di RimbunKasih. Walau itu hanya suatu kemungkinan, aku sudah terlupa berapa ekor Jerry yang telah masuk ke dalam perangkap yang aku sediakan dan juga yang mati akibat terminum racun yang aku gula-gulakan. sebagai ganjaran kematian itu banyak kerosakan yang telah berjaya Jerry lakukan. Buku, majalah, pakaian, wayar elektrik dan termasuk makanan ikan peliharaan puteri aku! Jadi aku cuba bayangkan kenakalan yang dilakukan oleh Jerry hingga menyebabkan Tom tidak jemu-jemu mengejarnya di kaca televisyen!

Ahad, 16 Ogos 2009

Horlick 1 Nescafe 1!

Memang kadang kala dalam keadaan serius, seronok juga buat lawak (sama ada lawak cerdik atau lawak bodoh). Begitulah reaksi aku abaila pelajar-pelajar aku mula menterjemah istilah berhantu H1N1. Salah satu terjemahan yang aku rasa menarik aku jadikan tajuk tampalan kali ini. Jadi muncul pelbagai istilah ketika kami sekelas kebingungan memikirkan bagaimana laju dan pantasnya (mungkin bersesuaian dengan dunia sekarang yang mahukan gajet kecil dan pantas) wabak ini merebak keseluruh dunia dan mungkinkah virus ini mampu berhadapan dengan tahap panas ekstrem padang pasir Sahara atau Kalahari dan ekstrem dinginbeku Artik dan Antartika. Memang telah tercatat dalam sejarah dunia peristiwa hitam akibat penularan virus yang ekstrem sebegini. Sejak Zaman Gelap di Eropah hinggalah zaman alaf baru. Sebelum ini berlaku SARS hingga hukuman bunuh dikenakan terhadap segala unggas yang tidak mengerti apa-apa. Mungkinkah juga H1N1 juga begitu. Maksud akau kenakan hukuman bunuh terhadap semua babi. Tetapi nampaknya kali babi terselamat; malah ada orang tertentu tidak gemar apabila media menggunakan istilah selsema babi.

Jadi selepas satu sesi praseminar kelas tingkatan 5, kami sekelas seronok menterjemahkan istilah ini untuk menghilangkan tekanan kerana SPM semakin mendekat. Masa beberapa minit itu menjadikan kami lupa sebentar betapa virus ini adalah pembunuh yang licik! Entahlah berapa banyak lagi nyawa akan terkorban dan berapa banyak lagi kain penutup hidung akan dijual dengan harga yang tidak munasabah. Mungkin sekiranya ada masa terluang lagi selepas praseminar yang seterusnya, aku mahu pelajar-pelajar menjadi kreatif menghiasi kain penutup hidung dan mulut mereka. Mungkin idea ini mendapat respon yang baik sambil keselamatan diri terus dijaga. Selama ini aku lihat keadaan sekolah sudah mirip sebuah hospital. Kain penutup hidung dan mulut terlalu menakutkan dan tidak salah jika ada yang menghiasi kain penutup itu dengan manik atau labuci atau stiker kartun kegemaran mereka.

Ahh... apabila pandemic menjadikan manusia panik.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Apabila Laptop Aku Sakit!

Memang sakit apabila laptop aku sakit! Sejak tiga minggu lepas aku tidak mampu menulis sebarang tampalan untuk blog ini hingga menjadikan aku sedikit marah, kecewa, geram dan semua rasa yang tidak enak! Cuma sesekali sempat menjenguk laptop kawan sambil menghantar komen untuk blog-blog tertentu. Terasa begitu iri hati dan keinginan terus memuncak sehinggalah sababat baik muncul pagi ini dengan laptop 'spiderman'. Wow! Terus meletupkan papan kekunci dengan penuh rasa ghairah dan puas!