Isnin, 29 September 2008

Salam Hari Raya Aidil Fitri

Aku ucapkan Salam Aidil Fitri buat semua yang mengenali. Semoga Aidil Fitri ini menyedarkan kita dari tidur yang panjang. Allah Yang Maha Besar! Allah Yang Maha Besar!

Kopi O Keras Berasap 2

Tiba-tiba segalanya terselak dan orang lain nampak apa yang mereka lakukan. Aku tidak tahu bagaimana hendak mentakrifkan apa yang aku bakal tuliskan ini. Hendak kata manipulasi akhbar seperti yang dituduh oleh 'pemakan makanan anjing', tidak juga kerana akhirnya dia mengaku. Seorang ahli politik (aku rasa) telah mengamalkan gagasan Niccolo Mavhiavelli - menghalalkan apa cara sekalipun - apabila dia mengaku menerima sogokan seks untuk meluluskan satu projek kerajaan negeri. Inilah manusia yang telah dipilih oleh rakyat marhain ( jika itulah yang mereka inign panggil kerana tingkahlaku mereka ) telah mem'bengong'kan orang ramai dengan pengetahuan agama yang songsang.

Aku tidak tahu di mana dia belajar agama kerana amat jelas kejahilannya. Begitu memalukan apabila dia menyamakan perbuatan sogokan seks adalah sama prinsip dengan amalan bersedekah ( alm ). Aku benar-benar terkejut dan seharusnya seluruh rakyat terkejut! Secara tidak langsung, dia juga mengaku melakukan zina. Emm...apa tindakan badan berwajib terhadap manusia hina ini? Dalam keredupan Ramadan, dia dengan bangga menggunakan ilmu sesatnya mengatakan sogokan seks sebagai satu sedekah.

Aku syorkan dia segera bertaubat. Ambil detik Ramadan yang masih tersisa ini untuk melafazkan rasa berdosa yang amat sangat. Teapi kemudian aku terfikir pula, jika dia anggap sogokan seks sebagai satu pemderian sedekah, apa pula pandangannya tentang taubat?

Jaga-jaga muzik dan tarian masih belum berhenti dan berhati-hati jika tersalah langkah dan jangan pula marahkan lantai yang tidak rata...

Jumaat, 26 September 2008

Kopi O Keras Berasap 1

Tahukah anda bahawa makanan anjing lebih mahal? Apabila seorang ISA mendakwa makanan yang disajikan untuk dirinya dalam tahanan tidak ubah seperti makanan anjing, aku tertanya-tanya adakah dia sedar bahawa makanan anjing lebih mahal berbanding makanan manusia! Cuba bandingkan setin sardin dengan setin makanan anjing - yang mana lebih mahal? Mungkin dia sudah bertindak keterlaluan memperlekehkan pihak berkuasa yang cuba mengawal kelancangannya membuat berbagai tuduhan tidak berasas sebelum ini. Kisah wanita China ketuk ketampi sudah memadai dan mengoncang para menteri. Kini dia mendakwa dan memutar belit kata-katanya sendiri. Begitu juga dengan tindakannya mempertikai tulisan Jawi di papan tanda. Bukankah dia juga mempertikai tulisan milik orang Melayu. Dalam situasi beberapa kerat pejuang Melayu sedang memperjuangkan tulisan yang semakin terhapus, dia dengan mudah mengguris perasaan orang lain. Cukuplah menjadi pejuang untuk segelintir manusia, banyak lagi isu yang lain yang boleh ia perjuangkan untuk pengundi-pengundinya. Aku juga teringat ketika bercadang mengikuti satu ceramah politik di sebuah negeri pulau. Aku sedih apabila kumpulan fanatik menyalak ke arah anggota polis yang sedang mengawal keadaan Bagaimana mereka telah menghiris perasaan anggota polis tersebut, ahli keluarganya dan juga ibu bapanya. Ke mana hilangnya perasaan penyokong-penyokong ini? Aku tertanya-tanya sambil memandu pulang.

Kita harus kembali normal. Jika Niccolo Machiavelli dalam The Prince menganjurkan perbuatan menghalal segala tindakan demi poltik, aku rasa buku itu sudah tidak sesuai dalam suasana sekarang. Perasaan saling menghormati perlu dibina semula. Jangan terlalu mengikut perasaan dan rasa ingin membalas dendam. jadikan tanah pusaka ini sebagai tanah yang indah bak syurga dan jangan jadikan ia umpama neraka. Fikirkan masa depan pewaris negara. Kita tidak mahu mereka mewarisi negara yang tebal dengan racisme. Aku rasa sedih dan kecewa dengan suasana sekarang, mungkin sesedih mereka yang telah tinggalkan kita dan telah berusaha menjadikan negara sebuah taman bahagia.

Ramadan masih tersisa dan jika dalam anekdot terdahulu aku katakan Ramadan ini paling basah, rupanya kering kontang dan panas membara. Semaikan semula rasa gembira.

Rabu, 24 September 2008

Tanda-tanda Akhir Ramadan

Anekdot Ramadan telah berakhir dan aku rasa hari-hari begini, umat Islam sedang bersiap sedia untuk meraikan kejayaan menempuh sebulan Ramadan. Menamatkan hari-hari akhir yang masih tersisa, amat menjerihkan. Tumpuan mengutip titisan pahala Ramadan seolah-olah hilang apabila saf di surau semakin banyak yang kosong. Muka-muka biasa yang kita lihat juga jarang kelihatan, kecuali pengunjung tegar surau yg terus berusaha mengimarahkannya. Begitu juga dengan kanak-kanak yang sentiasa membentuk satu saf di belakang jemaah lelaki. Tidak kedengaran lagi suara imam menegur sifat nakal kanak-kanak dan terasa surau sedikit aman walaupun mungkin ada yang merindui suasana riuh begitu.

Mercun dengan berbagai kekuatan desibel mula meriuhkan suasana kampung aku yang sepi. Masih ada yang rela membakar wang dan ketenangan kampung yang mungkin tidak diperolehi manusia lain. Paling menyedihkan bunyi letupan dengan desibel yang tinggi terus berlaku walaupun bilal tua sedikit bongkok sedang melaungkan azan. Aku benar-benar sedih apabila melalui kejadian ini. Siapa sebenarnya yang sedang membakar mercun itu. Dewasa atau kanak-kanak? Jika orang dewasa, maka amat jahillah mereka. Lupakah mereka bagaimana hendak menghormati azan? Bukankah laungan azan itu menyebabkan syaitan berlari hingga ke hujung dunia kerana ketakutan. Berbeza dengan pembakar mercun, langsung tidak takut dan asyik dengan mercun mereka. Jika kanak-kanak yang lakukannya, siapa sedang memerhati mereka?

Ada rasa sedih dan sayu, Ramadan sedang mengibas sayap-sayapnya menjauhi kita. Burung hijau itu semakin menjauh dan adakah kita akan bertemu semula dengan burung hijau itu tahun hadapan? Bintang di langit semakin jelas bertaburan. Subuh nanti renunglah langit dan hayati keheningannya. Syawal sedang menjenguk untuk menyapa kita, menjadikan kita serba salah. Kehilangan Ramadan atau bertemu Syawal.

Terima kasih...

Terima kasih untuk Uchope kerana menyumbang kepala (header) untuk blog ini. Semoga sumbangan kreatif ini akan berterusan. Sekali lagi terima kasih.

Isnin, 22 September 2008

Anekdot Ramadan

Merengkuh Laila ( 21 - 29 Ramadan ) - Mungkin catatan anekdot Ramadan ini berakhir pada hari 21. Marilah kita merengkuh laila. 10 malam-malam terakhir yang dijanjikan Allah SWT dan kita dituntut berusaha mencarinya. Malam-malam akhir pabila Nabi Muhammad SAW mengikat kainnya, menggerakkan isteri-isterinya dan melakukan qiamulail. Usah pedulikan malam ganjil atau malam genap, teruslah merengkuh laila. Akhirnya, anekdot mengundur diri... Assalamulaikum.

Anekdot Ramadan

Gunung atau busut ( 20 Ramadan ) - Seorang lelaki berkata di bulan Ramadan, sedarlah diri anda bukan gunung, mungkin juga tidak sampai setinggi busut. Entahlah kenapa dia tuturkan kata-kata itu dengan penuh riak. Jangan terkejut busut lebih tinggi daripada gunung jika busut itu berada di puncak gunung. Alahai Ramadan...

Ahad, 21 September 2008

Anekdot Ramadan

2/3 ( 19 Ramadan ) - Akhirnya kita menghampiri 10 malam terakhir, malam yang menuntut konsentrasi yang lebih pekat dalam amalan jika berbanding 20 malam yang lalu. Di sinilah kita bakal mencari Laila...

Jumaat, 19 September 2008

Anekdot Ramadan

SMS ( 18 Ramadan ) - Telefon mula menerima sms Hari Raya. Memanglah masih awal cuma terkenang zaman kad menjadi cara terbaik menyampaikan ucapan hari kemenangan ini. Mungkin zaman ini menerima kad menjadi kebanggaan kerana amalan ini semakin dilupakan dan jualan kad hari raya tidak lagi menjanjikan pulangan yang lumayan.

Anekdot Ramadan

Ayat-ayat Terindah ( 17 Ramadan ) - Bayangkan, ayat-ayat itu bukan ayat ciptaan manusia. Betapa indah dan ianya turun dari langit yang tertinggi. Tidak dapat bayang betapa hebatnya saat-saat ketika Muhammad saw menerima ayat-ayat itu. Salam Nuzul Al Quran...

Khamis, 18 September 2008

Anekdot Ramadan

Kuih...biskut...kek ( 16 Ramadan ) - Semalam menemani isteri kesayangan ke sebuah kedai untuk membeli bahan membuat juadah Hari Raya. Tauke kedai senyum hingga ke telinga. Pembeli membeli mengikut nafsu. Cuma aku tertanya-tanya bila kaum aku akan terlibat dengan perniagaan begini kerana orang Melayu memang suka membeli dan kuasa membeli orang Melayu amat kuat.

Selasa, 16 September 2008

Anekdot Ramadan

1 /2 ( 15 Ramadan ) - Sudah separuh perjalanan Ramadan berjaya dihabiskan. Sayap hijau masih memercikkan rasa taqwa dan percikan itu terasa semakin lebat dan membasahi kalbu. Perlahankan kepakan sayapmu agar Ramadan ini memberi makna yang lebih dalam...

Anekdot Ramadan

Mercun & Bunga Api ( 14 Ramadan ) - Entah kenapa tetapi aku rasa perlu juga apabila budak-budak ingin meraikan sesuatu. Tidak salah bermain tetapi jangan sampai mengundang malapelataka...Jangan abai tarawih.

Ahad, 14 September 2008

Anekdot Ramadan

Berbuka (13 Ramadan) - Baru balik bermusafir, dalam perjalanan pulang kelmarin, berbuka di sebuah restoran. Suasana agak sibuk kerana terlewat dan waktu berbuka begitu hampir. Dalam kekalutan dan terdengar azan Maghrib, kami berbuka. Cuma pekerja restoran itu tidak nampak berbuka pun. Puasa atau tidak mereka ini?

Jumaat, 12 September 2008

Anekdot Ramadan


Puteri alaihai puteri ( 12 Ramadan ) - Aku tidak duga puteri bongsu aku begitu kuat berpuasa dan paling ceria sepanjang masa. Dari bersahur hingga berbuka. Alhamdulilah...

Khamis, 11 September 2008

Anekdot Ramadan

TiVi tidak puasa! (11 Ramadan) - TiVi tidak pernah puasa, ejek puteri-puteri aku. TiVi pakai tudung, pakai baju kurung tetapi TiVi tidak pernah puasa. Banyak kisah yang dibawa oleh TiVi membuktikan TiVi tidak pernah berpuasa...dan TiVi tidak akan berpuasa selama-lamanya.

Anekdot Ramadan

1/3 ( 10 Ramadan ) - Sedar-sedar Ramadan sudah usai suku darinya. Kepuasan yang bagaimana mengisi dalam jiwa kita hingga hari ke sepuluh ini. Taqwa atau sebaliknya? 2/3 tetap akan muncul dan selepas itu Ramadan akan meninggalkan kita. Kita perlu bersedia...

Rabu, 10 September 2008

Anekdot Ramadan

Telaga ( 9 Ramadan ) - Umpama telaga, itulah Ramadan. Penuh dengan air taqwa dan timbalah dengan penuh tawaduk. InsyaAllah, kerana Dia sedang memerhati di sana. Ayuh, rebutlah titis-titis taqwa yang sedang berguguran...

Selasa, 9 September 2008

Anekdot Ramadan

Kurma,Kurma,Kurma ( 8 Ramadan ) - Jika dulu kita makan buah kurma yang melekat,berketul-ketul; kadang-kadang ada cicak atau lipas mati. Sekarang kurma menjadi tanda mewah keluarga waktu berbuka. Kurma segar bertangkai, kurma berendam madu, kurma berisi badam dan seribu satu jenis kurma dengan harga yang tidak dijangka. Aku turut ikut budaya ini dan harap Allah ampunkan aku...

Isnin, 8 September 2008

Anekdot Ramadan

Musafir ( 7 Ramadan ) - Sudah 11 minggu aku bermusafir sewaktu hujung minggu. Minggu lepas aku ber'Jumaat' di sebuah masjid yang luas, bersih tetapi malangnya gangguan budak-budak yang belum baligh begitu ketara. Dari sebelum khutbah hingga habis doa, aku hairan di mana bapa-bapa mereka...

Sabtu, 6 September 2008

Anekdot Ramadan

Hitam + Putih = Warna-warni ( 6 Ramadan ) - Lihatlah kebelakangan ini, anda akan dapati lebih banyak putih berbanding hitam. Apa yang aku maksudkan? Lebih ramai berketayap putih berbanding songkok hitam di masjid dan di surau. Cuma aku doakan biarlah pahalanya berwarna-warni...

Jumaat, 5 September 2008

Anekdot Ramadan

8 vs 20 ( 5 Ramadan ) Nombor-nombor inilah yang menjadi perbualan ketika awal Ramadan. Masjid atau surau mana yang buat 8 dan yang mana buat 20. Nampaknya yang buat 8 menjadi pilihan hingga ada yang sanggup melintas surau yang dekat rumah. Manusia sentiasa khilaf...

Anekdot Ramadan

Tudung ( 4 Ramadan ) - Puteri bongsu aku beritahu semasa berjalan di bazar - cikgu kata jangan beli makanan yang tidak ditudung. Lantas kakaknya membidas - kita juga jangan beli makanan yang dijual oleh jurujual tidak bertudung!

Khamis, 4 September 2008

Anekdot Ramadan

Seorang Lelaki Tua ( 3 Ramadan ) - Kekaguman aku terhadap lelaki ini adalah kerana dialah hamba Allah yang paling awal sampai ke surau kampung kami, membersih, menghampar sejadah dan akhirnya melaungkan azan. Umurnya? Aku rasa menghampiri 75 tahun dan bila aku tanya apa yang dia rindukan sewaktu Ramadan begini - jawapannya ialah Makkah.

Rabu, 3 September 2008

Anekdot Ramadan

Hujan Oh Hujan ( 2 Ramadan ) - Sebenarnya Ramadan kali ini adalah Ramadan paling basah. Hujan setiap petang lalu tumpu malam hingga selesai terawih. Puteri aku yang bongsu merungut kerana hujan menyebabkan dia tidak dapat mengunjungi bazar untuk memilih kuih kegemarannya. Hujan dan terus hujan. Ramadan kali ini memang basah...

Selasa, 2 September 2008

Anekdot Ramadan

Ramadan vs Rokok ( 1 Ramadan ) - Ramadan memasuki hari kedua dan azam aku masih sama seperti Ramadan yang lalu - Resolusi Berhenti Merokok! Setiap kali muncul Ramadan - resolusi yang sama yang telah aku luluskan semasa Syaaban ialah berhenti merokok. Dan aku sedang berusaha untuk memuaskan semua yang menyayangi aku... untuk berhenti merokok.