Rabu, 24 September 2008

Tanda-tanda Akhir Ramadan

Anekdot Ramadan telah berakhir dan aku rasa hari-hari begini, umat Islam sedang bersiap sedia untuk meraikan kejayaan menempuh sebulan Ramadan. Menamatkan hari-hari akhir yang masih tersisa, amat menjerihkan. Tumpuan mengutip titisan pahala Ramadan seolah-olah hilang apabila saf di surau semakin banyak yang kosong. Muka-muka biasa yang kita lihat juga jarang kelihatan, kecuali pengunjung tegar surau yg terus berusaha mengimarahkannya. Begitu juga dengan kanak-kanak yang sentiasa membentuk satu saf di belakang jemaah lelaki. Tidak kedengaran lagi suara imam menegur sifat nakal kanak-kanak dan terasa surau sedikit aman walaupun mungkin ada yang merindui suasana riuh begitu.

Mercun dengan berbagai kekuatan desibel mula meriuhkan suasana kampung aku yang sepi. Masih ada yang rela membakar wang dan ketenangan kampung yang mungkin tidak diperolehi manusia lain. Paling menyedihkan bunyi letupan dengan desibel yang tinggi terus berlaku walaupun bilal tua sedikit bongkok sedang melaungkan azan. Aku benar-benar sedih apabila melalui kejadian ini. Siapa sebenarnya yang sedang membakar mercun itu. Dewasa atau kanak-kanak? Jika orang dewasa, maka amat jahillah mereka. Lupakah mereka bagaimana hendak menghormati azan? Bukankah laungan azan itu menyebabkan syaitan berlari hingga ke hujung dunia kerana ketakutan. Berbeza dengan pembakar mercun, langsung tidak takut dan asyik dengan mercun mereka. Jika kanak-kanak yang lakukannya, siapa sedang memerhati mereka?

Ada rasa sedih dan sayu, Ramadan sedang mengibas sayap-sayapnya menjauhi kita. Burung hijau itu semakin menjauh dan adakah kita akan bertemu semula dengan burung hijau itu tahun hadapan? Bintang di langit semakin jelas bertaburan. Subuh nanti renunglah langit dan hayati keheningannya. Syawal sedang menjenguk untuk menyapa kita, menjadikan kita serba salah. Kehilangan Ramadan atau bertemu Syawal.

Tiada ulasan: