Isnin, 31 Mei 2010

Tetamu

Alhamdulilah, beberapa minggu yang lalu aku dan isteri menerima dua sampul surat yang tertera logo Tabung Haji. Isteri aku menjadi orang pertama yang membuka sampul surat tersebut ketika aku masih di dalam kereta dan aku lihat wajahnya penuh ceria. Berita yang amat gembira dan aku bersyukur kerana aku dan isteri bakal menjadi antara jutaan tetamu Allah pada tahun ini. Sebenarnya pada tahun lepas, aku dan isteri telah menjadi 'tetamu simpanan' tetapi kerana beberapa halangan kami menolak tawaran itu dan tanpa diduga tahun ini kami mendapat tawaran penuh dan bukan lagi tawaran simpanan. Jadi kebelakangan ini kami agak sibuk kerana bukan mudah menjadi tetamu di tempat paling mulia di atas muka bumi ini. Apatah lagi bakal mengunjungi rumah Allah. Jadi aku mula sebarkan berita ini sedikit demi sedikit. Untuk pengetahuan saudara mara terdekat dan masih ada lagi yang belum tahu. Kemudian mengunjungi pejabat imigresen untuk urusan pasport. Isteri pula sudah mendapat pakaian dari kakak yang telah menunaikan haji dua tahun lepas. Malah kami mendapat dua beg besar secara percuma. Inilah rezeki. Sementara aku mendapat senaskah buku berjudul Trevelog Haji dari adik dari Tanjong Malim. Kursus haji sudah semakin di penghujung dan aku lupakan seketika tabiat mengarang. Perhatian lebih kepada tujuan murni ini.

InsyaAllah, para sahabat yang membaca blog ini sila nasihati aku, sila nasihati aku dan sila nasihati aku...

Rabu, 26 Mei 2010

Cakap Atau Kerja?

Fikir punya fikir dan akhirnya aku membuat andaian bahawa dia lebih banyak bercakap dari bekerja. Dan sejak akhir-akhir ini aku lihat dan dapat rasakan bahawa dia telah dijangkiti rasa ketagihan yang amat teruk untuk bercakap dan bercakap sehingga aku meragui etika kerjanya. Bukan aku mahu menuduh tetapi naluri aku kuat mengatakan bahawa dia mengalami masalah komunikasi mungkin di rumah atau di surau/masjid dan kemungkinan juga dia sudah kehilangan ramai kawan sehingga situasi mendesak agar dia menjadi manusia yang terlalu banyak bercakap dari bekerja. Kadang kala aku sedih melihat situasi begini kerana dia memimpin organisasi yang penting. Mungkin tabiat suka cakap dari kerja itu akan menjahanamkan organisasi tersebut. Dan ketika itu segalanya sudah terlewat.

Mungkin juga kawan-kawan semakin menjauh setelah dia berada pada tahap begini dan kemungkinan juga orang bawahannya sudah jemu untuk berbual dengannya atau mereka sering mengelak hingga dia terpaksa mengambil tindakan nekad dengan memaksa semua orang mendengar apa yang bakal dia cakapkan! Seseorang perlu sedarkan dia dari 'koma' kerana dia tidak sedar apa yang dia lakukan itu sedang dinilai oleh orang bawahannya.

Aku pula lebih suka menulis dari bercakap!

Ahad, 16 Mei 2010

Selamat Hari Guru 2010

Melihat gambar di atas, sekiranya aku bukan seorang guru seperti sekarang, aku rasa gambar di atas tidak memberi sebarang pengertian. Untuk pengetahuan, inilah 'cover' filem 'To Sir, With Love" dan aku rasa saban tahun ada sahaja saluran televisyen menyiarkan filem ini. Cuma tahun ini aku terlepas menontonnya ataupun mungkin juga syarikat televisyen sudah bosan menyiarnya berulang kali. Memang meremang bulu roma apabila menonton walaupun filem ini berdasarkan skrip dan amat sukar berlaku secara realiti. Begitu juga drama pun turut merebut slot menayangkan drama begini. RTM1 telah menyempurnakan tanggungjawab mereka pada malam Sabtu yang lalu dengan menayangkan sebuah drama kisah guru. Mungkin inilah yang menjadi kebanggaan guru walaupun hakikatnya beban tugas guru masih tiada penyelesaian. Apapun aku ingin ucapkan Selamat Hari Guru untuk guru-guru aku yang terdahulu dan terkemudian. Segala jasa baik cikgu-cikgu tidak mampu aku balas.

SELAMAT HARI GURU...

Rabu, 5 Mei 2010

Marshall

Setiap dua minggu sekali aku akan ke bandar Baling untuk mengambil yang belajar di sekolah asrama. Istimewanya bandar yang pernah menjadi pusat kebangkitan pelajar univrsiti suatu ketika dahulu ialah mempunyai jaringan jalan raya yang amat baik. Salah satu jaringan jalan raya itu menghubungkan Baling dengan negeri pantai Timur. Namun begitu bukan itu yang mahu aku katakan, sebaliknya tabiat memandu pengguna jalan raya yang au rasakan begitu biadap. Mereka akan memotong tanpa mengira siapa atau apa di hadapan mereka. Tetapi itulah yang mereka lakukan. Tetapi minggu lepas lebih hebat apabila sekumpulan penunggang motosikal yang diiringi marshall yang aku rasakan begitu berani dan mungkin tubuh mereka sekukuh motosikal mereka. Sudahlah memandu di lorong yang salah dan masih berbangga memberi isyarat supaya kenderaan di sebelah lorong memberi lalauan kepada mereka. Hilang akalkah marshall ini? Inilah budaya rempit yang mungkin ingin dilakukan secara sah!

PDRM dan JPJ perlu pantau!