Memang Si Kerian seperti gadis pingitan yang kuat menggoda dengan gerak halusnya. Umpama perawan yang mendedahkan seluruh tubuhnya, dia terus menggoda saban hari. Setiap detik godaan itu tidak dapat ditolak, malah Si Kerian mahu kami terus meneroka dirinya. Si Kerian adalah makhluk dan sudah pasti sesekali Si Kerian marah dan marah itu kadang kala sukar menduga tahap kemarahannya. Pernah sekali Si Kerian buat perangai. Dari cantik, Si Kerian berubah menjadi hodoh. Si Kerian benar-benar pongah! Marah Si Kerian menyebabkan kami lari meninggalkan kawasan rendah dan aku sekeluarga biasanya akan ke masjid kerana kedudukan masjid depan rumah itu di atas bukit kecil. Jadi dari tebing masjid, kami sekeluarga dapat melihat bagaimana kemarahan Si Kerian, meratah dinding, pintu, pagar, segala peliharaan kami, pasu bunga dan apa saja yang menghalang. Si Kerian benar-benar tunjuk gila! Tahun 1999 merupakan tahun paling gila Si Kerian. Malah aku rasa tahap gila Si Kerian tahun itu tidak pernah aku tengok selama berjiran dengannya. Rumah kami akhirnya hanya nampak bumbung. Tidak pernah Si Kerian marah begitu sekali. Biasanya hanya hanya setakat lutut atau paling kuat bawah pinggang Tetapi Si Kerian marah betul kali ini. Entah di mana salahnya. Saat itulah koleksi majalah yang aku kumpul selama ini hanyut begitu saja. Aku tidak menangis kerana mak dan bapak aku menangis melihat kerosakan akibat amarah Si Kerian!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan