Rabu, 22 Julai 2009

Gula!

Pagi tadi aku segera ke klinik apabila berasa tidak selesa. Memang setiap enam bulan aku lakukan pemeriksaan percuma di klinik kerajaan dan sudah pasti aku memilih ke sana kerana layanan pembantu perubatannya yang mesra dan penuh nasihat. Terima kasih En Ikhram! Lalu pembantu perubatan membuat keputusan mengambil sampel darah (setelah mendapati darah aku diperiksa hampir setahun yang lalu) untuk dihantar ke makmal dan dianalisa. Keputusan analisa itu akan aku ketahui petang hari Khamis ini. Cuma yang merisaukan aku ialah kadar gula dalam darah aku tiba-tiba mencanak! 10.9!

Sebelum ini kadar gula dalam darah aku tidak pernah melepasi angka 7 dan aku bersyukur. Begitu juga dengan tekanan darah. Normal - kata En Ikhram. Aku lega dan bersyukur. Cuma sekarang ini musim 'buah kayu', jadi dimana-mana saja anda bertandang anda akan dijamu dengan buah rambutan, manggis, langsat, dukong dan mungkin juga durian. Pergi kerja ada, pergi surau ada, pergi kantin ada. Godaan buah-buahan yang dirasakan 'beracun' ini begitu sukar untuk ditolak. Mungkin itu salah satu faktor yang menyebabkan gula dalam darah aku meningkat.

Tiba-tiba saja dirasakan gula itu adalah RACUN!

Sabtu, 18 Julai 2009

Betapa Berat Untuk Bab Akhir

Tiba-tiba sesuatu yang aku takutkan selama ini terjadi. Apa yang harus aku lakukan apabila bab akhir sebuah novel tidak dapat disempurnakan setelah memikirkan hampir sebulan yang lalu. Setiap hari asyik memikirkan bagaimana hendak mengakhiri novel ini dan terasa cukup perit dan merisaukan. Bolehkah sebuah novel itu berdiri tanpa bab akhir? Entah...

Semalam ketika asyik memikirkan bab akhir ini hingga tertidur dan pagi ini membuat keputusan biar bab itu datang sendiri kerana dalam situasi tertentu, sudah pasti ada cahaya di hujung terowong. Walaupun kisahnya novel kali ini agak biasa dan kerana kebiasaan itu membuat aku tenggelam punca. Inilah yang dikatakan cabaran mengarang. Harap-harap hujung Julai ini ada idea yang menyuntik dalam akal fikiran dan aku perlu sabar dan menunggu.

Hujung Safar ini ada kejadian gerhana matahari. Mungkin ada idea di situ!

Khamis, 16 Julai 2009

Berbangga Sebagai Ayah dan Berbangga Sebagai Anak

Sepanjang bulan ini mungkin hari yang istimewa buat ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah. Hal ini kerana, sepanjang bulan ini biasanya dilangsungkan majlis penyampaian hadiah untuk anak-anak yang mencatat kecemerlangan sepanjang bergelar sebagai pelajar. Tidak terkecuali puteri-puteri aku. Semalam mereka dirai oleh pihak sekolah kerana telah berjaya mencatat kejayaan dalam bidang akademik. Sementara puteri sulung aku akan menerima hadiah pada minggu hadapan. Jadi memang seronok apabila melihat anak-anak sendiri naik ke pentas menerima hadiah, walaupun hadiah itu tidak seberapa tetapi terbeban dengan keikhlasan yang tinggi. Sebagai ayah , aku berbangga dan sudah pasti sebagai anak mereka turut berbangga.


Khamis, 9 Julai 2009

Belasungkawa PPSMI

Seorang pesakit sedang terbaring di atas katil pesakit. Masih awal untuk dimasukkan ke dalam bilik ICU. Saluran getah kecil berselirat dan wayar berbagai warna bertindah-tindih dan rentak bunyi jantung semakin perlahan. Dia masih bernyawa. Doktor sudah hilang akal untuk memulihkannya. Setiap pelawat yang melihat hanya mampu menggelengkan kepala. Kata doktor lagi hayatnya hanya tiga tahun lagi.Mulai 2012 alat bantuan penafasan akan ditanggalkan dan ketika itu anda boleh mengucapkan Belasungkawa PPSMI!

Selasa, 7 Julai 2009

Kembara Amira : Mengisahkan Kisah Emas Orang Bodoh

Dalam novel Kembara Amira yang aku hasil pada tahun 2005 dan memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ada menyentuh tentang 'emas orang bodoh' berdasarkan e mel dari Jacinta kepada Amira. Sila baca petika di bawah :

" Oh, ya! Rantai emas yang kau dan Itai hadiahkan itu masih tergantung di leher ku tetapi ada sesuatu yang aku hendak beritahu. Itu adalah besi pirit atau 'emas orang bodoh' bukan emas yang sebenarnya! " - Kembara Amira (306)

Kemudian muncul berita tentang penemuan emas di sebuah perkampungan di Kedah hingga menimbulkan sedikit kekalutan kerana suasana seolah-olah berlaku zaman kerubut emas di amerika Syarikat suatu ketika dahulu. Tetapi malangnya apabila Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Kedah/Perlis /Pulau Pinang mengesahkan ketulan emas yang dijumpai di Kampung Jelutung, Mukim Tobiar, Pendang, Kedah adalah mineral pyrite (FeS2) dan juga kemungkinan sekali Arsenopyrite (Fe As S) atau juga dikenali emas bodoh.

Aku gembira kerana apa yang aku bayangkan ketika Amira dan Itai mengutip 'emas bodoh' dari dasar sungai, rupa-rupanya boleh menjadi realiti. Jadi penemuan 'emas bodoh' di Kampung Jelutung walaupun pahit bagi pencari emas yang berbondong-bondong tetapi sesuatu yang menggembirakan bagi penulis novel Kembara Amira!