Rabu, 29 Oktober 2008

Angka 100

Hari ini Biblioholikafe telah dikunjungi oleh pelanggan ke 107 dan aku gembira kerana Biblioholikafe yang aku benihkan sekitar 4 Ogos 08 sedikit sebanyak telah berjaya menarik 100 orang pembaca blog. Semoga anda mendapat manfaat. InsyaAllah...

Selasa, 28 Oktober 2008

Sebuah Puisi Seribu Erti

Kira-kira 9.30am Jumaat lalu, aku menerima mesej dari sahabatku menyatakan puisinya terbit dalam Mingguan Wasilah (28/10/08). Aku yang sedang dalam perjalanan ke Tanjong Malim berhenti di sebuah gerai dan segera menyambar senaskah tabloid yang tidak pernah aku beli sebelum ini. Pada mulanya aku membuat beberapa jangkaan dan cuba meneka apakah bentuk puisi sahabat yang disiarkan oleh sebuah tabloid politik. Mungkinkah isu politik semasa atau apa saja isu yang sedang menghiasi halaman pertama akhbar perdana. Tetapi apabila aku menatap puisi tersebut, aku terkedu. Betapa sahabat aku ini memiliki jiwa halus seorang suami dan juga penghasil puisi.

Membaca puisi itu membuatkan aku teringatkan puisi yang dilagukan oleh Kopratasa suatu ketika dahulu. Puisi berjudul Perempuan, nukilan Aziz H.M (Allahyarham). Aku tertanya-tanya kenapa sering kali lelaki yang menghasilkan puis sebegini. Bagaimana dengan perempuan? Bagaimana lelaki yang sifatnya keras mampu menghasilkan bait-bait puisi yang halus penuh seni dan sarat dengan emosi serta bersifat puitis. Eulogi kepada perempuan oleh lelaki, aku rasa tidak mampu dilakukan oleh perempuan untuk lelaki! Aku rasa belum ada perempuan menghasilkan puisi untuk lelaki/suaminya. Tentu rasa sukar untuk menerima kenyataan ini tetapi jika dilihat perkembangan kesusasteraan Eropah, lelaki lebih cenderung menghasilkan puisi yang mempunyai nilai bahasa yang tinggi berbanding perempuan hanya menghasilkan novel yang rendah kualiti penggunaan bahasa. Ini bukan isu gender tetapi itulah hakikatnya.

Untuk sahabat Sdr Zawawi Jahya, aku ingin petik kata-kata yang aku rasa begitu kuat menghentak perasaan aku berdasarkan puisi Cahaya Kehidupanku :
- lalu keangkuhanku tumpah di lembut tangan mu
Kata-kata itu mengingatkan aku betapa aku terlalu banyak berhutang dengan isteriku.

Ahad, 26 Oktober 2008

Mereka Baru Tahu

Aku terbaca dalam akhbar baru-baru ini tentang kenapa manusia menjadi gemuk. Menurut saintis cara dan budaya makan seseorang itu mempengaruhi kegemukan mereka. Makan dengan cepat (laju) dan gelojoh akan menyebabkan seseorang itu gemuk. Tiba-tiba aku terfikir kenapa baru sekarang mereka sedar perkara ini? Sedangkan sejak dari kecil apabila kita mampu menyuapkan makanan sendiri ke dalam mulut, kita diingatkan supaya mengunyah sebanyak 40 kali. Sementara Nabi Muhammad SAW hanya menggunakan tiga jari sahaja ketika mengambil makanan. Bukankah kita sudah tahu perkara lebih lama daripada mereka? Emak aku bukan seorang saintis ketika mengingatkan aku supaya mengunyah 40 kali sebelum menelan. Cuma kadang-kadang kita terlupa untuk mengingatkan nasihat itu

Selasa, 21 Oktober 2008

Datuk-datuk Yang Sudah Tidak Dipedulikan.

Tanpa aku duga aku juga diseret untuk menyentuh isu ini. Isu seorang lelaki dari India yang tidak tahu keturunan dan asal-usulnya tiba-tiba menjadi 'datuk' di Malaysia. Lelaki yang memiliki nama Islam tetapi tidak pernah mempedulikan umat Islam di negara asalnya dan tidak pernah menghormati budaya negara kita, tetapi tiba-tiba menjadi 'datuk'! Aku tertanya-tanya apa sumbangan lelaki ini hingga diberi penghormatan yang sedemikian rupa? Ataupun sudah tidak ada calon yang difikirkan sesuai untuk diberi penghormatan ini? Sudah tidak ada guru, pejuang negara, dermawan atau apa-apa saja kategori yang difikirkan sesuai untuk diberi anugerah ini? Aku syorkan berikanlah anugerah datuk itu untuk lima sahabat yang cukup terkenal di negeri tersebut. Sekurang-kurangnya mereka cukup berjasa buat negeri tersebut.

Sebenarnya anugerah begini sudah menjadi seperti satu perlumbaan buat mereka. Budak beringus yang masih tidak mengerti erti kehidupan sudah bergelar datuk. Aku takut selepas ini entah siapa-siapa lagi yang kita tidak kenali akan mendapat anugerah begini. Dan mereka yang bergelar datuk semakin ramai berbanding yang tidak mempunyai sebarang gelaran. Aku rasa sudah cukuplah gelaran-gelaran ini kerana secara tidak langsung rakyat Malaysia terseret dalam istilah kasta!

Selasa, 7 Oktober 2008

Susu Pinggan

Entah perkara apa yang merasuk mereka apabila mereka memasarkan susu dalam bentuk pinggan. Itulah yang aku faham apabila mereka masukkan melamin dalam susu tepung untuk anak-anak kecil. Cuma yang menghairankan kenapa belum ada pendedahan secara besar-besaran di media Malaysia, produk yang menggunakan serbuk pinggan ini. Ada satu soalan lagi pernah rasa bagaimana sakitnya apabila batu karang mahu keluar melalui salur kencing anda? Tanya mereka yang pernah mengalaminya!

Dulu kita pernah dengar pinggan yang gunakan serbuk tulang untuk menguatkan kacanya tetapi kali ini kita dengar kisah pinggan berbentuk susu. Pelik bukan? Aku yakin wang sudah menjadi Tuhan mereka!

Sabtu, 4 Oktober 2008

Kerubut Teori : Perlukah?

Dalam usaha membaca genre sastera, disisi pembaca perlu ada satu teori agar pembacaan menjadi lebih bermakna. Malah dikatakan melalui teori, pembacaan akan menjadi lebih mudah dan memandu pembaca agar tidak tergelincir serta membuat tafsiran yang penuh kelabu. Bayangkan jika tanpa teori ini, bagaimana kita akan tafsirkan TiVi karya Shahnon Ahmad, Hujan Pagi karya A.Samad Said? Aku lihat ramai yang tergelincir ketika membaca TiVi lalu membuat tuduhan bahawa karya ini penuh dengan pornografi. Begitu juga Hujan Pagi yang begitu sukar difahami, apatah lagi Daerah Zeni yang dirasakan amat sukar untuk ditafsirkan lalu dituduh begitu membosankan oleh para ilmuan. Malah aku pernah bertemu dengan seorang pengkaji sastera yang mengaku membaca Hujan Pagi dengan cara mengundur dan sampai kini aku tidak pasti apa yang dia perolehi setelah selesai membaca novel itu dengan cara begitu. Kata Mana Sikana ( Teori dan Kritikan Sastera - 1998 )- melalui teori, pengkaji dan 'pemamah' sastera akan terdedah tentang definisi, hakikat, konsep, genrelogi dan hipogram.
Jadi bagaimanakah anda ketika membaca sebarang genre sastera? Bersandarkan teorikah? Atau belasah saja dan kemudian buat andaian yang akan merumitkan keadaan dan membingungkan orang lain. Jadi aku nasihatkan pelanggan-pelanggan kafe ini agar memegang manamana teori sambil menggigit, mengunyah dan memamah mana-mana genre. Tetapi... teori apa yang kita tahu? Adakah apa-apa teori sastera tanah air yang semakin berair ini? Sebenarnya ada dan seolah-olah kerubut! Maksud aku negara sekecil ini dengan penduduk hanya seramai 23 juta ( lebih kurang ) mempunyai hampir-hampir 10 teori sastera! Satu fakta yang sungguh mengejutkan kerana bagi aku, jumlah teori tidaklah penting. Apa yang lebih penting ialah pendokong, pengamal dan pengikut teori tersebut kerana tanpa mereka teori yang hebat dan baik tidak akan membawa sebarang makna. Atau mungkin lebih hebat lagi berdasarkan teori wujud pula aliran-aliran yang akan mengukuhkan lagi teori berkenaan.
Jadi berapa banyak teori sastera yang terdapat di Malaysia? Mungkin apa yang akan aku senaraikan ini tidak lengkap atau tertinggal, tetapi inilah senarai yang aku kenalpasti. Teori Puitika Sastera Melayu (Muhammad Haji Salleh), Teori Persuratan Baru (Mohd Affendi Hassan), Teori Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang), Teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Teori Teksdealisme (Mana Sikana), Teori Rasa-Fenomenologi (Sohaimi Abd Aziz), Teori Konseptual Kata Kunci (Dr Mohd Mokhtar Hassan) dan Teori Sistem Pemikiran Bersepadu (Dato' Mohd Yusuf Hassan). Ini merupakan satu senarai panjang untuk satu saiz kelompok sastera yang kecil.
Namun senarai yang panjang itu belum menampakkan pendokong (penganut) teori yang memperjuang dan mengemas kini teori-teori tersebut. Sebaliknya hanya seorang dua sahaja yang betul-betul memamah teori-teori itu dan mempertahankannya. Adakah teori-teori ini tidak lebih hanya sebagai kerubut sahaja? Cuba lihat negara jiran Indonesia, berapa banyak teori sastera yang negara itu miliki? Begitu juga dengan dunia sastera Barat, tidak banyak teori yang dapat aku senaraikan. bermula dengan teori klasik iaitu Teori Peniruan Plato dan Teori Mimesis. Sementara teori moden seperti Teori Formalis (Viktor Shklovsky), Teori Kritikan Baharu, Teori Strukturulisme (Claude Levi-Strauss), Teori Fenomenologi (Edmund Husserl), Teori Semiotik (Ferdinand de Saussure), Teori Psikoanalisis (Sigmund Frued), Teori Kesusasteraan Marxisme (Karl Marx) dan Teori Feminisme.
Jadi aku ingin cadangkan kepada pemamah sastera negara; pilihlah satu teori yang anda tahu dan pegang teori itu sekuat mungkin apabila anda membaca genre sastera negara. Tidak salah jika anda memilih teori Barat dan tidak terjejas intelektual anda jika memilih teori tempatan. Akhirnya, selamat memamah, mengunyah dan menelan apa-apa genre sastera yang anda minati bersandarkan teori yang anda tahu.