Sabtu, 4 Oktober 2008

Kerubut Teori : Perlukah?

Dalam usaha membaca genre sastera, disisi pembaca perlu ada satu teori agar pembacaan menjadi lebih bermakna. Malah dikatakan melalui teori, pembacaan akan menjadi lebih mudah dan memandu pembaca agar tidak tergelincir serta membuat tafsiran yang penuh kelabu. Bayangkan jika tanpa teori ini, bagaimana kita akan tafsirkan TiVi karya Shahnon Ahmad, Hujan Pagi karya A.Samad Said? Aku lihat ramai yang tergelincir ketika membaca TiVi lalu membuat tuduhan bahawa karya ini penuh dengan pornografi. Begitu juga Hujan Pagi yang begitu sukar difahami, apatah lagi Daerah Zeni yang dirasakan amat sukar untuk ditafsirkan lalu dituduh begitu membosankan oleh para ilmuan. Malah aku pernah bertemu dengan seorang pengkaji sastera yang mengaku membaca Hujan Pagi dengan cara mengundur dan sampai kini aku tidak pasti apa yang dia perolehi setelah selesai membaca novel itu dengan cara begitu. Kata Mana Sikana ( Teori dan Kritikan Sastera - 1998 )- melalui teori, pengkaji dan 'pemamah' sastera akan terdedah tentang definisi, hakikat, konsep, genrelogi dan hipogram.
Jadi bagaimanakah anda ketika membaca sebarang genre sastera? Bersandarkan teorikah? Atau belasah saja dan kemudian buat andaian yang akan merumitkan keadaan dan membingungkan orang lain. Jadi aku nasihatkan pelanggan-pelanggan kafe ini agar memegang manamana teori sambil menggigit, mengunyah dan memamah mana-mana genre. Tetapi... teori apa yang kita tahu? Adakah apa-apa teori sastera tanah air yang semakin berair ini? Sebenarnya ada dan seolah-olah kerubut! Maksud aku negara sekecil ini dengan penduduk hanya seramai 23 juta ( lebih kurang ) mempunyai hampir-hampir 10 teori sastera! Satu fakta yang sungguh mengejutkan kerana bagi aku, jumlah teori tidaklah penting. Apa yang lebih penting ialah pendokong, pengamal dan pengikut teori tersebut kerana tanpa mereka teori yang hebat dan baik tidak akan membawa sebarang makna. Atau mungkin lebih hebat lagi berdasarkan teori wujud pula aliran-aliran yang akan mengukuhkan lagi teori berkenaan.
Jadi berapa banyak teori sastera yang terdapat di Malaysia? Mungkin apa yang akan aku senaraikan ini tidak lengkap atau tertinggal, tetapi inilah senarai yang aku kenalpasti. Teori Puitika Sastera Melayu (Muhammad Haji Salleh), Teori Persuratan Baru (Mohd Affendi Hassan), Teori Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang), Teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Teori Teksdealisme (Mana Sikana), Teori Rasa-Fenomenologi (Sohaimi Abd Aziz), Teori Konseptual Kata Kunci (Dr Mohd Mokhtar Hassan) dan Teori Sistem Pemikiran Bersepadu (Dato' Mohd Yusuf Hassan). Ini merupakan satu senarai panjang untuk satu saiz kelompok sastera yang kecil.
Namun senarai yang panjang itu belum menampakkan pendokong (penganut) teori yang memperjuang dan mengemas kini teori-teori tersebut. Sebaliknya hanya seorang dua sahaja yang betul-betul memamah teori-teori itu dan mempertahankannya. Adakah teori-teori ini tidak lebih hanya sebagai kerubut sahaja? Cuba lihat negara jiran Indonesia, berapa banyak teori sastera yang negara itu miliki? Begitu juga dengan dunia sastera Barat, tidak banyak teori yang dapat aku senaraikan. bermula dengan teori klasik iaitu Teori Peniruan Plato dan Teori Mimesis. Sementara teori moden seperti Teori Formalis (Viktor Shklovsky), Teori Kritikan Baharu, Teori Strukturulisme (Claude Levi-Strauss), Teori Fenomenologi (Edmund Husserl), Teori Semiotik (Ferdinand de Saussure), Teori Psikoanalisis (Sigmund Frued), Teori Kesusasteraan Marxisme (Karl Marx) dan Teori Feminisme.
Jadi aku ingin cadangkan kepada pemamah sastera negara; pilihlah satu teori yang anda tahu dan pegang teori itu sekuat mungkin apabila anda membaca genre sastera negara. Tidak salah jika anda memilih teori Barat dan tidak terjejas intelektual anda jika memilih teori tempatan. Akhirnya, selamat memamah, mengunyah dan menelan apa-apa genre sastera yang anda minati bersandarkan teori yang anda tahu.

Tiada ulasan: