Isnin, 29 September 2008

Salam Hari Raya Aidil Fitri

Aku ucapkan Salam Aidil Fitri buat semua yang mengenali. Semoga Aidil Fitri ini menyedarkan kita dari tidur yang panjang. Allah Yang Maha Besar! Allah Yang Maha Besar!

Kopi O Keras Berasap 2

Tiba-tiba segalanya terselak dan orang lain nampak apa yang mereka lakukan. Aku tidak tahu bagaimana hendak mentakrifkan apa yang aku bakal tuliskan ini. Hendak kata manipulasi akhbar seperti yang dituduh oleh 'pemakan makanan anjing', tidak juga kerana akhirnya dia mengaku. Seorang ahli politik (aku rasa) telah mengamalkan gagasan Niccolo Mavhiavelli - menghalalkan apa cara sekalipun - apabila dia mengaku menerima sogokan seks untuk meluluskan satu projek kerajaan negeri. Inilah manusia yang telah dipilih oleh rakyat marhain ( jika itulah yang mereka inign panggil kerana tingkahlaku mereka ) telah mem'bengong'kan orang ramai dengan pengetahuan agama yang songsang.

Aku tidak tahu di mana dia belajar agama kerana amat jelas kejahilannya. Begitu memalukan apabila dia menyamakan perbuatan sogokan seks adalah sama prinsip dengan amalan bersedekah ( alm ). Aku benar-benar terkejut dan seharusnya seluruh rakyat terkejut! Secara tidak langsung, dia juga mengaku melakukan zina. Emm...apa tindakan badan berwajib terhadap manusia hina ini? Dalam keredupan Ramadan, dia dengan bangga menggunakan ilmu sesatnya mengatakan sogokan seks sebagai satu sedekah.

Aku syorkan dia segera bertaubat. Ambil detik Ramadan yang masih tersisa ini untuk melafazkan rasa berdosa yang amat sangat. Teapi kemudian aku terfikir pula, jika dia anggap sogokan seks sebagai satu pemderian sedekah, apa pula pandangannya tentang taubat?

Jaga-jaga muzik dan tarian masih belum berhenti dan berhati-hati jika tersalah langkah dan jangan pula marahkan lantai yang tidak rata...

Jumaat, 26 September 2008

Kopi O Keras Berasap 1

Tahukah anda bahawa makanan anjing lebih mahal? Apabila seorang ISA mendakwa makanan yang disajikan untuk dirinya dalam tahanan tidak ubah seperti makanan anjing, aku tertanya-tanya adakah dia sedar bahawa makanan anjing lebih mahal berbanding makanan manusia! Cuba bandingkan setin sardin dengan setin makanan anjing - yang mana lebih mahal? Mungkin dia sudah bertindak keterlaluan memperlekehkan pihak berkuasa yang cuba mengawal kelancangannya membuat berbagai tuduhan tidak berasas sebelum ini. Kisah wanita China ketuk ketampi sudah memadai dan mengoncang para menteri. Kini dia mendakwa dan memutar belit kata-katanya sendiri. Begitu juga dengan tindakannya mempertikai tulisan Jawi di papan tanda. Bukankah dia juga mempertikai tulisan milik orang Melayu. Dalam situasi beberapa kerat pejuang Melayu sedang memperjuangkan tulisan yang semakin terhapus, dia dengan mudah mengguris perasaan orang lain. Cukuplah menjadi pejuang untuk segelintir manusia, banyak lagi isu yang lain yang boleh ia perjuangkan untuk pengundi-pengundinya. Aku juga teringat ketika bercadang mengikuti satu ceramah politik di sebuah negeri pulau. Aku sedih apabila kumpulan fanatik menyalak ke arah anggota polis yang sedang mengawal keadaan Bagaimana mereka telah menghiris perasaan anggota polis tersebut, ahli keluarganya dan juga ibu bapanya. Ke mana hilangnya perasaan penyokong-penyokong ini? Aku tertanya-tanya sambil memandu pulang.

Kita harus kembali normal. Jika Niccolo Machiavelli dalam The Prince menganjurkan perbuatan menghalal segala tindakan demi poltik, aku rasa buku itu sudah tidak sesuai dalam suasana sekarang. Perasaan saling menghormati perlu dibina semula. Jangan terlalu mengikut perasaan dan rasa ingin membalas dendam. jadikan tanah pusaka ini sebagai tanah yang indah bak syurga dan jangan jadikan ia umpama neraka. Fikirkan masa depan pewaris negara. Kita tidak mahu mereka mewarisi negara yang tebal dengan racisme. Aku rasa sedih dan kecewa dengan suasana sekarang, mungkin sesedih mereka yang telah tinggalkan kita dan telah berusaha menjadikan negara sebuah taman bahagia.

Ramadan masih tersisa dan jika dalam anekdot terdahulu aku katakan Ramadan ini paling basah, rupanya kering kontang dan panas membara. Semaikan semula rasa gembira.

Rabu, 24 September 2008

Tanda-tanda Akhir Ramadan

Anekdot Ramadan telah berakhir dan aku rasa hari-hari begini, umat Islam sedang bersiap sedia untuk meraikan kejayaan menempuh sebulan Ramadan. Menamatkan hari-hari akhir yang masih tersisa, amat menjerihkan. Tumpuan mengutip titisan pahala Ramadan seolah-olah hilang apabila saf di surau semakin banyak yang kosong. Muka-muka biasa yang kita lihat juga jarang kelihatan, kecuali pengunjung tegar surau yg terus berusaha mengimarahkannya. Begitu juga dengan kanak-kanak yang sentiasa membentuk satu saf di belakang jemaah lelaki. Tidak kedengaran lagi suara imam menegur sifat nakal kanak-kanak dan terasa surau sedikit aman walaupun mungkin ada yang merindui suasana riuh begitu.

Mercun dengan berbagai kekuatan desibel mula meriuhkan suasana kampung aku yang sepi. Masih ada yang rela membakar wang dan ketenangan kampung yang mungkin tidak diperolehi manusia lain. Paling menyedihkan bunyi letupan dengan desibel yang tinggi terus berlaku walaupun bilal tua sedikit bongkok sedang melaungkan azan. Aku benar-benar sedih apabila melalui kejadian ini. Siapa sebenarnya yang sedang membakar mercun itu. Dewasa atau kanak-kanak? Jika orang dewasa, maka amat jahillah mereka. Lupakah mereka bagaimana hendak menghormati azan? Bukankah laungan azan itu menyebabkan syaitan berlari hingga ke hujung dunia kerana ketakutan. Berbeza dengan pembakar mercun, langsung tidak takut dan asyik dengan mercun mereka. Jika kanak-kanak yang lakukannya, siapa sedang memerhati mereka?

Ada rasa sedih dan sayu, Ramadan sedang mengibas sayap-sayapnya menjauhi kita. Burung hijau itu semakin menjauh dan adakah kita akan bertemu semula dengan burung hijau itu tahun hadapan? Bintang di langit semakin jelas bertaburan. Subuh nanti renunglah langit dan hayati keheningannya. Syawal sedang menjenguk untuk menyapa kita, menjadikan kita serba salah. Kehilangan Ramadan atau bertemu Syawal.

Terima kasih...

Terima kasih untuk Uchope kerana menyumbang kepala (header) untuk blog ini. Semoga sumbangan kreatif ini akan berterusan. Sekali lagi terima kasih.