Selasa, 23 Mac 2010

Pesta Buku Untuk Siapa?

Untuk siapa sebenarnya pesta buku ini? Saban tahun pesta buku diadakan dan aku sering tertanya-tanya untuk siapa sebenarnya pesta buku ini diadakan? Adakah hanya orang Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang sahaja yang membaca buku? Bagaimana pula dengan orang utara, orang timur dan orang yang berada terlalu jauh dari ibu kota ini? Dalam usaha kempen galakan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia yang dikatakan amat memalukan, pihak yang menganjur pesta-pesta buku ini tidak bersikap realistik. Seharusnya pesta buku besar begini diadakan dalam bentuk zon agar semua penggemar buku dapat menikmati urusan membeli dengan potongan harga yang besar. Tetapi malangnya, pesta ini hanya untuk orang tertentu sahaja.

Untuk pihak pengurusan pesta buku, tolong fikir sikit!
(Poster pun guna tahun 2009 kerana 2010 belum ada! - Amin Fotopages)

Isnin, 8 Mac 2010

Ketagihan Tahap Aura

Setelah beberapa bulan tahap ketagihan aku sudah tidak dapat dibendungkan lagi. Ketagihan yang amat teruk hingga menjadikan aku tidak tentu arah. Setiap malam tidur aku terganggu dek ketagihan yang amat sangat ini. Bukan sebarang ketagihan kerana untuk menghilangkan ketagihan ini, aku memerlukan masa beberapa bulan. Tetapi sehingga entri ini ditulis aku belum melakukan sebarang tindakan untuk menghilangkan rasa ketagih ini. Lantas aku dapatkan sebuah buku nota; melakar, menggaris dan mencatat agar rasa ketagihan itu berkurangan. Namun semua itu belum memadai. Aku masih mencari alternatif agar rasa ketagihan itu segera hilang dan buat sementara waktu aku rasa masa yang tersedia belum sesuai untuk melakukan apa-apa.

Jangan tersalah jangka. Aku bukan ketagih rasa tembakau dari England. Cuma setelah berehat sekian lama dan Kala Yuda mencatat kejayaan tidak terduga, aku masih belum menulis apa-apa. Lantas untuk menghilangkan rasa ketagihan mengetuk papan kekunci laptop yang semakin uzur ini, aku rangka sebuah karya popular. Hanya sekadar untuk menghilang rasa ketagih yang amat sangat. Aku penuhi buku nota dengan pelbagai catatan. Memang benar, ketika ini aku sedang membelai biji benih agar beberapa hari nanti akan tumbuh daun muda hijau. Lalu tumbuh akar muda, daun, dahan, ranting dan akhir sekali buah yang ranum dan nikmat.

InsyaAllah dalam masa beberapa bulan nanti akan lahir sebuah karya lagi.

Sabtu, 6 Mac 2010

Kisah Siput Babi Lagi...

Ahh...terpaksa! Sekali lagi aku terpaksa mengkritik syarikat-syarikat mega yang berkhidmat seperti siput babi. Lembab! Semalam ketika aku mengunjungi sebuah bank untuk mengeluarkan wang simpanan aku menerusi ATM, aku dapati yang keluar hanya sekeping resit tanpa wang. Bengang... kerana bayaran bulanan estima aku masih belum dijelaskan lagi. Aku tunggu, tunggu, tunggu dan terus menunggu tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan oleh bank ini. Dari pukul 9.30 pagi terus lanjut ke pukul 11.00 pagi. Namun tiada perubahan. Semua mesin ATMnya seperti kedekut hendak keluarkan wang. Wang masuk boleh tetapi wang keluar tidak boleh! Hampas! Aku perhatikan 'front officer'nya yang mulut becok seperti 'makcik radio' pura-pura mesra tetapi bangang kerana tidak tahu masalah mesin ATM di hadapan mata. Dia tidak nampakkah orang beratur dan akhirnya kecewa kerana yang keluar hanya resit dan bukan wang!

Akhirnya aku angkat kaki sambil menyumpah seranah bank yang tak guna! Menyusahkan pengguna! Tiada tanggungjawab sosial! Argh........!
(Gambar dari sumber : Hongkiat.com)

Khamis, 25 Februari 2010

Kisah Si Munafik Lagi...

Pernahkah anda cuba menghitung berapa banyak si munafik yang berada di sekeliling anda? Sudah pasti tidak pernah dan sudah pasti mereka ada, cuma kita tidak pernah mempedulikan kewujudan golongan ini. Lantas mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memusnahkan kehidupan manusia sekelilingnya. Itulah sahabat Sang Iblis! Manusia munafik suka berpura-pura kerana dalam hati mereka sudah terisi percikan kecil api neraka. Si Munafik tidak gemar jika orang sekitarnya dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan orang lain agar dia dapat merebut kedudukan tertinggi dalam sesuatu organisasi atau jika tidak berpeluang dia lebih rela tiada seseorang pun memperolehnya. Si Munafik terus berkeliaran. Dia lebih gemar naik ke atas dengan memijak kepala orang daripada menggunakan tangga yang sedia ada.

Manusia lain terus dimangsai oleh Si Munafik dan Si Munafik terus bersahabat dengan Sang Iblis! Dan dunia ini menjadi semakin...

Isnin, 22 Februari 2010

Panas dan Rimas!

Memang sukar untuk mengatakan anda berada dalam keselesaan sepanjang dua minggu yang lalu. Tiba-tiba sahaja cuaca panas melanda dan anda tidak betah untuk berada di mana-mana. Dalam rumah, suhu meningkat secara tiba-tiba dan anda memerlukan semua kipas angin yang berada di dalam rumah anda sentiasa berputar. Alat hawa dingin sentiasa memberi prestasi yang tinggi untuk mendinginkan tuannya. Angin seolah-olah mati. Jangka suhu anda mencatat hingga menghampiri angka 40 celsius. Tumbuhan menjerit perlukan air dan fauna bagai enggan bergerak.

Itulah situasi sepanjang dua minggu yang lalu. Panas dan rimas! Ah... cari jeram atau air terjun. Berendam. Dan aku sekeluarga menemui sebutir permata di pinggir hutan Banjaran Bintang. Namanya dulu Belukar Hantu tetapi kini bertukar nama yang lebih mesra Teluk Emas. Kawasan jeram dengan sungai utama berselirat bersama anak-anak sungai memiliki nama yang unik - Lata Rambong! Malangnya kunjungi itu tidak bersama kamera kerana hanya bertujuan untuk mandi dan menyejukkan badan. Mungkin lain kali sekeping gambar lata ini akan memungkinkan seribu kemungkinan yang amat indah dan dingin!