Ahad, 7 Julai 2013

Di manakah ilhamku?

Setelah berehat begitu lama, aku kembali mengetuk papan kekunci untuk idea baharu. Aku rasa idea baharu ini memang baik dan paling menguji. Kadang kala aku terbawa-bawa apabila berbual dengan kawan-kawan sambil menghirup kopi. Malah ketika aku membedah  Kembara Amira bersama pelajar-pelajar Zon Utara, aku turut memperkatakan tentang idea aku secara tidak sengaja. Memang idea ini menghantui aku dalam tempoh masa yang agak lama dan aku berharap aku tidak akan bosan melayaninya. Idea kadang kala datang tanpa diduga dan malangnya ketika itu disiplin menulis mula longgar dan rasa amat membosankan.
Pagi tadi aku berada di Seri Baling Inn dan memang bersemangat apabila melihat remaja  seawal usia 13 tahun sudah berminat untuk menjadi penulis sastera. Aku sempat berbual dengan beberapa orang pelajar dan aku lihat ada sinar kesungguhan mereka menimba ilmu penulisan. Salah seorang mengaku membaca Kembara Amira 7 kali walau dia masih di Tingkatan 4. Semua itu tidak pernah aku lalui sebelum ini kerana aku belajar menulis melalui pengalaman dan pengalaman adalah guru terbaik. Terasa cemburu betapa anak-anak ini diberi peluang sedemikian rupa dan rasa itu mencair dalam diri kerana mereka benar-benar serius. Mereka bertanyakan novel terbaharu dan aku memberikan jawapan yang mungkin menakutkan mereka. Satu manuskrip ada di ITBM dan sebuah lagi ada pada Awan Metro Sdn Bhd dan kedua-duanya tanpa berita setelah sekian lama. Jawapan aku adalah hakikat bahawa dunia penghasilan novel di Malaysia memang begitu; kerana ada pepatah mengatakan kalau sudi katakan agar tidak ternanti-nanti.
Sementara itu idea baharu terus meronta agar ia dilepaskan ke skrin komputer. Namun idea ini begitu liar. Sudah lima kali bertukar gaya penulisan. Pertama ( dirasakan basi ), kedua ( terlalu serius nilai sejarahnya ), ketiga ( santai dengan kisah pertualangan ), empat ( hanya 1 bab ) dan lima ( masih tersangkut hingga sekarang ). Ramadan bakal menjelma dan aku harap kekuatan diri juga begitu. Biarlah idea ini terus mengalir atau sekadar bermain-main di fikiran. Kini aku sedar bahawa kerja menulis bukan sesuatu yang mudah dan tidak semudah aku menghasilkan novel-novel yang lalu.
Di manakah ilhamku?


Tiada ulasan: