Ahad, 27 Januari 2013

id - Demi Kepuasan Diri






'id' lebih merupakan satu kepuasan diri apabila dihasilkan sepanjang tahun 2010. Entah kenapa novel-novel yang aku hasilkan lebih kepada cara sebuah filem di layar perak; cuma aku sampaikan dalam bentuk teks. 'Kembara Amira', ' Kala Yuda', malah 'Krisandra-Cinta Yang Lara', juga begitu. Aku mahu pembaca nampak apa yang ingin aku sampaikan. Mungkin ramai tidak menggemari cara begini kerana aku bertindak memasukkan apa yang aku rasa penting dan sebaliknya orang lain merasakan benda itu tidak penting.

'id' lahir dengan idea spontan kerana memang aku tidak berniat untuk masuk bertanding. Biarlah 'Kala Yuda' memahat sejarah tersendiri dalam sayembara fiksyen sains ini. Tetapi idea spontan donut yang dimakan separuh di atas meja makan menyebabkan aku terfikir bagaimana sekiranya aku berjalan di atas donut itu dan mahu ke seberang sana untuk menyempurnakan satu bulatan. Lalu aku kaitkan dengan teori X dan Y. Teori-teori begini memang menjadi minat utama illuminati; sebuah gerakan besar Yahudi. Teori yang menyesatkan manusia dan melanggar fitrah manusia! Kemudian muncul unsur penyelamat ( Teori Messiah ) yang aku rasakan digunakan pakai oleh semua pemenang musim kedua. Jadi kesimpulannya, semua penulis yang ada minat dengan fiksyen sains akan terikat dengan teori penyelamat ini walaupun secara sedar atau tidak. 'id' tidak terkecuali. Eva menjadi penyelamat agar program 'Megalania' tidak digunakan sebagai suatu cara untuk mengubah fitrah manusia. Eva diberi program khas yang dibangunkan oleh Phia untuk mematikan sistem 'Megalania' agar tidak disalahgunakan oleh Tuba.

'id' lebih santai berbanding 'Kala Yuda'. ( ramai yang mempertikai kemenangannya ). 'Kala Yuda' lebih merupakan kuih lapis; berlapis-lapis dan pembaca yang gagal adalah pembaca yang tidak dapat menelah apa yang ingin aku sampaikan. Berbanding 'id' ( berdasarkan sebiji kuih! ), ceritanya lebih mudah dan tidak menguji pembaca 'id' mungkin karya terakhir untuk sayembara ini dan aku rasa sudah cukup. Cuma sekarang aku menanti karya fantasi yang amat aku gemar. Saban hari aku berdoa agar karya ini terbit dengan segera dan selepas itu aku selesa untuk berhenti menulis!

Tiada ulasan: