Khamis, 20 Oktober 2011

Memori Haj : Penerbangan ( Sempena Merai Tetamu Allah )

Hakikatnya apabila mengetahui penerbangan ke Jeddah menggunakan 'kapal arab' ( Saudi Arabian Airlines ) sedikit mengecewakan kerana aku dan isteri mengharapkan Malaysian Airlines, tetapi kerana menerima semua yang berlaku dari awal adalah dugaan dan cabaran dalam rutin mengerjakan haji, aku dan isteri terima sahaja. Telahan aku tepat kerana apabila itik dan ayam bertemu ( maksud aku apabila bahasa Melayu dan bahasa Arab bertemu ),; komunikasi terus runtuh! Mungkin aku dan isteri adalah antara tetamu Allah yang muda ( walaupun umur kami berdua sudah melepasi 40 tahun ) berbanding majoriti jemaah warga emas; kami mudah faham dengan arahan dalam kabin. Aku lihat penggunaan tandas paling teruk dan mencemaskan ( kebetulan tempat duduk aku dan isteri betul-betul mengadap tandas dan pada mulanya isteri meluahkan rasa lega kerana ruang kaki yang agak luas ). Penerbangan lebih dari 8 jam memang menjemukan dan sudah pasti menguji kemampuan warga emas yang ada masalah pundi kencing. Semakin lama keadaan semakin teruk dan isteriku mula berharap agar penerbangan balik kami tidak berada berhampiran tandas! Lantai tempat letak kaki kami mulai basah dan pramugara yang merupakan pemuda dari Palestin dan Mesir mula bising kerana masalah penggunaan tandas penerbangan yang tidak betul. Lebih kelam kabut jemaah warga emas lupa di mana tempat duduk mereka! ( Aku ingin cadangkan agar kursus haji perdana turut mendedahkan cara penggunaan tandas penerbangan ). Bayangkan jika titisan air dari tandas menyentuh kabel yang mungkin terdedah dan akhirnya... Aku nekad tidak masuk ke dalam tandas sepanjang penerbangan dan berdoa agar pundi kencing aku tidak mendesak kerana aku sudah berihram dan khuatir terkena najis!


Ketika 'kapal arab' semakin menghampiri Lapangan terbang King Abdul Aziz, keadaan semakin terkawal dan tenang. Aku dan isteri ambil peluang berbual dengan pramugara yang berasal dari Palestin. Menggunakan bahasa Inggeris yang seminimanya tetapi mudah difahami, aku sedar dia adalah pramugara kontrak untuk musim haji. Saling bercerita hingga menjadi mesra dan dia ingin tahu jumlah gaji isteri apabila mengetahui isteriku bekerja. Aku lihat wajahnya sedikit berubah keana terkejut. Dari cerita yang disampaikan, aku dapat tahu dasar diskriminasi masih diamalkan di negaranya kerana menurutnya gaji peerja wanita lebih rendah berbanding gaji pekerja lelaki ( betulkah? ). Dia turut kagumi orang Melayu Malaysia kerana belajar baca al Quran dan kemudian belajar memahami bahasa Arab untuk memahami maksud al Quran.

Semasa 'kapal arab' memasuki 'bay', dia bersalam dengan aku dan berdoa agar haji kami haji mabrur, berharap dapat bertemu dalampenerbangan pulang dan dia kata dia suka Malaysia! Istimewanya 'kapal arab', penerbangan pulang dari Lapangan terbang Madinah ( tidak sampai satu jam perjalanan bas dari hotel ). Dan lebih terasa istimewanya, beg-beg yang dibawa pulang terus masuk ke dalam perut kapal terbang walaupun pada mulanya kami risau dengan barang yang dibeli melebihi berat. Selamatlah beberapa kilo kurma Ajwa, kacang-kacang dan gula-gula.

Hakikatnya aku sudah tidak bertemu dengan Ahmad, pramugara Palestin dalam penerbangan pulang.

Tiada ulasan: