Mencipta draf suatu proses yang amat aku gemari kerana aku boleh lakukan di mana sahaja yang aku mahu. Umumnya sebatang pen dan sekeping kertas A4 sudah memadai dan tambahan pula sekarang ini perkembangan pesat android ( gajet pintar ) amat membantu. Namun aku lebih gemar sebatang pen dan sekeping kertas kerana sempadan idea yang dapat aku curah dan lakarkan ; seolah-olah tiada. Draf ini boleh bermula dengan apa sahaja; lakaran atau huruf pertama, yang kemudiannya berkembang biak menjadi teras idea untuk sesuatu cerita. Draf bukan sesuatu yang tetap kerana ia boleh berubah atau kadang kala tidak banyak membantu, malah ada kalanya langsung tidak membantu kerana aku tidak mahu menggunakannya. Ini menyebabkan draf itu dibuang begitu sahaja hinggalah aku terfikir betapa baik sekiranya aku terus menyimpannya kerana kemungkinan besar suatu hari nanti aku akan gunakan catatan dan lakaran itu. Aku sertakan satu draf yang aku buat ketika aku menghadiri suatu taklimat. Jadi setelah selesai sahaja taklimat itu aku hanya mendapat satu draf dan perkara yang dtaklimatkan...kosong! Tangan terasa gatal dan idea datang secara tiba-tiba ( kemungkinan taklimat yang aku hadiri menjemukan! ), lantas aku catat dan lakar. Entah bila pula draf ini akan bertukar menjadi sebuah manuskrip.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan