Khamis, 21 Januari 2010

Tetamu Istimewa RimbunKasih (RK)

Rk dibina atas lidah tanah, lalu tumpu kawasan berpaya yang hanya akan dibanjiri air jika berlaku hujan lebat. Musim kering bulan Januari menyebabkan kawasan berpaya menjadi kering dan menjadi tumpuan burung-burung liar mencari serangga. Jika duduk di anjung sebelah barat; sesiapa saja pasti terpesona dengan kawasan berpaya itu. Di hadapan RK terdapat laman dua tingkat bersaiz kecil bersulam pohon kelapa. Laman belakang RK lebih luas menjadi tempat rehat dan parkir kenderaan abang, kakak, adik dan saudara apabila mengunjungi kami sekeluarga ketika musim perayaan dan setiap kali musim cuti. Kata orang tua, kedudukan RK menjadikannya 'dapur raja' yang bermaksud tidak putus-putus dikunjungi tetamu dan kini setelah 4 tahun, kami sekeluarga mengakui kata-kata lelaki itu. Laman hadapan menjadi tumpuan waktu malam untuk memerhati buruj, bintang dan sang kelip-kelip.

Tahun-tahun awal menghuni RK, kami sekeluarga sering terserempak dengan babi jantan tunggal yang sering melintasi kawasan berpaya, beberapa kali dapat melihat babi betina bersama anak-anaknya yang turut melintas kawasan yang sama, biawak air bersaiz XXL, sepasang memerang sungai, berbagai jenis burung yang hanya berhenti berkicau kala tengah hari, burung hantu (sudah lama tidak kelihatan) sepasang gembala kerbau yang sering mematuk pintu sorong RK; menjadikan RK seolah-olah berada di tengah-tengah safari!

Namun ada tetamu kecil istimewa yang paling memikat. Entah spesis apa yang menjadikan ranting pokok bunga berpasu di tepi pintu utama RK sebagai tempat tidurnya. Mungkin sudah 2 tahun dia tidur di situ dan kelakuannya seperti sudah mengenali kami sekeluarga. Kadang-kadang aku khuatir 'sang feline' akan menjadikan burung itu sebagai makan malamnya. Namun sehingga tampalan ini ditulis, dia masih selamat dan menjadi tetamu istimewa RK!

2 ulasan:

joe berkata...

wah,,makin aku merasakan kehebatan seorang sahabat,,,bila ada ruang untuk membaca Rimbun Kasih,,tahniah atas kehebatan anda,,maaf lama tak masuk blok hang ni,,bila masuk blok ni rasa teringat kg ,pekan mahang smk mahang dan seluruh warganya,,,seronok nya kalau dapat balik dan duduk tempat asal dulu,,hujan emas negeri orang hujan batu negeri sendiri ,,,ok apa pun tahniah atas kejayaan anda,,,,sebagai sahabat aku cuma tumpang berbangga,,,salam,,bila nak kena teh tarik ngan cucok kembong mamak pekan mahang?

Unknown berkata...

Ha, itulah padahnya duduk jauh dari kampung. Aku pulak sedang kaut semua kisah di kampung untuk dijadkan sebahagian kisah dalam novel aku. Kalau hang mai Mahang, telefon aku. Boleh sembang lama sikit