Jumaat, 21 November 2008

Antara Dua Katrina.

Ini novel aku yang kedua ( sebenarnya aku tersenyum setiap kali melihat nama pena yang tertera di kulit novel ini) yang diterbitkan awal 2005 oleh sebuah syarikat nyamuk tiruk! Novel ini pada awalnya aku ingin jadikan sebuah novel misteri tetapi bertukar angin menjadi sebuah novel kisah cinta. Cinta sepasang suami isteri yang terperangkap dengan syarat-syarat dan keinginan. Mungkin sudah tiada di pasaran ataupun masih bertimbun di stor syarikat tersebut. Aku tidak kisah kerana seperti mana penulis baru, melihat novelnya dipamerkan di rak kedai buku sudah memadai dan terasa 'melastik ke bintang'. Inilah Katrina dan aku jadikan watak feminin dalam novel ini segagah lelaki yang kuat berdepan dengan cabaran. Namun aku tidak melupakan watak maskulinnya - Razman. Dan sudah menjadi kebiasaan aku aku sukakan kerja kebajikan. Demi Kasih Katrina turut memuatkan episod tersebut yang kemudiannya aku kekalkan sebagai identiti penulisan novel yang aku lakukan hingga kini.
Katrina aku abadikan buat mereka yang bergelar isteri yang gigih berhadapan dengan karenah dan hal suami yang sukar untuk difahami. Aku rasa tiada seorang isteripun yang faham kemahuan suaminya dan biasanya kemahuan itu amat menyakitkan hati sang isteri! Jadi dalam berkhayal mencari idea, aku terus menulis dan memangsakan Katrina. Sementara si suami terus menunjukkan gelojak jiwa seperti seekor kuda yang berlari di padang rumput. Namun aku kukuhkan si isteri seperti karang lautan sehingga akhirnya aku sudahi kisah ini dengan kebahagiaan yang mungkin sudah diramalkan oleh pembaca. Aku harap pembeli yang terbeli dan pembaca yang terbaca berpuashati menghabiskan wang sebanyak RM16.90 untuk novel ini.
Namun sesuatu yang tidak aku duga telah berlaku dan menyeret nama Katrina. Sekitar 2005 selepas Katrina dipasarkan, Katrina mengamuk dan membunuh ramai mangsa! Katrina benar-benar marah. Munkin kerana aku telah memangsakan dirinya! Aku turut terkejut dengan kejadian yang tidak aku sangka-sangkakan itu. Taufan Katrina membadai lembah Missisippi (Amerika Syarikat) dan membunuh ramai mangsa. Malah Katrina juga telah melondeh kelemahan sebuah kerajaan besar dunia yang selama ini mendakwa negaranya adalah sebuah negara impian. Sehingga hari ini Katrina terus dikenang sebagai taufan yang paling hebat dan telah berjaya memporakperandakan Amerika Syarikat. Aku terkedu kerana aku memilih nama Katrina berdasarkan nama seorang peserta akhir rancangan Fear Factor!

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa nak buat. Manusia merancang dan tak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang. Nasib baik Katrina bukan jenama susu yang mengandungi melamin atau jenama kari yang mengandungi Salmonella!

Unknown berkata...

Yalah, kadang kala erlalu banyak kebetulan yang berlaku dalam kehidupan kita seharian. malah ada pula berbentuk deja vu. Syeikh, apa projek baru selepas novel DBP tu?

Rozlan Mohamed Noor (RMN) berkata...

Sedang menanti krisandra yang lain ke teratak tintarona. :)

Unknown berkata...

InsyaAllah Krisandra II akan muncul tahun depan. Itupun jika Tintarona masih sudi menerbitkannya. Sedang mengumpul 'lara' yang memang menjadi tema utama novel ini. Begitu juga berusaha mencuri masa yang terluang dan antara sedar dengan tidak sudah menerjah beberapa bab.