Ahad, 25 Oktober 2009

Maka Sejadah di Rumah Aku Juga Turut Berdiri

Awal Asar petang Jumaat yang lalu, awan hitam berarak dari langit timur bersama angin kencang. Suasana awal Asar segera gelap, seperti sudah Maghrib. Kilat melakar garis apinya hampir menyamai nafas kami anak beranak. Dentuman guntur menakutkan. Ketika itu kami berkumpul di anjung timur RimbunKasih. Lantas aku segera ke kamar dan meninggalkan puteri-peteri aku yang asyik memerhati gagahnya alam dan besarnya kuasa Maha Esa. Usai solat Asar aku segera memanggil puteri-peteri aku melihat fenomena pelik... sejadah berdiri setelah aku selesai solat Asar! Puteri aku bertiga segera memberi respons kecuali puteri sulong seperti sudah dapat menghidu gurauan aku. Lensa kamera segera mengatasi cakaran petir di luar rumah. Akhirnya aku didesak agar membuat pengakuan bahawa sejadah itu adalah idea kreatif aku untuk menyegarkan suasana ketika alam terus bergelora dengan telatahnya. Akhirnya aku tewas dan membuat pengakuan bahawa kejadian itu adalah sekadar naluri nakal aku untuk menghiburkan mereka!

Jika benar sekalipun sejadah-sejadah itu berdiri seakan-akan bersolat, itu adalah amaran dan peringatan bahawa kita wajib bersolat; usah alpa. Ambil iktibar kanak-kanak bernama Ali yang tubuhnya tergambar potongan ayat-ayat al Quran... Allah Maha Besar!
Kertas pun boleh berdiri!
Pembalut gula-gula boleh berdiri juga!

Selasa, 20 Oktober 2009

Selamat Berjuang Dewan!

Membaca berita dalam akhbar semalam dan hari ini, bagaikan ada sesuatu yang bakal berlaku tidak lama lagi. Semuanya gara-gara kuasa yang bakal dimiliki oleh Dewan bagi mengatasi masalah penggunaan bahasa Melayu di negara sendiri. Mungkin belum pernah berlaku di mana-mana negara sebuah badan berkanun perlu diberikan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap rakyat yang tidak mahu menggunakan bahasa sendiri di negara sendiri. Tetapi itulah hakikatnya rakyat negara bernama Malaysia. Bahasa sendiri dianggap tidak bernilai, malah mereka lebih sangup bertutur bahasa asing yang belum tentu betul gaya penggunaan dan sebutannya. Namun kerana minda 'kurus' yang mempercayai bahawa bertutur bahasa asing akan meningkatkan penampilan diri, mereka sanggup bertutur bahasa yang mereka tidak pasti betul itu. Itulah rakyat Malaysia!

Kini Dewan memiliki kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana 'hantu' yang gagal menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Jadi bagaimana pula dengan media? Haruskah mereka diambil tindakan? Jika ada tindakan sekalipun, kita akan lihat bagaimana bebalnya rakyat Malaysia. Lihatlah semua kempen selama ini - tidak pernah berjaya. Kita menanti siapakah bakal menjadi pesalah pertama bahasa yang sudah pasti akan mendapat perhatian pihak media dan masyarakat.

Bahasa Melayu Tidak Hilang Di Dunia...

Ahad, 4 Oktober 2009

Sudah Lama Tidak Merasai...

Ya, aku akui sudah lama tidak merasai begitu banyak waktu terluang dalam hidup ini. Biasanya banyak waktu aku seharian, aku habiskan mengarang novel, mencatat idea, merangka dan mencari bahan tesis dan entah apa-apa lagi yang menuntut supaya aku membahagikan masa agar sempat mengejar 'dateline'. Tiba-tiba sahaja minggu ini aku rasa begitu banyak masa terluang. Aku mula membelek orkid-orkid milik isteri atau paling tidak memangkas pokok-pokok bunga semakin rimbun. Pelepah kelapa kering yang berselerak. Kini aku sedang mencari cara bagaimana hendak menghabiskan masa yang dirasakan terlalu banyak dibazirkan sejak hari Sabtu yang lalu.