Khamis, 28 Ogos 2008

Surat Untuk Sahabat : 1

Sahabat ku,
Akhirnya Ramadhan al Mubarak hadir juga. Setelah setahun merindui bulan yang mulia ini, akhirya ia mucul umpama seekor burung berbulu hijau terbang indah melintasi ruang berwarna putih suasa. Bulan palin buat isteriku kerana demi memenuhi keinginan empat orang puteri yang kami sayangi. Oh ya, mereka sudah pandai bertarawih sejak Ramadhan yang lalu walaupun puteri bongsu ku itu lebih suka dengan keriuhan surau yang terletak beberapa meter dari RimbunKasih. Bukankah itu satu kebahagiaan seorang lelaki dan ayah?
Tetapi sahabat ku, bukan itu yang ingin aku katakan di dalam surat ini, kerana bagi aku Ramadhan lebih kuat menjentik memori anak kampung seperti kita. Dalam keriuhan suara anak-anak, kita dapat rasakan kesyahduannya. Tetapi bukan dengan mereka. Aku rasa, sudah beberapa bulan yang lampau kita seolah-olah tidak puas dengan suara keriau kita, tentang apa saja terutama sekali politik. Kadang kala aku terfikir kenapa dengan politik? Bukan tentang agama, bukan tentang bahasa, bukan tentang masa depan, bukan tentang ekonomi dan seribu satu macam bukan tentang lagi. Aku rasa aku sudah jelak mendengarnya kerana kisah-kisah yang kacau bilau ini sering menyentak nikmat hidup aku.
Matikah Melayu jika tidak bercakap tentang politik? Malu sangatkah orang Melayu jika tidak bercakap tentang politik berbanding bercakap tentan bahasa, budaya atau pertuanan Melayu? Umpama malunya apabila anak menantu tidak bersanding di dalam majlis perkahwinan (sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh para ulama yang kini semakin menjadi budaya).
Sahabat ku yang jauh,
Kadang-kadang aku rasakan Melayu sekarng sudah kacau bilau sehingga menyebabkan lembu dan kambing di halaman semakin terliur hendak berak di atas anak tangga.(Maaf kerana aku terlalu emosi dan aku harap kau terus membaca surat ini. Aku juga mohon maaf kerana Ramadhan semakin kuat menjenguk dan aku masih bercakap begini).
Jadi biarlah Ramadhan kali ini menjadi ruang untuk bertenang. Sudah cukuplah menyusu kera di hutan dan membiarkan anak di rumah kelaparan (belum mati lagi). Hulurkan tangan persaudaraan dengan penuh rasa keinsafan kerana selama ini masing-masing terlalu ego dan tidak rela merendah walaupun untuk satu perkataan iaitu MELAYU. Sudah cukup kita berpencak silat. Biarlah paluan gendang berhenti seketika. Biarlah keris berkarat punya masa dikilatkan semula; kerana sudah ada rupa 'kucing ingin menjadi serigala'.
Sahabat ku,
Sebelum Ramadhan menjelma, Merdeka menampakkan diri. Puteri-puteri ku sibuk dengan bendera dan nyanyian patriotik mereka. Terasa ingin menangis memikirkan masa depan mereka jika kita asyik berpencak sehingga lupa bumi yang dipijak. Cukuplah, mari kita di dalam satu saf demi anak-anak kita.
Sahabat ku,
Aku rasa puas kerana dapat mengutuskan surat ini dan aku mengharapkan balasan dari mu.
Sekian.

Ahad, 17 Ogos 2008

Edan @ Gila

Kenapa tiba-tiba saja aku terfikir untuk menulis di dalam blog ini tentang satu perkara yang aku rasakan wujud di sekeliling kehidupan seharian kita. Pernahkah dalam sehari atau seminggu atau sebulan atau setahun, kita bertemu dengan manusia edan? Itu yang aku ingin katakan di dalam tulisan aku kali ini. Kenapa mereka wujud? Haruskah mereka wujud? Kejamkah kita kerana mereka wujud? Sempurna hidup ini kerana kewujudan mereka? Atau biarkan saja mereka wujud kerana mereka juga manusia. Terlalu banyak persoalan yang bermain dalam fikiran aku dan kerana itu aku menulis sebuah cerpen yang mungkin telah direcycle binkan oleh seorang editor sebuah akhbar kerana cerpen itu tidak pernah keluar hingga sekarang. Ya, kenapa mereka harus wujud? Pernahkah kita pedulikan mereka? Aku tidak mahu menjawab kerana jawapan itu ada dalam diri setiap manusia.
Sebenarnya di kampung ada tiga orang yang alami edan ini. Dua orang Melayu dan seorang India. Aku perhatikan mereka setiap hari berjalan, duduk, termenung, tidur, makan, minum; sama seperti manusia lain. Cuma masalahnya mereka alami edan (rasa sakit bila gunakan perkataan gila). Seorang sikapnya suka mengutip/meminta wang (aku rasa wang simpanannya cukup banyak), seorang lagi (masih muda) asyik mencabut bulu kaki dan pahanya dan seorang lagi sukakan kebersihan.Tetapi bukan itu yang aku mahu tahu. Aku mahu tahu apa yang sedang mereka fikirkan, apa yang sedang mereka alami, halusinasi yang bagaimana. Mungkinkan mereka terasa terbang seperti superman? Jadi aku mahu watak ini ada dalam salah sebuah novel aku yang separuh masak. Aku mahu watak begini menjadi watak penting dalam novel baru aku walaupun dia seorang edan. Aku mahu lihat dia normal sebagai manusia cuma dia dalam edan! Pelik bukan. Aksara yang ada menyediakan laman untuk aku susun dan himpun agar watak edan menjadi watak utama dan bukannya tempelan.
Kekuatan masih ada untuk aku teruskan usaha itu dan aku berharap akan lahir sebuah novel yang tidak menggunakan judul EDAN! Cuma didalamnya ada watak untuk pembaca menilai dari sudut kemanusiaan dan bukannya psikoanalisis! Hari masih panjang dan aku akan mencuri masa untuk menyusun aksara-aksara itu agar menjadi sesuatu yang indah bagi menceritakan kisah edan. Salam Nisfu Syaaban.

Ahad, 10 Ogos 2008

Biar Bintang Berguguran - Suatu Penyesalan


Itu yang aku rasakan setiap kali mengenangkan novel pertama aku yang diterbitkan sekitar tahun 2004. Novel yang aku usahakan dengan sungguh-sungguh dan ketika itu aku rasakan bahawa dunia aku hanya untuk novel ini. Memang aku akui bahawa aku mengambil masa yang panjang kerana aku terpaksa membuat rujukan dan kajian, terutamanya kehidupan 'manusia hanyut ' di sekitar pantai negeri aku iaitu Terengganu. Aku selongkar segala maklumat dan semua latar tempat yang aku gunakan itu adalah nama asli. Aku betul-betul kagumi manusia negeri Terengganu yang memang sudah susah tetapi masih menyambut kedatangan 'manusia hanyut' ini. Kemudian aku penuhi sebahagian besar kandungan novel itu dengan dunia di Pulau Bidong. Aku cipta satu ruang yang kemudiannya aku penuhi dengan objek dan watak. Malah suka juga untuk aku katakan bahawa pemerian terhadap watak May adalah wajah sebenar pelarian yang berada di Amerika Syarikat yang aku perolehi dari sebuah majalah.

Tetapi kenapa aku harus menyesal? Sudah pasti ada pertanyaan itu dalam diri aku. Aku menesal kerana aku terpaksa komersialkan novel ini. Sebuah novel yang aku anggap berat dan aku cuba penuhi dengan nilai estetik, terpaksa bertukar kulit dan isi. Asalnya aku judulkan novel ini sebagai Diaspora tetapi kerana ingin memenuhi keinginan yang kemudiannya aku rasakan sebagai syarat penerbitan aku terpaksa melankolikkan judulnya kepada Biar Bintang Berguguran. Malah beberapa bab di dalam novel ini terpaksa aku 'recycle bin'kan demi memenuhi syarat penerbitan. Lantas ada perasaan sesalan dalam diri. Tetapi demi melihat novel pertama aku diterbitkan, aku pendam perasaan itu selama 4 tahun. Kini rasa sesalan itu masih ada, cuma aku diamkan saja.

Aku rasa inilah nasib yang menimpa bukan saja aku seorang, malah mungkin puluhan lagi penulis lain yang cuba menerjunkan diri dalam dunia penuh penipuan ini. Tiada siapa akan mempedulikan undang-undang apabila sesuatu itu melibatkan WANG! Akta Hak Cipta dan Harta Intelek terasa hanya sekadar memenuhi ruang kosong dalam sistem undang-undang. Pelaksanaannya? Aku tidak berani mengulasnya dengan lebih lanjut lagi. Royalti Biar Bintang Berguguran - tidak cukup untuk menukarkan empat tayar van buruk aku!

Jadi aku sebenarnya menyesal dengan apa yang telah aku alami dan siapa peduli perkara ini? Tiada siapa kerana aku dapati realiti dunia yang aku libatkan ini penuh dengan dengki khianat, cemburu, berpuak-puak, berkepentingan - tidak seperti yang aku gambarkan! Cuma aku harus sedar, jika tidak mampu bersilat usah dekati gelanggang ini. Tulahnya begitu kuat. Mungkin inilah pengajaran yang harus aku hadapi dan aku akan cuba hasilkan sebuah manuskrip dunia ini, cuma aku tidak pasti adakah penerbit akan terbitkan manuskrip itu. Nampaknya sekali lagi aku luahkan rasa marah di dalam blog ini. Sesuatu yang aku mahu elakkan. Kopi kampung di dalam cangkir semakin dingin dan aku mahu lupakan penyesalan ini walaupun perasaan itu sentiasa bermain di dalam diri. Jika anda menemui nama Eg Paogee, itulah nama samaran yang aku gunakan kerana terlalu malu untuk mengaku bahawa Biar Bintang Berguguran itu adalah hasil karya aku!

Khamis, 7 Ogos 2008

The Qabus Nama (A Mirror For Princes)


The Qabus Nama merupakan karangan seorang bapa sebagai pemerintah sebuah kerajaan untuk penggantinya, sarat dengan pengajaran dan panduan serta cabaran yang bakal dihadapi oleh penggantinya itu. Turut terdapat catatan tentang kaedah berpolitik, etika dan juga pengajaran yang perlu diketahui oleh seorang bakal raja dalam sesebuah kerajaan. Buku ini ditulis oleh Kai Ka'us ibn Qabus ibn Washmgir, seorang raja Dinasti Ziyardis yang memerintahan sebuah kerajaan yang terletak di antara pinggir wilayah selatan Laut Kaspian, Tabaristan dan Jurjan. The Qabus Nama ditulis pada tarikh 1082M/475H.


Buku ini mengandungi 44 nasihat (dalam bentuk bab), antaranya:


- How to be a poet (Chapter XXXV)



  • If you are a poet, see to it that your verses are, within limits, easy of comprehension, and guard again making your utterence to profound.


  • If you wish your verses to be endowed with distinction and possessed of permanence, let it have planty of metaphor in it drawn from what is posibble, using it even in your panegyrics.

Mungkin sesiapa yang pernah terjumpa/terbaca buku sebegini yang ditulis oleh pengarang bitara Melayu,dapatlah berkongsi maklumat dengan Bibliohlikafe-Buku Pilihan 1.


Sumber: Library of HMBL (Hj Muhammad Bukhari Lubis). Terima kasih dan maaf kerana buku ini telah aku fotokopikan.

Rabu, 6 Ogos 2008

Terasa...menerjah ke cakerawala:Satu


Lima belas tahun lalu, suatu tempoh yang cukup lama dan ketika itu tahun 1993 sedang mengakhiri sisa-sisa usianya. Aku ketika itu berada di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, dalam perjalanan pulang ke kampung. Ketika berada di sudut kedai buku, aku sambar senaskah Berita Minggu dengan tujuan menghilangkan rasa jemu menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur. Ruangan pertama menjadi sasaran aku ialah 'Cerpen' dan terasa...menerjah ke cakerawala (walaupun hakikatnya selepas itu aku menerjah awan gemawan) apabila melihat tajuk cerpen minggu itu ialah 'Caturrangga'. Tanpa aku duga cerpen pertama aku disiarkan oleh sebuah akhbar perdana, walaupun ada kesalahan ejaan pada nama aku yang sedikit pelik.(Isteri kesayangan aku turut memberi komen. Mungkin Amer Hamzah Kadir yang lain!). Kemudian sekali lagi aku menerjah ke cakerawala apabila pada awal tahun 1994, muncul pula 'Balasungkawa' (Juga dengan nama yang tersalah eja -Amer Hamzah).








'Balasungkawa' menerima hadiah dan 'Caturrangga' menjadi judul antologi Hadiah Galakan Sastera Kenyalang terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Sesuatu yang langsung tidak terduga. Hanya kerana ingin memenuhi waktu langka, aku penuhi waktu itu dengan menulis. Kebetulan pekan Lawas adalah pekan terhimpit dan terkepit! Dihimpit dan terkepit dengan sempadan Brunei dan Sabah. Namun pekan ini pekan indah walaupun aku sedikit bimbang dengan kelakuan penduduknya yang agak agresif terhadap 'orang Malaya'. Ada sebuah puisi aku abadikan buat daerah ini. Bayangkan aku masih dapat ingat deruan enjin 'TwinOtter' (perkhidmatan udara oleh MAS - nama ketika itu). Lantas kesunyian diri dan alam sekitar menajdi aku begitu sensitif.









'Caturrangga' ditulis setelah seharian melihat kawan-kawan (di mana mereka sekarang? Kamaruzzaman, Fuad, Zulkifli, Hasullah,Sapri, Zaki) asyik bertanding catur. Lalu benih idea bertunas, mengeluar pucuk-pucuk rapuh dan akhirnya merendang menjadi sebuah cerpen. Mesin taip Ahmad Yani menjadi sasaran. Lalu lahir sebuah cerpen berdasarkan pergerakan bauh-buah catur berteraskan dasar aparteid di Afrika Selatan dengan gaya prosa klasik.









'Balasungkawa' sedikit berbeza. Setiap hari Sabtu aku akan berada di 'tamu' pekan Lawas. Melihat segala yang tidak pernah terlintas pada pandangan mata. Paling aku tertarik ialah deretan ayam laga ( mereka kata susur galur ayam laga itu berasal dari Filipina ). Ayam yang telah disolek dengan kejam kerana aku dapati balungnya telah dibuang. Tajinya ditukar dengan sumbing besi yang tajam berkilat. Lalu benih idea pun tumbuh. Aku ciptakan sebuah cerpen penuh dengan tragik. Tentang kematian anak kembar.









Tetapi entah kenapa setelah lima belas tahun, aku masih gagal menghasilkan sebarang cerpen. Mungkin tunas idea semakin mereput, tidak berbaja. Rasa sensitif semakin kurang atau unkin juga aku terlalu memberi tumpuan kepada novel. Entahlah.









Aku abadikan sebuah puisi untuk Lawas - sebenarnya aku terlupa memberi tajuk dan tidak nostalgik jika aku berikan judul itu sekarang...










lewat senja merah




ketika aku hadir di ruang ruai




ku lihat kau




mirip dara yang tersimpuh




di lantai seribu garis.




sambil menenun pua harapan




tundukmu seakan ingin sembunyikan




malu yang suci.




Namun dadamu ketika menghulur tangan - terbuka




bagaikan dahaga




setitik budi yang ku bawa




sebagai seorang pendatang.





Namun disisimu - masih tampak ilang dan adat




yang bakal aku langkahi




malu dan sucimu




menjadikan aku kagum dan terhimpit




di dalam sezarah nikmat Ilahi




yang terlontar di daerah sepi ini.




Di wajah penambang Batang Lawas




tergaris seribu tanda soal - Mampukah? - Relakah?




menanam benih dan merimbun




bersama hijau dadamu.












Kerapkali




waktu ku berdiri di kaki Sri Lawas




dan menangkap deru enjin TwinOtter lantas terfikir




adakah tahun-tahun di sini




dapat mendewasakan aku dan sepuluh tahun lagi




maniskah buah di dahan rimbunmu?













Isnin, 4 Ogos 2008

Satu Laman Sejuta Aksara

Akhirnya aku hinggap disini. Dunia kini menuntut aku turut serta dalam alam 'blog' dan aku tidak mahu melepaskan peluang ini begitu saja. Lalu timbul pertanyaan blog yang bagaimana yang bakal aku uruskan? Aku mahu jadikan blog ini sebagai sebuah kafe yang 'diharumi kopi kampung' kerana aku tidak biasa dengan jerit pekik, jerkah keriau, marah nafsu, gila edan atau penjara minda. Aku ingin jadi kafe yang aku wujudkan ini penuh rasa indah, tanpa politik; atau mungkin juga akan aku selitkan sedikit estetik. Aku tiada kawan yang hebat-hebat untuk aku ceritakan tetapi aku tahu aku manusia jujur dan tidak pernah dan ingin menipu! Aku mahu kafe ini sarat dengan pelanggan ilmuwan (mungkin satu angan-angan saja).
Aku mahu tetamu aku cuba, atau paling tidak dapat lupakan seketika dunia kecoh penuh sandiwara di luar sana hingga menjadikan kita lupa akan fitrah manusia. Aku mahu kita berbalik pada asal, punca selirat, herot berot atau ketidaktentuan manusia kerana aku rasa itu lebih berpahala daripada tindakan edan mengusutkan suasana. Singkirkan rasa tamak haloba dan tumbuhkan jiwa bahagia. Himpunkan segala resah rasa itu dan buang jauh di lautan nista agar menjadi pulau derhaka!
Kafe aku dibuka 24 jam untuk sesiapa saja menjenguk; kawan atau lawan. Jika enak kunjungilah lagi kerana cangkir kopi kampung aku masih hangat dan berbau harum penuh manis.