Khamis, 23 Disember 2010

Serigala Penjaga Biri-biri

Semasa di sekolah rendah dulu, guru sering menceritakan kisah seorang budak yang sering menipu biri-birinya diserang serigala sehinggalah biri-birinya benar-benar dibaham serigala dan tiada siapa lagi mempercayai jeritannya. Tetapi hari ini aku berhadapan dengan seekor serigala yang tugas hakikinya menjaga biri-biri.Beberapa ekor serigala jadian mula menggunakan kuasa pinjamannya untuk bertindak sesuka hati. Hari ini aku menjadi mangsanya. Aku mendapat berita bahawa aku ditukarkan ke tempat baru tanpa mengisi sebarang borang pertukaran. Serigala jadian ini aku kenal kerana itu aku khuatir dia diberi kuasa untuk menjaga sekawan biri-biri! Inilah masanya untuk dia membaham.

Rabu, 20 Oktober 2010

Alhamdulillah - Menjadi Tetamu Allah

Alhamdulillah, mulai 30.10.2010 hingga 12.12.2010 saya dan isteri bakal menjadi tetamu Allah apabila dijemput mengunjungi tanah haram bagi melakukan kerja haji. Semua persiapan telah hampir siap dan hanya menunggu saat bertolak ke Kelana Jaya, sebelum berlepas dengan penerbangan KT70 dari KLIA. Doa dan harapan menggunung semoga diberi kesihatan yang baik agar pekerjaan ibadah dapat disempurnakan, agar menjadi tetamu istimewa dan yang paling diutamakan haji yang mabrur. Dalam setiap pekerjaan sudah pasti muncul dan datang dengan tanpa diduga, dugaan dan cabaran. Alhamdulilah sehingga saat ini, semua dugaan dan cabaran dilalui dan ditempuhi dengan penuh sabar. Tetamu saling mengunjung dan paling tersentuh setiap jabat tangan sebelum pulang, mereka dengan ikhlas menyelitkan buah tangan. Sesuatu yang tidak aku duga dan insyaAllah wang tersebut akan dibelanjakan dengan sebaik mungkin dengan iringan doa semoga mereka dimurahkan rezeki. Ada yang minta sampaikan salam buat Rasulullah, tidak kurang minta doakan agar mereka menjadi tetamu Allah suatu ketika nanti dan ada yang berbentuk peribadi.

InsyaAllah semua harapan itu akan cuba aku laksanakan. Maafkan aku sekiranya pengunjung blog ini tersinggung, tidak mendapat apa yang diharapkan atau tersentuh. Lantas blog ini akan bercuti sepanjang tarikh tersebut.




Selasa, 28 September 2010

Kembara Amira Masuk Sekolah

Inilah rupa Kembara Amira 'edisi masuk sekolah' yang kini mungkin sedang mendiami stor buku teks sekolah-sekolah menengah seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Reka bentuk kulit masih mengekalkan identiti asal Kembara Amira edisi Hadiah Sastera, cuma ada catatan tambahan ' Tingkatan Lima' dan ' Edisi Murid' di muka depan serta sedikit perubahan di muka belakang. Saya begitu bersyukur kerana novel ini dipilih dan akhirnya berjaya bertemu dengan pembaca remaja. Itulah harapan saya kerana saya mahukan beberapa watak remaja di dalam novel ini menjadi ikon buat remaja. Harapan saya kandungan novel ketiga saya ini dapat menjadi pedoman dan panduan buat remaja yang walaupun hanya sebaris ayat sahaja. InsyaAllah hanya terbaik sahaja buat remaja yang dapat diberi oleh Kembara Amira.






Ahad, 29 Ogos 2010

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri buat semua pengunjung blog ini. Semoga aidilfitri kali ini menjadi lebih bermakna dan dirayakan dengan penuh ketakwaan.

daripada :
Amer Hmzah L.Kadir

Suzana Othman
Amira Husna
Amira Harissa

Amira Haifa

Amira Hafilza

( gambar di atas merupakan karya SN A.Samad Said )

Rabu, 21 Julai 2010

Kala Yuda - Karya Fiksyen Sains & Teknologi

Akhirnya karya terbaharu saya Kala Yuda dilancarkan pada 20 Julai 2010 oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Mungkin karya ini menuntut kesabaran saya untuk melihatnya berada di pasaran dan semalam novel ini dilancar bersempena majlis penyampaian hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM dan Kumpulan Utusan. Sebagai pemenang sulung dalam sayembara ini saya benar-benar terharu dan bersyukur kerana keperitan menghasilkan karya dalam genre begini memang mencabar. Melakukan kajian dan membuat rujukan berdasarkan sumber bertulis dan bukannya bersumberkan internet, memang mencabar dan ternyata saya gemarkan cabaran begini. Seolah-olah terasa keasliannya dan bukan sekadar mencedok begitu sahaja lalu dijadikan idea milik sendiri.
Saya benar-benar puas!