Selasa, 27 Mac 2012

Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi : Memori Setelah 2 Tahun

Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi sudah memasuki kali kedua ( bukan tahun kedua kerana diadakan dua tahun sekali ). Memang aku patut berbangga kerana aku adalah pemenang pertama dan karya aku juga menduduki tempat pertama. Seronok? Memang seronok, berbohong besarlah jika aku katakan aku tidak rasa apa-apa setelah mengetahui karya aku dinobatkan sebagai pemenang pertama. Kali pertama diadakan agak kelam kabut kerana tempoh menghantar skrip dilanjutkan dan akhirnya pada 21 Julai 2009 majlis penyampaian hadiah berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Buku kecil di atas adalah laporan penuh sayembara ini di adakan dari mula ( mungkin dari biji benih ) hinggalah ke majlis pelancaran novel ( hasilnya buah yang ranum ).
Tiga buah novel diangkat untuk memenuhi ruang hadiah yang disediakan, iaitu 'Kala Yuda', 'Kronikel Bumi' ( Nurul Izwazi Mohd Nor) dan 'Tawanan Komander Caucasus' ( Ruzaini Yahya ). Sementara hadiah penghargaan untuk 'Petaka Bakteria' ( Mohd Kasim Mahmud ) dan 'Rawan ( Hafizah Iszahanid ).

Aku ingin memetik ( walaupun tanpa kebenaran ) ulasan hakim sayembara yang terkandung dalam buku kecil, ' Memecut Di Litar Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi' yang diselarskan oleh Puan Nor Azah Abd Aziz dan Sdr Yosman Mohd Bain :
i. Kriteria. ( panduan dan rujukan dalam membuat penilaian, saringan dan pemilihan ) dipandang dari sudut nilai kognitif, nilai pemikiran, nilai akhlak, nilai keprihatinan, nilai bahasa, nilai kreativiti dan nilai keseimbangan.
ii. Unsur serta bahan sains dan teknologi manuskrip yang dihantar untuk penilaian - kewujudan makhluk asing, alam sekitar, sains politik, teknologi robotik, fizik kuantum, kejuruteraan genetik, sekuriti siber, budaya blog, pengesan elektronik, entomologi, bakterialogi, bioteknologi, nanologi, kejuruteraan air dan ketenteraan, botani, psikologi, psikiatri, perubatan dan kriptozoologi.
iii. Penyertaan melibatkan 22 manuskrip yang memperlihatkan pelbagai latar belakang; mahasiswa, pensyarah, guru, wartawan, jurutera, juruteknologi perubatan, pengawal keselamatan dan penulis sepenuh masa yang melibatkan 14 pengarang wanita dan 11 lelaki.
Demikian petikan secara ringkas laporan panel hakim dan tujuan aku menulis kali adalah untuk sekadar untuk mengenang kembali memori dua tahun yang lalu. Dengar khabar keputusan sayembara ini akan diumumkan tidak lama lagi. Kepada penulis yang menyertai sayembara ini sudah pasti terasa waktu begitu lambat berlalu namun harinya akan tetap tiba.

Selasa, 6 Mac 2012

Koleksi : Ayam Silkie


Semalam selepas habis diskusi novel Kembara Amira di salah sebuah sekolah di Sungai Petani, aku segera ke Taman Songket dan menyelinap ke belakang kampung untuk menjenguk Exotic Bantam Farm milik Shahrom. Memang niat asal untuk mendapatkan koleksi seterusnya, iaitu silkie. terima kasih Shah kerana saya berjaya mengumpul koleksi seterusnya walaupun anak ayam itu baru berusia dalam lingkungan 3 minggu. Namun kunjungan ini menyebabkan aku ingin menambah koleksi seterusnya, polish. Mungkin untuk projek yang seterusnya.


Ahad, 19 Februari 2012

Hobi : Koleksi 2 Indian Fantail

Di belakang RimbunKasih disediakan sebuah rumah burung merpati. Ini semua gara-gara adik di Tanjong Malim yang menawarkan koleksi burung merpatinya. Akhirnya, ada sepasang Indian Fantail, 3 pasang Fantail biasa, sepasang Australia ( Naratiwat ), sepasang Runt dan sepasang Modain. Sibuk lagi la dengan koleksi baru ni. Sekarang dua pasang sedang mengeram, fantail dan runt.

Khamis, 16 Februari 2012

Hobi : Koleksi 1 Ayam Brahma




Memang aku minat dengan spesis ini dan akhirnya sampai juga ke RimbunKasih setelah melalui perjalanan jauh dari Tanjong Malim. Memang untuk mendapat sepasang aku perlukan modal yang agak tinggi tetapi setelah berada di tangan, terasa seronok terutama gelagatnya ketika berjalan dan berlari. Masih muda dan aku harap sepasang ayam Brahma ini akan membiak dan akan memenuhi ruang kosong di belakang RimbunKasih.

Rabu, 4 Januari 2012



Akhirnya saya berjaya menerbitkan sebuah buku kecil untuk dijadikan rujukan pelajar-pelajar tingkatan 5 zon utara bagi mata pelajaran Bahasa Melayu/KOMSAS. Buku ini mula diterbitkan pada tahun 2011 tetapi telah diperbaharui dengan 25 soalan yang berkemungkinan besar disoal dalam peperiksaan SPM 2012. Lebih menggembirakan apabila buku rujukan ini turut membincangkan soalan bahagian KOMSAS SPM 2011 dan saya berharap pelajar-pelajar SPM 2011 yang telah berjaya menjawab dengan baik setelah menjadikan buku rujukan ini sebagai bahan rujukan utama sebelum menduduki SPM 2011.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh menghubungi saya di talian 0142400412/0194967259/0195629595.