Sebenarnya aku tidak gemar mengulas berita-berita di dalam akhbar kerana jika aku berbuat demikian bermakna aku mengulas apa yang telah aku baca. Tetapi semalam aku rasa aku ingin mengatakan sesuatu. Pertama kisah angkasawan pertama Malaysia yang mengenakan bayaran hingga mencecah RM8 ribu untuk satu sesi selama 1 jam, amat mengejutkan. Kedua, seorang penulis buku mewakili kawan-kawannya bertanyakan royalti buku dari sebuah syarikat penerbitan yang telah memasarkan buku mereka selama berbelas tahun. Mengapa ini berlaku?
Sebenarnya aku tiada jawapan kenapa ini berlaku. Cuma yang pasti ialah wang telah menghantui mereka. Angkasawan yang pergi ke angkasa lepas bukan dengan wang sendiri, mula mengutip wang atau mungkin dia telah dibuang kerja dan memerlukan wang untuk sara diri. Syarikat penerbitan itu pula mungkin belum puas menjadi lintah untuk menghisap darah dan keringat manusia yang bernama penulis.
Mengapa ini berlaku? Wang kini berada paling atas. Aku tidak salahkan angkasawan itu jika tiada siapa yang menanggung kos ketika dia menceritakan pengalamannya berada di ISIS. Harga petroleum masih mahal walaupun sudah beberapa kali turun. Mungkin penulis itu pula menjadi mangsa surat perjanjian yang berat sebelah seperti yang dialami oleh beribu-ribu penulis lain. Eh... mana persatuan penulis yang akan memperjuangkan hak penulis. Jika setakat melawat ke negara-negara jiran, baik buka syarikat pelancongan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan