Jumaat, 28 November 2008

Cuti Muncul Lagi II

Akhirnya kami sekeluarga ke Langkawi setelah mendapat undi terbanyak. Namun kali ini cuaca agak menghalang kerana hari kedua hujan renyai-renyai dari pagi tumpu ke malam. Namun dua hari yang terluang kami habiskan dengan aktiviti yang tidak dirancang tetapi berjalan dengan sempurna. Cuma aku agak terkilan dengan dengan perkhidmatan feri yang mengenakan harga tiket yang mahal tetapi perkhidmatannya tahap rendah. Siapa yang pantau mereka?


Kami gunakan kesempatan mengunjungi Kilim Ecopark yang amat menarik dan sempat merasa 'gayat' kereta kabel ke puncak Gunung Mat Cinchang.










Melihat anak-anak dan anak saudara yang seronok menjelajah keindahan pulau lagenda ini, aku rasa pelaburan dalam aktiviti ini berbaloi. Terima kasih untuk adik ipar yang sanggup menerima kunjungan kami dengan ucapan terima kasih daun keladi...

Rasa penat setahun bekerja dan setahun anak-anak berhadapan dengan buku dan tuisyen, berbayar. Mungkin tahun depan projek ke Melaka akan tercapai.

Langkawi yang Lesu

Ketika menghampiri jeti Kuah, lambang Langkawi dapat dilihat begitu gah sekali. Lambang seekor burung helang sedang mengepak sayap. Namun sesuatu yang aku tidak duga ialah ketika malam Dataran Lang kelihatan begitu lesu. Terdapat dua bangunan bazar dan hanya sebuah yang masih meneruskan perniagaannya pada waktu malam.

Cuba perhatikan lambang helang yang sedang mengepak sayapnya ketika malam. Hanya tiga biji lampu sorot yang dipasang dan ketika aku berlegar-legar mencari lokasi tersebut, malang sekali aku tidak nampak apa-apa pun. Memang betullah kata orang, hendak bina memang senang tetapi untuk mengekalkannya begitu sukar. Dataran tersebut gelap dan hanya diterangi beberapa biji mentol. Berapakah kos sebiji mentol? Dan lebih teruk kawasan itu kini menjadi tumpuan remaja untuk berdua-duaan!(kebetulan aku terserempak sepasang remaja sedang menyorok di belakang deretan kereta sewa yang menguasai petak parking di kawasan tersebut)

Sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan pulau lagenda ini Begitu juga dengan harga tiket feri yang semakin meningkat sedangkan mereka dikatakan menerima subsidi dan harga petrol semakin turun. Satu lagi, banyak sangat projek terbengkalai di sekitar pekan Kuah. Sebagai pulau tumpuan pelancong, pihak berkuasa mestilah kreatif untuk menyembunyikan projek terbengkalai yang amat menyakitkan mata memandang.

Terasa amat berbeza jika dibandingkan pulau itu sekarang dengan beberapa tahun yang lalu.

Jumaat, 21 November 2008

Antara Dua Katrina.

Ini novel aku yang kedua ( sebenarnya aku tersenyum setiap kali melihat nama pena yang tertera di kulit novel ini) yang diterbitkan awal 2005 oleh sebuah syarikat nyamuk tiruk! Novel ini pada awalnya aku ingin jadikan sebuah novel misteri tetapi bertukar angin menjadi sebuah novel kisah cinta. Cinta sepasang suami isteri yang terperangkap dengan syarat-syarat dan keinginan. Mungkin sudah tiada di pasaran ataupun masih bertimbun di stor syarikat tersebut. Aku tidak kisah kerana seperti mana penulis baru, melihat novelnya dipamerkan di rak kedai buku sudah memadai dan terasa 'melastik ke bintang'. Inilah Katrina dan aku jadikan watak feminin dalam novel ini segagah lelaki yang kuat berdepan dengan cabaran. Namun aku tidak melupakan watak maskulinnya - Razman. Dan sudah menjadi kebiasaan aku aku sukakan kerja kebajikan. Demi Kasih Katrina turut memuatkan episod tersebut yang kemudiannya aku kekalkan sebagai identiti penulisan novel yang aku lakukan hingga kini.
Katrina aku abadikan buat mereka yang bergelar isteri yang gigih berhadapan dengan karenah dan hal suami yang sukar untuk difahami. Aku rasa tiada seorang isteripun yang faham kemahuan suaminya dan biasanya kemahuan itu amat menyakitkan hati sang isteri! Jadi dalam berkhayal mencari idea, aku terus menulis dan memangsakan Katrina. Sementara si suami terus menunjukkan gelojak jiwa seperti seekor kuda yang berlari di padang rumput. Namun aku kukuhkan si isteri seperti karang lautan sehingga akhirnya aku sudahi kisah ini dengan kebahagiaan yang mungkin sudah diramalkan oleh pembaca. Aku harap pembeli yang terbeli dan pembaca yang terbaca berpuashati menghabiskan wang sebanyak RM16.90 untuk novel ini.
Namun sesuatu yang tidak aku duga telah berlaku dan menyeret nama Katrina. Sekitar 2005 selepas Katrina dipasarkan, Katrina mengamuk dan membunuh ramai mangsa! Katrina benar-benar marah. Munkin kerana aku telah memangsakan dirinya! Aku turut terkejut dengan kejadian yang tidak aku sangka-sangkakan itu. Taufan Katrina membadai lembah Missisippi (Amerika Syarikat) dan membunuh ramai mangsa. Malah Katrina juga telah melondeh kelemahan sebuah kerajaan besar dunia yang selama ini mendakwa negaranya adalah sebuah negara impian. Sehingga hari ini Katrina terus dikenang sebagai taufan yang paling hebat dan telah berjaya memporakperandakan Amerika Syarikat. Aku terkedu kerana aku memilih nama Katrina berdasarkan nama seorang peserta akhir rancangan Fear Factor!

Isnin, 17 November 2008

Cuti Muncul Lagi

Akhirnya dia muncul lagi. Maksud aku cuti sekolah akhir tahun dan cuti kali ini mungkin sedikit menggembirakan berbanding tahun lepas. Sebabnya? Ada baki lagi separuh bonus yang bakal dibayar pada bulan Disember. Kemudian ada khabar-khabar angin mengatakan harga petrol akan turun lagi dan begitu juga harga tol. Jadi tunggu apa lagi - jom bercuti!
Sebenarnya sebelum ini kami jarang berbincang ke mana hendak pergi ketika bercuti. Bangun pagi hidupkan enjin kereta dan masukkan pakaian dalam beg dan kami akan bertolak ke destinasi. Tetapi kali ini perancangannya agak ganas iaitu menuju Melaka, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan balik semula ke Kulim. Jadi puteri aku yang bongsu melihat aku merujuk peta laluan yang aku beli ketika bercuti di Terengganu dulu dan seketika kemudian, heboh satu rumah. Jadi rahsia aku terbongkar, isteri aku hanya tersenyum. Seketika kemudian perancangan bertukar apabila ada cadangan hendak bercuti di Langkawi. Semalam ada pula cadangan ke Kuala Lumpur saja.
Jadi tarikh 23 November akan menentukan ke mana arah tujuan kami. Tiada keputusan muktamad lagi. Memang betullah, cuti muncul lagi...

Khamis, 13 November 2008

Sajak Kematian vs Legend Urban

Baru-baru ini aku lihat ada dua kisah keganasan tetapi dinilai dalam sudut yang berbeza oleh masyarakat. Pertama seorang waris yang bebal dan hitam hatinya telah membuat satu protes kesan penayangan video klip kisah kematian terhadap anaknya di sekolah rendah. Mungkin dia tidak mahu anaknya kenangkan kejadian-kejadian ghaib di alam kubur. Kemudian adalah ulasan-ulasan agar aktiviti ini dihentikan segera. Nampaknya ibubapa yang memperjuangkan isu telah menang. Jadi aku tidak hairan jika golongan remaja sekarang lebih suka terhadap gay, pengkid, rempit, homoseks, seks rambang, anak luar nikah dsbnya. Itulah yang ibu bapa sekarang suka dan mahukan. Jadi aku ucap tahniahlah untuk ibu bapa yang menimbulkan isu ini kerana anda telah berjaya memperjuangkan masa depan anak anda. Macam kata kawan aku (Uchoppe - dialah penyumbang grafik blog ini) klip video itu sesuai untuk tayangan lelaki yang bernama bapa dalam kes ini.
Kemudian aku tengok pula satu tayangan semalam (12/11/2009) di RTM2. Satu tayangan gambar dengan tajuk Urban Legend yang mengisahkan betapa nikmatnya membunuh orang dengan menggunakan kapak! Aku harap ibu bapa yang berjaya melarang anaknya dan anak-anak orang lain menonton dan mengambil iktibar Sajak Kematian, menonton tayangan gambar ini. Tak kisahlah...

Rabu, 12 November 2008

Rasa-rasa Ada Yang Tidak Kena dan Apa Nasib Mereka?

Seorang lelaki telah berkhidmat selama 19 tahun sebagai seorang guru dan dia telah mengalami beberapa proses perubahan. Pada mulanya dengan gaji B10 dengan gaji permulaan RM710.00. Kemudian dia mengalami perubahan demi perubahan sehinggalah mendapat gaji DG29. Kemudian pada tahun 2000 dia melanjutkan pelajaran untuk mengubah nasib seperti yang dijanjikan oleh majikannya ketika itu. Tahun 2004 dia mendapat kenaikan skim gaji kepada DG41. Tetapi ada sesuatu yang tertinggal. Pada sekitar tahun 1999, dia tidak disyorkan kenaikan pangkat ke DG32 kerana kebengongan pihak majikan dan kerani yang menguruskan fail-failnya. Jadi dia melompat ke DG41 tanpa dapat menikmati DG32 yang seharusnya dia nikmati.

Apa yang tidak kena? Dari tahun 1999 hingga 2004 ( 5 tahun ), kerani yang bengong ( dakwa lelaki ini) tidak mencalonkan namanya untuk mendapat kenaikan DG32. Perbezaannya kenaikan gaji tahunan DG 32 dengan DG 41 berbeza kerana kenaikan tahunan DG32 lebih besar dari DG41. Bukankah pelik?

Lelaki ini mendakwa dia menghabiskan wang dan masa yang banyak untuk mendapat segulung ijazah tetapi pengorbanannya tidak dihiraukan oleh majikannya. Sedih juga cerita ini tetapi siapa mahu ambil peduli? Majikannya sedang sibuk kempen - entah kempen apa. Cuma guru agama ada mengatakan bahawa doa orang teraniaya sentiasa di dengar oleh Allah SWT. Jadi mari kita berdoa dan selepas itu ketawa sungguh-sungguh kerana kebodohan seorang pekerja yang mempunyai segulung ijazah. Lebih baik jadilah pekerja bodoh kerana kebodohan itu sentiasa dipuji dan diberi gaji yang tinggi. Bagi mereka, susah untuk mengawal manusia cerdik. Jadi biarlah mereka terus bodoh dan diberi gaji kerana kebodohan mereka.

Begitulah cerita lelaki ini.

Selasa, 11 November 2008

X Files Yang Tak X Files

Baru-baru ini aku sambar sekeping DVD X Files baru kerana pengaruh mini siri ini masih kuat. Sarat dengan kisah-kisah X yang masih meninggalkan misteri membuat aku tidak ragu-ragu untuk menelaah kisah baru. Tetapi segala-galanya adalah mimpi. Filem ini tidak ubah seperti satu mini siri - ringan dan aku menyumpah kerana skripnya tidak menguji pemikiran. Cuma kali ini penulis skripnya lebih memberi perhatian terhadap watak Mulder dan Scully.

Satu lagi yang aku ingin sebut ialah sari kata bahasa Melayu. Cis...aku betul-betul bengang. Mamat mana yang buat kerja tak senonoh ini. Cuba bayangkan apa reaksi anda apabila membaca terjemahannya - tempat itu lebih kurang 10 ketul batu dari sini! Aku ketawa terbahak-bahak dan puteri bongsu aku kehairanan kerana ayahnya jarang ketawa. Aku tidak mampu ceritakan kepadanya dan terasa mahu pijak-pijak DVD itu.

Walaupun DVD ini kerja para lanun, kenapa tiada badan berwajib mahu memantau kaedah terjemahan ini. Setiap DVD ada terjemahan berbagai bahasa dan aku tidak pasti bagaimana terjemahan dalam bahasa-bahasa itu. Adakah setaraf bahasa Melayu? Tetapi setelah aku fikirkan masak-masak perkara ini, tidak guna aku bising-bising kerana kedudukan bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua-franca tetap begitu walaupun dalam majlis-majlis rasmi. Jadi... mau tunggu apa lagi, kita ketawa sungguh-sungguh.

Ahad, 9 November 2008

Mengapa ini berlaku?

Sebenarnya aku tidak gemar mengulas berita-berita di dalam akhbar kerana jika aku berbuat demikian bermakna aku mengulas apa yang telah aku baca. Tetapi semalam aku rasa aku ingin mengatakan sesuatu. Pertama kisah angkasawan pertama Malaysia yang mengenakan bayaran hingga mencecah RM8 ribu untuk satu sesi selama 1 jam, amat mengejutkan. Kedua, seorang penulis buku mewakili kawan-kawannya bertanyakan royalti buku dari sebuah syarikat penerbitan yang telah memasarkan buku mereka selama berbelas tahun. Mengapa ini berlaku?

Sebenarnya aku tiada jawapan kenapa ini berlaku. Cuma yang pasti ialah wang telah menghantui mereka. Angkasawan yang pergi ke angkasa lepas bukan dengan wang sendiri, mula mengutip wang atau mungkin dia telah dibuang kerja dan memerlukan wang untuk sara diri. Syarikat penerbitan itu pula mungkin belum puas menjadi lintah untuk menghisap darah dan keringat manusia yang bernama penulis.

Mengapa ini berlaku? Wang kini berada paling atas. Aku tidak salahkan angkasawan itu jika tiada siapa yang menanggung kos ketika dia menceritakan pengalamannya berada di ISIS. Harga petroleum masih mahal walaupun sudah beberapa kali turun. Mungkin penulis itu pula menjadi mangsa surat perjanjian yang berat sebelah seperti yang dialami oleh beribu-ribu penulis lain. Eh... mana persatuan penulis yang akan memperjuangkan hak penulis. Jika setakat melawat ke negara-negara jiran, baik buka syarikat pelancongan!

Ahad, 2 November 2008

Selamat Berangkat Tetamu Allah

31 Oktober 08 - Alhamdulilah, akhirnya kami sampai di Komplek Tabung Haji Bayan Lepas mengiringi bonda Che Zan Darus dan Salbiah Kassim dan kekanda Shakinah Ab Kadir yang akan berangkat ke tanah suci bagi menunaikan Rukun Islam ke 5. Dalam kekalutan trafik di jambatan Pulau Pinang, akhirnya kami sampai sekitar 10.00pm. Setelah selesai proses pendaftaran, kami sekeluarga ( keluarga Che Zan dan Salbiah ) menghabiskan masa lebih dua jam bersama mereka sebelum keluar dari kompleks sekitar 12.00.

01 November 08 - Aku terima mesej dari kakak mengatakan kapal terbang mereka berlepas sekitar 10.47am. Kami sekeluarga mendoakan pemergian mereka akan mendapat keredaan Allah SWT dan pulang dengan haji mabrur. InsyaAllah.

SMS kakak dari Madinah al-Munawwarah ( Kota Bercahaya ) :

01 November 2008 -
1. Kami baru mendarat di Madinah. Sekarang pukul 3.30 petang ( Malaysia - 9.03 malam )
2. Mak Biah ( Salbiah Kassim - mentuaku ) kena beratur dulu tetapi kami masuk dulu sebab mak ( Che Zan - emakku ) ada lesen kerana bertongkat. ( Malaysia - 9.49 malam )
3. Mak Biah tidak tahu hendak SMS. Sekarang pukul 2.00 pagi. Ada jemaah ajak ke masjid untuk solat Subuh. Kami turun ke lobi dan ada jemaah ketawa dan suruh naik semula untuk tidur. Jadual solat tidak dibekalkan untuk rujukan jemaah. ( Malaysia - 7.19 pagi)

02 November 2008 -
1. Tadi kami cari kerusi roda. Masjid dekat saja , dalam 200m tetapi emak tak larat. Pagi ini kami ziarah makam Rasulullah dan Raudhah. Tidak sempat dengar taklimat kerana terlambat. ( Malaysia - 2.57 petang )
2. Takpa la, kami semua sihat. Tengah makan tengah hari dalam bilik Mak Biah. Kawan-kawan yang lain suruh beritahu anak-anak mereka, mereka sihat dan sampaikan salam. Mak nak beli kerusi roda, harga RM270.00. ( Malaysia - 7.06 petang )
3. Satu bilik kongsi 3 orang. Tingkat 2. ( Malaysia - 7.13 petang )

03 November 2008 -
1. Assalamualaikum, kami tengah bersiap hendak bersolat Subuh. Selepas itu hendak ziarah. Semalam kami tak dapat masuk, duduk di luar saja. Dah beli kerusi roda untuk mak. ( Malaysia - 9.45 pagi )
2. Menginap di Hotel Jasmin Manazeli. ( Malaysia - 9.52 pagi )

04 November 2008 -
1. Assalamualaikum, ziarah dalam Perkuburan Baqi', kubah hijau, pintu babusalam dan raudah. Nak tau tempat raudah itu hamparannya berwarna hijau dan kelabu. Tempat mustajab berdoa dalam Masjid Nabawi. Di sebelah kanan makam Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar AS dan Saidina Umar AS. Sekarang dalam bas untuk perjalanan ziarah luar. ( Malaysia - 2.04 petang )

05 November 2008 -
1. Assalamualaikum, lakukan ziarah luar bagi hari ke 4. Ziarah Masjid Quba', Jabal Uhud, Masjid Qiblatain dan Masjid 7. Jemaah semakin ramai terutama dari Turki. Mulai hari ini jemaah boleh lakukan aktiviti sendiri. Esok kami nak pergi beli buah kurma dan pos balik. ( Malaysia - 3.53 pagi )

SMS dari Makkah al Mukarammah

10 November 2008 -
1. Kami sudah sampai ke Makkah pukul 3.30 pagi setelah 8 jam dalam perjalanan dengan bas. Pukul 9.45 pagi, kami akan tawaf dan terus saei. Kos penghantaran kurma ialah 175 rial. 14 hari baru sampai. Salam dari kami di Makkah. Tidak tahu lagi masjid dekat atau jauh. ( Malaysia - 12.56 malam)

2. Assalamualaikum. Alhamdulilah, kami sudah selesai buat umrah. Masjid jauh sangat dan jalan agak teruk. Masa perjalanan pergi ada hamba Allah tolong tolak mak. Balik pun ada orang tolong. Masa tawaf, kakak tolak mak tetapi masa saei upah pak Arab 40 rial. Buat haji kena upah orang tolak mak dari hotel. Kami rasa kami kena banyak solat di surau. Jauh sangat. ( Malaysia - 8.46 malam )

16 November 2008 -
1. Assalamualaikum. Kami di sini sekarang kerja makan dengan tidur. Tak pergi masjid lagi, solat kat surau. Tok Teh sudah seminggu tak sihat. Kami tinggal dekat bangunan Tabung Haji. Semua ada di sini. Klinik, kaunter TH, dobi dan hendak makan pun senang berbanding Madinah. Nama maktab ini ialah Abraj al-Janadiriah. Kami tinggal di tingkat 8. Mak asyik bertanya bila hendak ke masjidil haram. Aku hendak tanya kalau naik teksi kena jalan jauh ke tidak. Aku tanya mak boleh tak jalan jauh sikit, mak kata dia akan cuba. Tengoklah sehari dua ini. ( Malaysia - 6.39 petang )

2. Bayaran teksi cuma 1 rial saja. Cuma takut teksi berhenti jauh dan mak kena jalan. Kat dalam masjidil haram boleh upah orang Indonesia. ( Malaysia - 7.32 malam )

19 November 2008 -
1. Assalamualaikum. Hari ini kami buat umrah sunat. Mak dan Tok Teh orang Indonesia tolak dengan upah RM350.00. Kami tiga orang naik van di tanah halal (miqat) Tana'im untuk niat. Orang semakin ramai. Masa tawaf tadi juga macam tu. ( Malaysia - 9.37 malam )

2. Mungkin kami buat lagi sekali kot. Tetapi ustaz pesan buat sekali sudah memadai. Simpan tenaga untuk hari wukuf. Ingat nak ajak Mak Biah buat sekali lagi. Lepas ini kami akan pergi ziarah. (Malaysia - 9.48 malam)

22 November 2008 -
1. Assalamualaukum, hari ini kami ziarah Jabal Nur (Gua Hira'), Jabal Rahmah, Jabal Thur, Arafah, Mudzalifah dan Mina. Tengok dari dalam bas aje. Kalau nak daki boleh juga tapi tidak cukup masa. Tengah cari masa hendak ajak Mak Biah pergi solat di masjid. Tidak nampak lagi keadaan sebenar dalam masjid. (Malaysia - 11.54 malam )

25 November 2008 -
1. Assalamualaikum, hari ini dapat solat Asar di MasjidilHaram. Kat sini solat campur lelaki dan perempuan tidak sama dengan Masjid Nabawi. Tengah sujud pun depa langkah kepala.
(Malaysia - 11.32 malam)

26 November 2008 -
1. Dapat buat umrah sekali, tawaf sekali. Sekarang manusia semakin ramai. Jumpa Kak Zah dan Pak Jang Aziz. ( Malaysia - 6.09 malam)

27 November 2008 -
1. Assalamulaikum, semalam dah tanya untuk upah haji mak. Tawaf dan Saei-RM450, 3 jamrah RM300, tawaf wida' RM200. Ingat nak buat jamrah kat mak tetapi depa kata kena jalan 3 km, tak daya. ( Malaysia 12.04 malam )