Lima belas tahun lalu, suatu tempoh yang cukup lama dan ketika itu tahun 1993 sedang mengakhiri sisa-sisa usianya. Aku ketika itu berada di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, dalam perjalanan pulang ke kampung. Ketika berada di sudut kedai buku, aku sambar senaskah Berita Minggu dengan tujuan menghilangkan rasa jemu menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur. Ruangan pertama menjadi sasaran aku ialah 'Cerpen' dan terasa...menerjah ke cakerawala (walaupun hakikatnya selepas itu aku menerjah awan gemawan) apabila melihat tajuk cerpen minggu itu ialah 'Caturrangga'. Tanpa aku duga cerpen pertama aku disiarkan oleh sebuah akhbar perdana, walaupun ada kesalahan ejaan pada nama aku yang sedikit pelik.(Isteri kesayangan aku turut memberi komen. Mungkin Amer Hamzah Kadir yang lain!). Kemudian sekali lagi aku menerjah ke cakerawala apabila pada awal tahun 1994, muncul pula 'Balasungkawa' (Juga dengan nama yang tersalah eja -Amer Hamzah).
'Balasungkawa' menerima hadiah dan 'Caturrangga' menjadi judul antologi Hadiah Galakan Sastera Kenyalang terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Sesuatu yang langsung tidak terduga. Hanya kerana ingin memenuhi waktu langka, aku penuhi waktu itu dengan menulis. Kebetulan pekan Lawas adalah pekan terhimpit dan terkepit! Dihimpit dan terkepit dengan sempadan Brunei dan Sabah. Namun pekan ini pekan indah walaupun aku sedikit bimbang dengan kelakuan penduduknya yang agak agresif terhadap 'orang Malaya'. Ada sebuah puisi aku abadikan buat daerah ini. Bayangkan aku masih dapat ingat deruan enjin 'TwinOtter' (perkhidmatan udara oleh MAS - nama ketika itu). Lantas kesunyian diri dan alam sekitar menajdi aku begitu sensitif.
'Caturrangga' ditulis setelah seharian melihat kawan-kawan (di mana mereka sekarang? Kamaruzzaman, Fuad, Zulkifli, Hasullah,Sapri, Zaki) asyik bertanding catur. Lalu benih idea bertunas, mengeluar pucuk-pucuk rapuh dan akhirnya merendang menjadi sebuah cerpen. Mesin taip Ahmad Yani menjadi sasaran. Lalu lahir sebuah cerpen berdasarkan pergerakan bauh-buah catur berteraskan dasar aparteid di Afrika Selatan dengan gaya prosa klasik.
'Balasungkawa' sedikit berbeza. Setiap hari Sabtu aku akan berada di 'tamu' pekan Lawas. Melihat segala yang tidak pernah terlintas pada pandangan mata. Paling aku tertarik ialah deretan ayam laga ( mereka kata susur galur ayam laga itu berasal dari Filipina ). Ayam yang telah disolek dengan kejam kerana aku dapati balungnya telah dibuang. Tajinya ditukar dengan sumbing besi yang tajam berkilat. Lalu benih idea pun tumbuh. Aku ciptakan sebuah cerpen penuh dengan tragik. Tentang kematian anak kembar.
Tetapi entah kenapa setelah lima belas tahun, aku masih gagal menghasilkan sebarang cerpen. Mungkin tunas idea semakin mereput, tidak berbaja. Rasa sensitif semakin kurang atau unkin juga aku terlalu memberi tumpuan kepada novel. Entahlah.
Aku abadikan sebuah puisi untuk Lawas - sebenarnya aku terlupa memberi tajuk dan tidak nostalgik jika aku berikan judul itu sekarang...
lewat senja merah
ketika aku hadir di ruang ruai
ku lihat kau
mirip dara yang tersimpuh
di lantai seribu garis.
sambil menenun pua harapan
tundukmu seakan ingin sembunyikan
malu yang suci.
Namun dadamu ketika menghulur tangan - terbuka
bagaikan dahaga
setitik budi yang ku bawa
sebagai seorang pendatang.
Namun disisimu - masih tampak ilang dan adat
yang bakal aku langkahi
malu dan sucimu
menjadikan aku kagum dan terhimpit
di dalam sezarah nikmat Ilahi
yang terlontar di daerah sepi ini.
Di wajah penambang Batang Lawas
tergaris seribu tanda soal - Mampukah? - Relakah?
menanam benih dan merimbun
bersama hijau dadamu.
Kerapkali
waktu ku berdiri di kaki Sri Lawas
dan menangkap deru enjin TwinOtter lantas terfikir
adakah tahun-tahun di sini
dapat mendewasakan aku dan sepuluh tahun lagi
maniskah buah di dahan rimbunmu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan