Akhirnya aku hinggap disini. Dunia kini menuntut aku turut serta dalam alam 'blog' dan aku tidak mahu melepaskan peluang ini begitu saja. Lalu timbul pertanyaan blog yang bagaimana yang bakal aku uruskan? Aku mahu jadikan blog ini sebagai sebuah kafe yang 'diharumi kopi kampung' kerana aku tidak biasa dengan jerit pekik, jerkah keriau, marah nafsu, gila edan atau penjara minda. Aku ingin jadi kafe yang aku wujudkan ini penuh rasa indah, tanpa politik; atau mungkin juga akan aku selitkan sedikit estetik. Aku tiada kawan yang hebat-hebat untuk aku ceritakan tetapi aku tahu aku manusia jujur dan tidak pernah dan ingin menipu! Aku mahu kafe ini sarat dengan pelanggan ilmuwan (mungkin satu angan-angan saja).
Aku mahu tetamu aku cuba, atau paling tidak dapat lupakan seketika dunia kecoh penuh sandiwara di luar sana hingga menjadikan kita lupa akan fitrah manusia. Aku mahu kita berbalik pada asal, punca selirat, herot berot atau ketidaktentuan manusia kerana aku rasa itu lebih berpahala daripada tindakan edan mengusutkan suasana. Singkirkan rasa tamak haloba dan tumbuhkan jiwa bahagia. Himpunkan segala resah rasa itu dan buang jauh di lautan nista agar menjadi pulau derhaka!
Kafe aku dibuka 24 jam untuk sesiapa saja menjenguk; kawan atau lawan. Jika enak kunjungilah lagi kerana cangkir kopi kampung aku masih hangat dan berbau harum penuh manis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan