Berdasarkan syarat tersebut sudah pasti tidak dapat digunapakai bahawa kesusasteraan Islam dihasilkan oleh orang bukan Islam dan diterbitkan oleh syarikat bukan Islam. Mungkin lebih elok dikatakan kesusasteraan Islam yang dihasilkan oleh penulis bukan Islam diistilahkan sebagai 'ala-Islami'. Tetapi molek juga sekiranya dijelaskan bahawa hasil kesusasteraan yang dihasilkan penulis Islam juga belum tentu dapat diistilah sebagai kesusasteraan Islam jika gagal memenuhi syarat di atas. Memadaikah jika sesuatu karya itu dikatakan kesusasteraan Islam jika pengarangnya hanya 'memotongtampalkan' ayat-ayat suci al-Quran atau menukilkan Hadis? Bagaimana pula jika penulisan begini dihasilkan oleh pengarang 'totok sekular'?
Apakah maksud Islam? Perkataan Islam asalanya ialah ' salima yaslamu' atau 'salaman wa salamatan'. Dari bentuk ini perkataan itu berubah menjadi 'aslama' kepada 'yuslimu' kepada 'islaman' yang memberi maksud 'tunduk menyerah diri dan patuh'. Dalam bahasa Melayu lebih molek istilah ini merujuk kepada perkataan 'ad-din'. Jadi kesusasteraan Islam haruslah bentuknya 'tunduk menyerah diri dan patuh'. Bukan hanya ekadar luaran, malah lebih kepada rohaniah. Oleh demikian tiada siapa yang harus berani mendakwa karyanya adalah karya Islam jika tidak tunduk menyerah diri dan patuh, di samping memenuhi syarat yang lima tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan