Sebenarnya tidak wajar jika kita gemar menuduh terhadap orang tanpa memberi peluang orang yang kita tuduh itu untuk membela diri. Tetapi bagaimana jika orang yang dituduh itu bertindak berdiam diri? Ini yang aku rasa apabila saban minggu (aku rasa sejak 4 minggu yang lalu) salah satu ruang sastera dalam sebuah akhbar perdana asyik mengentam sebuah persatuan yang menggabungkan beberapa persatuan penulis negara ini. Sebenarnya aku tidak faham kepentingan persatuan-persatuan begini jika tiada 'sengat yang berbisa'. jika sekadar berfungsi sebagai satu persatuan , ah...lebih baik setiap manusia di negara wujudkan persatuan sendiri dengan kehendak sendiri. Aku cuba memahami apa yang sedang bermain dalam diri 'penghentam-penghentam' tersebut. Mungkin ada benarnya hingga marah sedemikian rupa!
Semuanya gara-gara pengajaran dan pendidikan di sekolah dalam dua mata pelajaran dilakukan dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya untuk makluman pengunjung kafe ini, sejak sistem pendidikan kebangsaan wujud di negara kita, anak-anak kita adalah bahan kajian mereka. Mungkin aku tidak maksudkan sebagai tikus putih yang telah banyak berjasa kepada manusia selama ini apabila menjadi sasaran saintis di makmal. Kita lihat saja Laporan Barnes, Laporan Razak, Laporan Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Laporan Kabinet dan sebagainya adalah bukti anak-anak kita (termasuk aku) telah dijadikan bahan kajian dunia pendidikan. Itulah hakikatnya! Niat PPSMI mungkin baik apabila ratusan juta ringgit diperuntukkan demi masa depan anak-anak kita, cuma cara perlaksanaannya sedikit pincang. Lantas ianya menjadi kudis dan pencinta bahasa Melayu sentiasa menggaru kudis tersebut hingga berdarah!
Tetapi bukan itu yang mahu aku katakan, cuma aku hairanlah apabila badan yang melindung dan memayung penulis-penulis yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, tidak bersuara. Kenapa? Mungkin itulah persoalannya. Seperti yang aku katakan sebelum ini, ada persatuan penulis bertindak seperti syarikat pelancongan ada kebenarannya. Mencari sisa-sisa Melayu seluruh dunia tetapi bagaiamana Melayu di tanah sendiri? Bahasa sendiri sudah tidak bererti. Tetapi aku sanjung mereka yang masih tegar berjuang demi bangsa dan seperti yang aku mahukan ialah kembalikan sejarah di sekolah rendah. Dedah sepenuhnya tentang kehebatan Melayu, jangan meleret ke Eropah, India dan China. Semua itu tiada kaitan dengan keagungan orang Melayu. Bakal penulis teks sejarah sekolah rendah, aku ingin nasihatkan; adalah tanggungjawab anda untuk tidak memesongkan sejarah dan bersedialah untuk menanggung segala dosa jika anda tidak jujur! Sejarah dan keagungan Melayu tidak dapat dipisahkan kerana melalui sejarah saja bahasa Melayu akan kembali ke tempat sewajarnya.
Begitu juga ahli akademik dan ilmuan di universiti, bersuaralah sedikit kerana anda dipilih dan dianugerah Allah dengan pengetahuan yang tinggi; berilah pendapat. Tidak berdosa jika anda bercakap benar! Kopi O keras di meja aku terus berasap!
2 ulasan:
Salam,
Saya menyokong apa yg saudara katakan.Inilah akibatnya jika segenap kehidupan dipolitikkan.Teruskan perjuangan, sesungguhnya mata pena lebih tajam dari mata pedang.
Selamat mengunjungi blog saya;
Sebenarnya apa yang ingin saya katakan ialah kurang perhatian golongan yang mempunyai tanggungjawab terhadap isu ini.Apa yang saya mampu lakukan ialah menegur walaupun itu adalah selemah-lemahnya tindakan yang dapat dilakukan. Mungkin ada pihak lain yang lebih kuat mendesak agar isu ini diberi perhatian oleh golongan tertentu.
Catat Ulasan