Sahabat ku,
Akhirnya Ramadhan al Mubarak hadir juga. Setelah setahun merindui bulan yang mulia ini, akhirya ia mucul umpama seekor burung berbulu hijau terbang indah melintasi ruang berwarna putih suasa. Bulan palin buat isteriku kerana demi memenuhi keinginan empat orang puteri yang kami sayangi. Oh ya, mereka sudah pandai bertarawih sejak Ramadhan yang lalu walaupun puteri bongsu ku itu lebih suka dengan keriuhan surau yang terletak beberapa meter dari RimbunKasih. Bukankah itu satu kebahagiaan seorang lelaki dan ayah?
Tetapi sahabat ku, bukan itu yang ingin aku katakan di dalam surat ini, kerana bagi aku Ramadhan lebih kuat menjentik memori anak kampung seperti kita. Dalam keriuhan suara anak-anak, kita dapat rasakan kesyahduannya. Tetapi bukan dengan mereka. Aku rasa, sudah beberapa bulan yang lampau kita seolah-olah tidak puas dengan suara keriau kita, tentang apa saja terutama sekali politik. Kadang kala aku terfikir kenapa dengan politik? Bukan tentang agama, bukan tentang bahasa, bukan tentang masa depan, bukan tentang ekonomi dan seribu satu macam bukan tentang lagi. Aku rasa aku sudah jelak mendengarnya kerana kisah-kisah yang kacau bilau ini sering menyentak nikmat hidup aku.
Matikah Melayu jika tidak bercakap tentang politik? Malu sangatkah orang Melayu jika tidak bercakap tentang politik berbanding bercakap tentan bahasa, budaya atau pertuanan Melayu? Umpama malunya apabila anak menantu tidak bersanding di dalam majlis perkahwinan (sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh para ulama yang kini semakin menjadi budaya).
Sahabat ku yang jauh,
Kadang-kadang aku rasakan Melayu sekarng sudah kacau bilau sehingga menyebabkan lembu dan kambing di halaman semakin terliur hendak berak di atas anak tangga.(Maaf kerana aku terlalu emosi dan aku harap kau terus membaca surat ini. Aku juga mohon maaf kerana Ramadhan semakin kuat menjenguk dan aku masih bercakap begini).
Jadi biarlah Ramadhan kali ini menjadi ruang untuk bertenang. Sudah cukuplah menyusu kera di hutan dan membiarkan anak di rumah kelaparan (belum mati lagi). Hulurkan tangan persaudaraan dengan penuh rasa keinsafan kerana selama ini masing-masing terlalu ego dan tidak rela merendah walaupun untuk satu perkataan iaitu MELAYU. Sudah cukup kita berpencak silat. Biarlah paluan gendang berhenti seketika. Biarlah keris berkarat punya masa dikilatkan semula; kerana sudah ada rupa 'kucing ingin menjadi serigala'.
Sahabat ku,
Sebelum Ramadhan menjelma, Merdeka menampakkan diri. Puteri-puteri ku sibuk dengan bendera dan nyanyian patriotik mereka. Terasa ingin menangis memikirkan masa depan mereka jika kita asyik berpencak sehingga lupa bumi yang dipijak. Cukuplah, mari kita di dalam satu saf demi anak-anak kita.
Sahabat ku,
Aku rasa puas kerana dapat mengutuskan surat ini dan aku mengharapkan balasan dari mu.
Sekian.
1 ulasan:
AmerHmzah berkata...
Aku rasa, sudah beberapa bulan yang lampau kita seolah-olah tidak puas dengan suara keriau kita, tentang apa saja terutama sekali politik. Kadang kala aku terfikir kenapa dengan politik? Bukan tentang agama, bukan tentang bahasa, bukan tentang masa depan, bukan tentang ekonomi dan seribu satu macam bukan tentang lagi. Aku rasa aku sudah jelak mendengarnya kerana kisah-kisah yang kacau bilau ini sering menyentak nikmat hidup aku.
Matikah Melayu jika tidak bercakap tentang politik? Malu sangatkah orang Melayu jika tidak bercakap tentang politik berbanding bercakap tentan bahasa, budaya atau pertuanan Melayu?
-----
Pada pandangan ambo, kekuatan orang Melayu di Malaysia adalah pada kekuatan politiknya. Jika nak dilihat kekuatan Melayu di sektor ekonomi dan sosialnya... sendiri mau ingat ler...
Orang Melayu sejak dulu suka berbicara pasal politik. Tapi dulu, tak semua orang Melayu suka bicara pasal politik. Kumpulan tertentu je.Dulu mungkin begitu kerana kedudukan politik Melayu tidak seperti sekarang...
Sekarang, hampir semua Melayu termasuk golongan muda Melayu, anak-anak yang masih di sekolah rendah pun berbicara pasal politik jugak... Otai-otai kat kawasan pedalaman pun bincang pasal kerajaan DSAB juga...
Mungkin kerana kedudukan Melayu terancam?... Mungkin dasar-dasar politik semasa menyebabkan kehidupan Melayu makin terhimpit?.. Atau mungkin keadaan semasa membuatkan semua orang tanpa mengira kaum dan di mana ia tinggal merasa kejerihan hidup berbanding sebelumnya... Maka semua orang tanpa mengira bangsa dan umur serta latar belakangnya, mula berbicara tentang politik.. Kerana di Malaysia politik mempengaruhi banyak aspek kehidupan... Nak buat apa2, nak minta apa2, nak mohon apa2.. nak kelulusan apa2... lebih baik kalau ada campur tangan politik...
Mungkin kerana bagi kebanyakan kita, apa2 aspek lain dipengaruhi oleh keputusan dan dasar2 politik.. maka berbincang tentang hal2 politik bermakna berbincang tentang kesannya ke atas kehidupan sosialnya, ekonominya, perkembangan agamanya, keadaan kehidupannya di masa hadapan dan sebagainya lagi..
Baguslah kalau begitu.. sekurang2nya makin ramai yang lebih prihatin dengan apa yang berlaku si sekeliling mereka..
Catat Ulasan