Ahad, 10 Ogos 2008

Biar Bintang Berguguran - Suatu Penyesalan


Itu yang aku rasakan setiap kali mengenangkan novel pertama aku yang diterbitkan sekitar tahun 2004. Novel yang aku usahakan dengan sungguh-sungguh dan ketika itu aku rasakan bahawa dunia aku hanya untuk novel ini. Memang aku akui bahawa aku mengambil masa yang panjang kerana aku terpaksa membuat rujukan dan kajian, terutamanya kehidupan 'manusia hanyut ' di sekitar pantai negeri aku iaitu Terengganu. Aku selongkar segala maklumat dan semua latar tempat yang aku gunakan itu adalah nama asli. Aku betul-betul kagumi manusia negeri Terengganu yang memang sudah susah tetapi masih menyambut kedatangan 'manusia hanyut' ini. Kemudian aku penuhi sebahagian besar kandungan novel itu dengan dunia di Pulau Bidong. Aku cipta satu ruang yang kemudiannya aku penuhi dengan objek dan watak. Malah suka juga untuk aku katakan bahawa pemerian terhadap watak May adalah wajah sebenar pelarian yang berada di Amerika Syarikat yang aku perolehi dari sebuah majalah.

Tetapi kenapa aku harus menyesal? Sudah pasti ada pertanyaan itu dalam diri aku. Aku menesal kerana aku terpaksa komersialkan novel ini. Sebuah novel yang aku anggap berat dan aku cuba penuhi dengan nilai estetik, terpaksa bertukar kulit dan isi. Asalnya aku judulkan novel ini sebagai Diaspora tetapi kerana ingin memenuhi keinginan yang kemudiannya aku rasakan sebagai syarat penerbitan aku terpaksa melankolikkan judulnya kepada Biar Bintang Berguguran. Malah beberapa bab di dalam novel ini terpaksa aku 'recycle bin'kan demi memenuhi syarat penerbitan. Lantas ada perasaan sesalan dalam diri. Tetapi demi melihat novel pertama aku diterbitkan, aku pendam perasaan itu selama 4 tahun. Kini rasa sesalan itu masih ada, cuma aku diamkan saja.

Aku rasa inilah nasib yang menimpa bukan saja aku seorang, malah mungkin puluhan lagi penulis lain yang cuba menerjunkan diri dalam dunia penuh penipuan ini. Tiada siapa akan mempedulikan undang-undang apabila sesuatu itu melibatkan WANG! Akta Hak Cipta dan Harta Intelek terasa hanya sekadar memenuhi ruang kosong dalam sistem undang-undang. Pelaksanaannya? Aku tidak berani mengulasnya dengan lebih lanjut lagi. Royalti Biar Bintang Berguguran - tidak cukup untuk menukarkan empat tayar van buruk aku!

Jadi aku sebenarnya menyesal dengan apa yang telah aku alami dan siapa peduli perkara ini? Tiada siapa kerana aku dapati realiti dunia yang aku libatkan ini penuh dengan dengki khianat, cemburu, berpuak-puak, berkepentingan - tidak seperti yang aku gambarkan! Cuma aku harus sedar, jika tidak mampu bersilat usah dekati gelanggang ini. Tulahnya begitu kuat. Mungkin inilah pengajaran yang harus aku hadapi dan aku akan cuba hasilkan sebuah manuskrip dunia ini, cuma aku tidak pasti adakah penerbit akan terbitkan manuskrip itu. Nampaknya sekali lagi aku luahkan rasa marah di dalam blog ini. Sesuatu yang aku mahu elakkan. Kopi kampung di dalam cangkir semakin dingin dan aku mahu lupakan penyesalan ini walaupun perasaan itu sentiasa bermain di dalam diri. Jika anda menemui nama Eg Paogee, itulah nama samaran yang aku gunakan kerana terlalu malu untuk mengaku bahawa Biar Bintang Berguguran itu adalah hasil karya aku!

Tiada ulasan: