Ahad, 29 Ogos 2010
Rabu, 21 Julai 2010
Kala Yuda - Karya Fiksyen Sains & Teknologi
Akhirnya karya terbaharu saya Kala Yuda dilancarkan pada 20 Julai 2010 oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Mungkin karya ini menuntut kesabaran saya untuk melihatnya berada di pasaran dan semalam novel ini dilancar bersempena majlis penyampaian hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM dan Kumpulan Utusan. Sebagai pemenang sulung dalam sayembara ini saya benar-benar terharu dan bersyukur kerana keperitan menghasilkan karya dalam genre begini memang mencabar. Melakukan kajian dan membuat rujukan berdasarkan sumber bertulis dan bukannya bersumberkan internet, memang mencabar dan ternyata saya gemarkan cabaran begini. Seolah-olah terasa keasliannya dan bukan sekadar mencedok begitu sahaja lalu dijadikan idea milik sendiri.
Saya benar-benar puas!Rabu, 30 Jun 2010
Kembara Amira Menjadi Teks KOMSAS
Tiba-tiba muncul sepucuk surat laju dan kandungannya memang mengejutkan. Surat bertarikh 23 Jun 2010 bertajuk - Penebitan Buku Teks Novel Komponen Sastera (KOMSAS) Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5 Kegunaan Sesi Persekolahan Tahun 2011 Hingga Tahun 2015. Kepala surat tertera Utusan Publications & Distributors sebagai penerbit novel Kembara Amira menjelaskan bahawa novel remaja yang memenangi Hadiah Sastera 2005 itu telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dijadikan teks KOMSAS. Kesyukuran yang amat besar aku lafazkan. Aku masih ingat ketika program resensi buku di RTM yang bertanya kenapa aku tulis novel begitu. Aku jawab aku mahu watak utama dalam novel itu menjadi ikon remaja. Jadi jelas sekarang kata-kata aku yang berbentuk doa dan harapan itu berbalas. Novel Kembara Amira bakal menjadi teks KOMSAS tingkatan 5 untuk negeri-negeri zon utara melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Alhamdulilah.Aku benar-benar bersyukur.
Isnin, 21 Jun 2010
Nilam/Tilam
Seorang guru telah dipilih menjadi tokoh NILAM di Terengganu. Program NILAM merupakan program khas untuk mereka yang gemar membaca dan mempunyai senarai bacaan yang tinggi; mungkin melibatkan ribuan buah buku dalam masa tertentu atau tahun dinilai. Tetapi peliknya guru yang berasal dari SMK Menerong, Hulu Terengganu ini setelah dipilih menjadi tokoh tersebut telah membuat suau kenyataan dalam akhbar. Kenyataan yang dibuat dalam sebuah artikel akhbar berbahasa Inggeris jauh terpesong dari program NILAM. Guru ini mengatakan dia aktif membaca kerana kuat dan aktif seks bersama isterinya. Aku menjadi sangsi dengan kenyataan itu kerana aku tidak nampak hubungan antara minat membaca dengan minat melakukan seks. Cuma aku khuatir kenyataan guru ini akan mendorong pelajar-pelajar yang malas membaca untuk aktif melakukan hubungan seks hanya untuk menjadi pembaca yang aktif. Jadi jangan terperanjat apabila anda menangkap sepasang remaja sedang melakukan seks ditepi satu timbunan buku kerana nasihat yang tidak masuk akal ini.Ini tokoh nilam ke tokoh tilam?
Isnin, 14 Jun 2010
Fosil Sastera
Hakikatnya sudah banyak sekolah yang telah menamatkan mata pelajaran sastera dan pelajar digalakkan mengambil mata pelajaran lain yang dikatakan lebih bernilai. Walaupun pada hakikatnya juga belum ada satu kajian yang menunjukkan mata pelajaran sastera tidak mempunyai nilai komersil berbanding mata pelajaran lain. Aku juga mendapat berita dari puteri aku mengatakan sekolahnya juga mempunyai kelas terakhir elektif sastera. Beginilah nasib mata pelajaran yang diberi watak negatif oleh masyarakat. Entah apa pula akan berlaku selepas ini kerana ada pula berita hendak mewajibkan mata pelajaran sastera untuk semua pelajar. Namun sastera terus dipandang rendah walaupun pada dasarnya mata pelajaran ini amat sukar kerana memerlukan pembacaan yang banyak.Selepas ini aku temui terlalu banyak fosil sastera!
Langgan:
Catatan (Atom)
