Rabu, 30 Jun 2010

Kembara Amira Menjadi Teks KOMSAS

Tiba-tiba muncul sepucuk surat laju dan kandungannya memang mengejutkan. Surat bertarikh 23 Jun 2010 bertajuk - Penebitan Buku Teks Novel Komponen Sastera (KOMSAS) Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5 Kegunaan Sesi Persekolahan Tahun 2011 Hingga Tahun 2015. Kepala surat tertera Utusan Publications & Distributors sebagai penerbit novel Kembara Amira menjelaskan bahawa novel remaja yang memenangi Hadiah Sastera 2005 itu telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dijadikan teks KOMSAS. Kesyukuran yang amat besar aku lafazkan. Aku masih ingat ketika program resensi buku di RTM yang bertanya kenapa aku tulis novel begitu. Aku jawab aku mahu watak utama dalam novel itu menjadi ikon remaja. Jadi jelas sekarang kata-kata aku yang berbentuk doa dan harapan itu berbalas. Novel Kembara Amira bakal menjadi teks KOMSAS tingkatan 5 untuk negeri-negeri zon utara melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Alhamdulilah.

Aku benar-benar bersyukur.

Isnin, 21 Jun 2010

Nilam/Tilam

Seorang guru telah dipilih menjadi tokoh NILAM di Terengganu. Program NILAM merupakan program khas untuk mereka yang gemar membaca dan mempunyai senarai bacaan yang tinggi; mungkin melibatkan ribuan buah buku dalam masa tertentu atau tahun dinilai. Tetapi peliknya guru yang berasal dari SMK Menerong, Hulu Terengganu ini setelah dipilih menjadi tokoh tersebut telah membuat suau kenyataan dalam akhbar. Kenyataan yang dibuat dalam sebuah artikel akhbar berbahasa Inggeris jauh terpesong dari program NILAM. Guru ini mengatakan dia aktif membaca kerana kuat dan aktif seks bersama isterinya. Aku menjadi sangsi dengan kenyataan itu kerana aku tidak nampak hubungan antara minat membaca dengan minat melakukan seks. Cuma aku khuatir kenyataan guru ini akan mendorong pelajar-pelajar yang malas membaca untuk aktif melakukan hubungan seks hanya untuk menjadi pembaca yang aktif. Jadi jangan terperanjat apabila anda menangkap sepasang remaja sedang melakukan seks ditepi satu timbunan buku kerana nasihat yang tidak masuk akal ini.

Ini tokoh nilam ke tokoh tilam?

Isnin, 14 Jun 2010

Fosil Sastera

Hakikatnya sudah banyak sekolah yang telah menamatkan mata pelajaran sastera dan pelajar digalakkan mengambil mata pelajaran lain yang dikatakan lebih bernilai. Walaupun pada hakikatnya juga belum ada satu kajian yang menunjukkan mata pelajaran sastera tidak mempunyai nilai komersil berbanding mata pelajaran lain. Aku juga mendapat berita dari puteri aku mengatakan sekolahnya juga mempunyai kelas terakhir elektif sastera. Beginilah nasib mata pelajaran yang diberi watak negatif oleh masyarakat. Entah apa pula akan berlaku selepas ini kerana ada pula berita hendak mewajibkan mata pelajaran sastera untuk semua pelajar. Namun sastera terus dipandang rendah walaupun pada dasarnya mata pelajaran ini amat sukar kerana memerlukan pembacaan yang banyak.

Selepas ini aku temui terlalu banyak fosil sastera!

Isnin, 31 Mei 2010

Tetamu

Alhamdulilah, beberapa minggu yang lalu aku dan isteri menerima dua sampul surat yang tertera logo Tabung Haji. Isteri aku menjadi orang pertama yang membuka sampul surat tersebut ketika aku masih di dalam kereta dan aku lihat wajahnya penuh ceria. Berita yang amat gembira dan aku bersyukur kerana aku dan isteri bakal menjadi antara jutaan tetamu Allah pada tahun ini. Sebenarnya pada tahun lepas, aku dan isteri telah menjadi 'tetamu simpanan' tetapi kerana beberapa halangan kami menolak tawaran itu dan tanpa diduga tahun ini kami mendapat tawaran penuh dan bukan lagi tawaran simpanan. Jadi kebelakangan ini kami agak sibuk kerana bukan mudah menjadi tetamu di tempat paling mulia di atas muka bumi ini. Apatah lagi bakal mengunjungi rumah Allah. Jadi aku mula sebarkan berita ini sedikit demi sedikit. Untuk pengetahuan saudara mara terdekat dan masih ada lagi yang belum tahu. Kemudian mengunjungi pejabat imigresen untuk urusan pasport. Isteri pula sudah mendapat pakaian dari kakak yang telah menunaikan haji dua tahun lepas. Malah kami mendapat dua beg besar secara percuma. Inilah rezeki. Sementara aku mendapat senaskah buku berjudul Trevelog Haji dari adik dari Tanjong Malim. Kursus haji sudah semakin di penghujung dan aku lupakan seketika tabiat mengarang. Perhatian lebih kepada tujuan murni ini.

InsyaAllah, para sahabat yang membaca blog ini sila nasihati aku, sila nasihati aku dan sila nasihati aku...

Rabu, 26 Mei 2010

Cakap Atau Kerja?

Fikir punya fikir dan akhirnya aku membuat andaian bahawa dia lebih banyak bercakap dari bekerja. Dan sejak akhir-akhir ini aku lihat dan dapat rasakan bahawa dia telah dijangkiti rasa ketagihan yang amat teruk untuk bercakap dan bercakap sehingga aku meragui etika kerjanya. Bukan aku mahu menuduh tetapi naluri aku kuat mengatakan bahawa dia mengalami masalah komunikasi mungkin di rumah atau di surau/masjid dan kemungkinan juga dia sudah kehilangan ramai kawan sehingga situasi mendesak agar dia menjadi manusia yang terlalu banyak bercakap dari bekerja. Kadang kala aku sedih melihat situasi begini kerana dia memimpin organisasi yang penting. Mungkin tabiat suka cakap dari kerja itu akan menjahanamkan organisasi tersebut. Dan ketika itu segalanya sudah terlewat.

Mungkin juga kawan-kawan semakin menjauh setelah dia berada pada tahap begini dan kemungkinan juga orang bawahannya sudah jemu untuk berbual dengannya atau mereka sering mengelak hingga dia terpaksa mengambil tindakan nekad dengan memaksa semua orang mendengar apa yang bakal dia cakapkan! Seseorang perlu sedarkan dia dari 'koma' kerana dia tidak sedar apa yang dia lakukan itu sedang dinilai oleh orang bawahannya.

Aku pula lebih suka menulis dari bercakap!