Jumaat, 28 November 2008

Cuti Muncul Lagi II

Akhirnya kami sekeluarga ke Langkawi setelah mendapat undi terbanyak. Namun kali ini cuaca agak menghalang kerana hari kedua hujan renyai-renyai dari pagi tumpu ke malam. Namun dua hari yang terluang kami habiskan dengan aktiviti yang tidak dirancang tetapi berjalan dengan sempurna. Cuma aku agak terkilan dengan dengan perkhidmatan feri yang mengenakan harga tiket yang mahal tetapi perkhidmatannya tahap rendah. Siapa yang pantau mereka?


Kami gunakan kesempatan mengunjungi Kilim Ecopark yang amat menarik dan sempat merasa 'gayat' kereta kabel ke puncak Gunung Mat Cinchang.










Melihat anak-anak dan anak saudara yang seronok menjelajah keindahan pulau lagenda ini, aku rasa pelaburan dalam aktiviti ini berbaloi. Terima kasih untuk adik ipar yang sanggup menerima kunjungan kami dengan ucapan terima kasih daun keladi...

Rasa penat setahun bekerja dan setahun anak-anak berhadapan dengan buku dan tuisyen, berbayar. Mungkin tahun depan projek ke Melaka akan tercapai.

Langkawi yang Lesu

Ketika menghampiri jeti Kuah, lambang Langkawi dapat dilihat begitu gah sekali. Lambang seekor burung helang sedang mengepak sayap. Namun sesuatu yang aku tidak duga ialah ketika malam Dataran Lang kelihatan begitu lesu. Terdapat dua bangunan bazar dan hanya sebuah yang masih meneruskan perniagaannya pada waktu malam.

Cuba perhatikan lambang helang yang sedang mengepak sayapnya ketika malam. Hanya tiga biji lampu sorot yang dipasang dan ketika aku berlegar-legar mencari lokasi tersebut, malang sekali aku tidak nampak apa-apa pun. Memang betullah kata orang, hendak bina memang senang tetapi untuk mengekalkannya begitu sukar. Dataran tersebut gelap dan hanya diterangi beberapa biji mentol. Berapakah kos sebiji mentol? Dan lebih teruk kawasan itu kini menjadi tumpuan remaja untuk berdua-duaan!(kebetulan aku terserempak sepasang remaja sedang menyorok di belakang deretan kereta sewa yang menguasai petak parking di kawasan tersebut)

Sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan pulau lagenda ini Begitu juga dengan harga tiket feri yang semakin meningkat sedangkan mereka dikatakan menerima subsidi dan harga petrol semakin turun. Satu lagi, banyak sangat projek terbengkalai di sekitar pekan Kuah. Sebagai pulau tumpuan pelancong, pihak berkuasa mestilah kreatif untuk menyembunyikan projek terbengkalai yang amat menyakitkan mata memandang.

Terasa amat berbeza jika dibandingkan pulau itu sekarang dengan beberapa tahun yang lalu.

Jumaat, 21 November 2008

Antara Dua Katrina.

Ini novel aku yang kedua ( sebenarnya aku tersenyum setiap kali melihat nama pena yang tertera di kulit novel ini) yang diterbitkan awal 2005 oleh sebuah syarikat nyamuk tiruk! Novel ini pada awalnya aku ingin jadikan sebuah novel misteri tetapi bertukar angin menjadi sebuah novel kisah cinta. Cinta sepasang suami isteri yang terperangkap dengan syarat-syarat dan keinginan. Mungkin sudah tiada di pasaran ataupun masih bertimbun di stor syarikat tersebut. Aku tidak kisah kerana seperti mana penulis baru, melihat novelnya dipamerkan di rak kedai buku sudah memadai dan terasa 'melastik ke bintang'. Inilah Katrina dan aku jadikan watak feminin dalam novel ini segagah lelaki yang kuat berdepan dengan cabaran. Namun aku tidak melupakan watak maskulinnya - Razman. Dan sudah menjadi kebiasaan aku aku sukakan kerja kebajikan. Demi Kasih Katrina turut memuatkan episod tersebut yang kemudiannya aku kekalkan sebagai identiti penulisan novel yang aku lakukan hingga kini.
Katrina aku abadikan buat mereka yang bergelar isteri yang gigih berhadapan dengan karenah dan hal suami yang sukar untuk difahami. Aku rasa tiada seorang isteripun yang faham kemahuan suaminya dan biasanya kemahuan itu amat menyakitkan hati sang isteri! Jadi dalam berkhayal mencari idea, aku terus menulis dan memangsakan Katrina. Sementara si suami terus menunjukkan gelojak jiwa seperti seekor kuda yang berlari di padang rumput. Namun aku kukuhkan si isteri seperti karang lautan sehingga akhirnya aku sudahi kisah ini dengan kebahagiaan yang mungkin sudah diramalkan oleh pembaca. Aku harap pembeli yang terbeli dan pembaca yang terbaca berpuashati menghabiskan wang sebanyak RM16.90 untuk novel ini.
Namun sesuatu yang tidak aku duga telah berlaku dan menyeret nama Katrina. Sekitar 2005 selepas Katrina dipasarkan, Katrina mengamuk dan membunuh ramai mangsa! Katrina benar-benar marah. Munkin kerana aku telah memangsakan dirinya! Aku turut terkejut dengan kejadian yang tidak aku sangka-sangkakan itu. Taufan Katrina membadai lembah Missisippi (Amerika Syarikat) dan membunuh ramai mangsa. Malah Katrina juga telah melondeh kelemahan sebuah kerajaan besar dunia yang selama ini mendakwa negaranya adalah sebuah negara impian. Sehingga hari ini Katrina terus dikenang sebagai taufan yang paling hebat dan telah berjaya memporakperandakan Amerika Syarikat. Aku terkedu kerana aku memilih nama Katrina berdasarkan nama seorang peserta akhir rancangan Fear Factor!

Isnin, 17 November 2008

Cuti Muncul Lagi

Akhirnya dia muncul lagi. Maksud aku cuti sekolah akhir tahun dan cuti kali ini mungkin sedikit menggembirakan berbanding tahun lepas. Sebabnya? Ada baki lagi separuh bonus yang bakal dibayar pada bulan Disember. Kemudian ada khabar-khabar angin mengatakan harga petrol akan turun lagi dan begitu juga harga tol. Jadi tunggu apa lagi - jom bercuti!
Sebenarnya sebelum ini kami jarang berbincang ke mana hendak pergi ketika bercuti. Bangun pagi hidupkan enjin kereta dan masukkan pakaian dalam beg dan kami akan bertolak ke destinasi. Tetapi kali ini perancangannya agak ganas iaitu menuju Melaka, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan balik semula ke Kulim. Jadi puteri aku yang bongsu melihat aku merujuk peta laluan yang aku beli ketika bercuti di Terengganu dulu dan seketika kemudian, heboh satu rumah. Jadi rahsia aku terbongkar, isteri aku hanya tersenyum. Seketika kemudian perancangan bertukar apabila ada cadangan hendak bercuti di Langkawi. Semalam ada pula cadangan ke Kuala Lumpur saja.
Jadi tarikh 23 November akan menentukan ke mana arah tujuan kami. Tiada keputusan muktamad lagi. Memang betullah, cuti muncul lagi...

Khamis, 13 November 2008

Sajak Kematian vs Legend Urban

Baru-baru ini aku lihat ada dua kisah keganasan tetapi dinilai dalam sudut yang berbeza oleh masyarakat. Pertama seorang waris yang bebal dan hitam hatinya telah membuat satu protes kesan penayangan video klip kisah kematian terhadap anaknya di sekolah rendah. Mungkin dia tidak mahu anaknya kenangkan kejadian-kejadian ghaib di alam kubur. Kemudian adalah ulasan-ulasan agar aktiviti ini dihentikan segera. Nampaknya ibubapa yang memperjuangkan isu telah menang. Jadi aku tidak hairan jika golongan remaja sekarang lebih suka terhadap gay, pengkid, rempit, homoseks, seks rambang, anak luar nikah dsbnya. Itulah yang ibu bapa sekarang suka dan mahukan. Jadi aku ucap tahniahlah untuk ibu bapa yang menimbulkan isu ini kerana anda telah berjaya memperjuangkan masa depan anak anda. Macam kata kawan aku (Uchoppe - dialah penyumbang grafik blog ini) klip video itu sesuai untuk tayangan lelaki yang bernama bapa dalam kes ini.
Kemudian aku tengok pula satu tayangan semalam (12/11/2009) di RTM2. Satu tayangan gambar dengan tajuk Urban Legend yang mengisahkan betapa nikmatnya membunuh orang dengan menggunakan kapak! Aku harap ibu bapa yang berjaya melarang anaknya dan anak-anak orang lain menonton dan mengambil iktibar Sajak Kematian, menonton tayangan gambar ini. Tak kisahlah...