Ahad, 13 Januari 2013

Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim II

Majlis penyampaian hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Kumpulan Utusan-UTM musim II berlangsung pada 06.12.2012 di Dewan tun Hussein Onn, PWTC sekitar jam 3.00 petang. tidak seperti biasa, aku bawa satu keluarga kerana kebetulan sehari sebelum itu kami pulang bercuti dari Sabah. Aku mempertaruhkan 'id' dalam gelanggang dan boleh kira bernasib baik mendapat hadiah saguhati. Tanpa diduga aku bertemu dengan Prof Madya Dr Talib Samat dan mendengar berita-berita baharunya tentang pelancaran trevelognya di Pulau Pangkor ( kisah pencarian susur galur Datuk Menteri di Pulau Seychelles ) dan projek terbaharu penceritaan/pengisahan orang sastera berasal dari Felda di Institut Darul Aman. Seronok juga berbual dengannya. Kemudian bertemu dengan mantan editor UPND Sdr. Rozlan serta editor baharu Sdr Badrol. Kemudian masuk ke dalam dewan bertemu pulak dengan pemenang-pemenang hebat dan dihiburkan dengan dikir barat, kemudian makan-makan dan balik.
 Inilah rupa kulit depan 'id'...



Rabu, 29 Ogos 2012

Fantasi Menjadi Realiti ( Dalam Proses Kreatif )


Alhamdulilah setelah usai Ramadan, diri ini kembali aktif 'mencipta draf' untuk novel seterusnya. Ketika disoal oleh Dr Fatimah Busu - kenapa anda menulis novel - jawapan saya - untuk menulis apa yang tidak ditulis oleh orang lain! Dan sepanjang penghasilan novel; bermula dengan Kembara Amira, ada saja yang telah saya tulis ( pada asalnya suatu fantasi ) kemudiannya terbukti terjadi. Umpamanya, dalam Kembara Amira, saya menyentuh tentang penemuan 'emas orang bodoh' oleh Amira dan Itai. Tanpa saya duga beberapa tahun kemudian terdapat berita di dalam akhbar tentang penemuan emas tersebut di Malaysia.




Dalam Kala Yuda, saya menggambarkan Adam ( anak Saerah ) seorang kanak-kanak autistic savant yang mempunyai kebolehan luar biasa ( walaupun hakikatnya kanak-kanak cacat ) yang mempunyai kemampuan berfikir yang tidak terduga oleh manusia. Kemampuan Adam berfikir begitu diistilahkan sebagai photografic memories terbukti memang terdapat dalam dunia realiti.




Pemuda dalam gambar di atas ialah Stephen Wiltshire ( London ) adalah seorang autistic savant yang mempunyai kemampuan photografic memories berjaya melukis kota raya New York setelah terbang di atas bandar raya itu selama 20 minit.




Dalam salah satu mimpi saya, saya melihat bagaimana semut menguasai dunia dengan kekuatan yang mereka miliki. Dalam akhbar Utusan ( 25 Ogos ) yang lalu ada berita tentang 1 000 ekor semut spesis formica lugubris telag dipasang dengan alat radio oleh pasukan penyelidik Universiti York. Dan semut ini dilepaskan di Longshaw Estate dengan tujuan kajian komunikasi.

Adakah perkara ini saya telah tuliskan dalam proses kreatif saya?

Rabu, 16 Mei 2012

Mencari Cebisan Yang Hilang

Memang aku mencari cebisan yang hilang yang mungkin sengaja dihilangkan atau sengaja tidak dicatatkan. Sudah beberapa minggu aku selusuri beberapa blog yang membicarakan tentang MELAYU kerana aku mula risau dengan makhluk Allah SWT yang bernama Melayu. Salah satu cerpen aku terawal ialah CATURRANGGA yang mengisahkan pembidakan ke atas manusia dalam sebuah negara. Bagaimana manusia itu hanyalah buah catur yang digerakkan oleh tangan ghaib. Itulah yang aku fikirkan sekitar tahun 1988 lalu aku hasilkan sebuah cerpen. Sampai bila manusia bernama MELAYU tidak kenal diri, lupa kehebatan masa lampau dan terus disumbat dengan segala kelemahan dan keburukan. Kelemahan dan keburukan ini disumbat pula dengan mendung politik yang carca merba nafsu.

Maki hamun, caci mencaci dan lebih teruk menjadi pak turut yang tidak tahu apa-apa, sekadar memenuhi gelanggang tanpa arah dan tujuan perjuangan. Adakah begini orang MELAYU? Di mana MELAYU yang pernah membina kapal yang berjaya meredah lautan hingga ke Australia dan dicemburui oleh penjajah, perenang dan penyelam terbaik nusantara, pembidik peluru penunang, pakar besi, pakar senjata bedil - hilang dan terus hilang hingga aku terasa terhina begitu sekali. Tangan-tangan ghaib terus membidak dan MELAYU menjadi lalai. Cebisan-cebisan kisah kehebatan MELAYU terus dibiarkan hilang tanpa usaha-usaha mencari.

Aku dipersimpangan...mencari susur galur atau mengesan tangan-tangan ghaib?

Selasa, 27 Mac 2012

Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi : Memori Setelah 2 Tahun

Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi sudah memasuki kali kedua ( bukan tahun kedua kerana diadakan dua tahun sekali ). Memang aku patut berbangga kerana aku adalah pemenang pertama dan karya aku juga menduduki tempat pertama. Seronok? Memang seronok, berbohong besarlah jika aku katakan aku tidak rasa apa-apa setelah mengetahui karya aku dinobatkan sebagai pemenang pertama. Kali pertama diadakan agak kelam kabut kerana tempoh menghantar skrip dilanjutkan dan akhirnya pada 21 Julai 2009 majlis penyampaian hadiah berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Buku kecil di atas adalah laporan penuh sayembara ini di adakan dari mula ( mungkin dari biji benih ) hinggalah ke majlis pelancaran novel ( hasilnya buah yang ranum ).
Tiga buah novel diangkat untuk memenuhi ruang hadiah yang disediakan, iaitu 'Kala Yuda', 'Kronikel Bumi' ( Nurul Izwazi Mohd Nor) dan 'Tawanan Komander Caucasus' ( Ruzaini Yahya ). Sementara hadiah penghargaan untuk 'Petaka Bakteria' ( Mohd Kasim Mahmud ) dan 'Rawan ( Hafizah Iszahanid ).

Aku ingin memetik ( walaupun tanpa kebenaran ) ulasan hakim sayembara yang terkandung dalam buku kecil, ' Memecut Di Litar Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi' yang diselarskan oleh Puan Nor Azah Abd Aziz dan Sdr Yosman Mohd Bain :
i. Kriteria. ( panduan dan rujukan dalam membuat penilaian, saringan dan pemilihan ) dipandang dari sudut nilai kognitif, nilai pemikiran, nilai akhlak, nilai keprihatinan, nilai bahasa, nilai kreativiti dan nilai keseimbangan.
ii. Unsur serta bahan sains dan teknologi manuskrip yang dihantar untuk penilaian - kewujudan makhluk asing, alam sekitar, sains politik, teknologi robotik, fizik kuantum, kejuruteraan genetik, sekuriti siber, budaya blog, pengesan elektronik, entomologi, bakterialogi, bioteknologi, nanologi, kejuruteraan air dan ketenteraan, botani, psikologi, psikiatri, perubatan dan kriptozoologi.
iii. Penyertaan melibatkan 22 manuskrip yang memperlihatkan pelbagai latar belakang; mahasiswa, pensyarah, guru, wartawan, jurutera, juruteknologi perubatan, pengawal keselamatan dan penulis sepenuh masa yang melibatkan 14 pengarang wanita dan 11 lelaki.
Demikian petikan secara ringkas laporan panel hakim dan tujuan aku menulis kali adalah untuk sekadar untuk mengenang kembali memori dua tahun yang lalu. Dengar khabar keputusan sayembara ini akan diumumkan tidak lama lagi. Kepada penulis yang menyertai sayembara ini sudah pasti terasa waktu begitu lambat berlalu namun harinya akan tetap tiba.

Selasa, 6 Mac 2012

Koleksi : Ayam Silkie


Semalam selepas habis diskusi novel Kembara Amira di salah sebuah sekolah di Sungai Petani, aku segera ke Taman Songket dan menyelinap ke belakang kampung untuk menjenguk Exotic Bantam Farm milik Shahrom. Memang niat asal untuk mendapatkan koleksi seterusnya, iaitu silkie. terima kasih Shah kerana saya berjaya mengumpul koleksi seterusnya walaupun anak ayam itu baru berusia dalam lingkungan 3 minggu. Namun kunjungan ini menyebabkan aku ingin menambah koleksi seterusnya, polish. Mungkin untuk projek yang seterusnya.