Ahad, 9 Oktober 2011

Buku Rujukan Kembara Amira 2012

Semasa menunaikan haji tahun lepas, ada beberapa permintaan agar aku sediakan buku rujukan untuk novel Kembara Amira yang dipilih menjadi KOMSAS untuk Zon Utara. Lantas selepas pulang ke tanah air, aku usahakan sebuah buku rujukan dengan bantuan isteri. Aku lebih gemar katakan buku tersebut adalah suatu penerbitan belakang rumah kerana semuanya berlaku tanpa dirancang. Alhamdulilah, sambutan yang diterima begitu menggalakkan walaupun masih ada yang belum menyempurnakan bayaran buku yang ditempah ( sudah menjadi adat dalam dunia perniagaan ). Namun semangat masih kuat dan aku serta isteri sudah merancang penerbitan untuk tahun 2012. Kali ini perancangan penerbitan lebih baik apabila dimasukkan soalan-soalan percubaan Zon Utara bagi tahun 2011.

Buku rujukan kali ini dirasakan lebih sempurna dan jika ada sesiapa yang berminat untuk menempah hubungi sahaja 0195629595 ( Pn Suzana Othman ) atau 0142400412 ( Amerhmzah ) dan penghantaran adalah percuma.

Selasa, 4 Oktober 2011

Pertama...pertama dan pertama.

Cerpen pertama yang aku tulis aku berika judul caturrangga. Kebetulan alam hidup aku, selepas aku tinggalkan kampung aku berkenalan dengan dua permainan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran aku. Pertama, ragbi dan yang kedua, catur. Permainan ragbi ( sebenarnya aku langsung tdak tahu hukum hakam permainan ini ) menjadi sedikit kegilaan selepas dipilih menjadi pemain maktab. ( Secara jujur sehingga hari ini aku lebih rela memilih ragbi berbanding bola sepak! ) Kebetulan pula sekarang musim world cup permainan ini. Jadi, aku menjadi pengumpul tshirt permainan dan sekarang aku masih masih berangan-angan memiliki stamina seperti dulu! Permainan dalaman yang berjaya mencuri hati adalah catur dan sama seperti ragbi, aku buta hukum hakamnya!




Cerpen pertama yang aku tulis aku adaptasi dari permainan catur. Setelah tahu serba sedikit hukum hakam bermain ( biasanya tanpa strategi dan aku sering tewas... ) aku mula merangka menulis sebuah cerpen. Cerpen ini kemudiannya aku taip mengguna mesin taip sahabat semasa aku bertugas di Sarawak. Dalam keadaan kosong ( maksud aku perkembangan sastera Malaysia ) aku tidak tahu di mana hendak aku realitikan agar cerpen ini terbit di mana-mana penerbitan. Tanpa aku duga Sasterawan Negara A.Samad Said bersama Allahyarham Abdul Aziz H.M mengunjungi sekolah tempat aku bekerja dalam program Kembara Sastera dan di situ aku bertanya seorang pegawai DBP ( maaf aku tidak pasti namanya ) di mana harus aku mencuba dan menguji cerpen pertama ini. Dia mencadangkan Hadiah Sastera Kenyalang. Itulah cerpen pertama dan hasil pertama yang memenangi sayembara walaupun hadiah sagu hati.


Bertugas dengan tanggungjawab sebagai guru buku teks di sekolah banyak memberi peluang aku berkhayal dan masa-masa yang terluang itu aku kumpulkan apa sahaja perkara dan idea untuk menulis novel ketiga. Maka lahirlah Kembara Amira dan sekali lagi aku terperangkap dengan hakikat sebuah pertanyaan....siapa nak terbit novel sebegini? Aku sedikit fobia untuk bercakap dengan sesiapa sahaja melalui telefon dan aku lebih selesa beresemes. Tetapi demi Kembara Amira aku berani menelefon seseorang di UPND dan seorang wanita memberi maklumat ( juga aku tidak tahu namanya, jika tidak sudah pasti aku belanja nasi kandar! ) dan akhirnya Kembara Amira menyertai medan sayembara...Hadiah Sastera.


Itulah hakikat kisah cerpen pertama dan novel pertama...dan kisah ini akan berterusan hingga entah bila...


Rabu, 21 September 2011

Guru dan berguru...

Sebenarnya manuskrip terbaharu sudah siap diedit dan binding, jadi banyak masa terluang. Lalu aku ulangkaji kembali beberapa edisi bulanan majalah sastera dan tiba-tiba tanpa terduga, aku terfikir siapa guru aku dalam bidang penulisan sastera ini. Semua ini kerana tetamu/tokoh dalam ruang sastera memperihalkan guru dan mahaguru mereka hingga mereka berjaya menjadi penulis. Aku pejam mata sambil bersandar di kerusi rotan separuh uzur mencari titik mula dan aku gagal. Hanya terbayang bangunan sedikit futuristik dan janggal di Lembah Pantai. Perpustakaan Maktab Perguruan Lembah Pantai! Aku katakan janggal kerana bangunan besar, tersergam dan penuh adem itu dirasakan tidak kena pada kedudukan dalam kampus maktab yang sedikit usang! Seingat aku ada beberapa hobi semasa hidup di Key Eel dulu. Kunjungi bangunan futuristik itu, menonton wayang gambar, melihat artis di Pasar Seni atau paling tidak ke Pusat Islam ( melukis dalam perpustaakannya ). Dan bangunan futuristik itulah paling memberi kesan.

Tiada bukti untuk aku katakan aku membaca hampir keseluruhan karya sastera yang disusun kemas dalam bangunan futuristik itu. Jadi kesimpulannya, bangunan itulah guru aku! Baca dan baca atau sedikit melakar kerana keinginan menjadi pelukis ( cita-cita yang ditentang oleh arwah bapa ), lalu lahirlah Caturrangga sebuah cerpen yang kemudiannya disiapkan sewaktu bertugas di Sarawak! Jadi hingga petang semalam, aku masih fikirkan siapa guru aku dan di mana aku berguru sehingga aku sanggup kurangkan tidur, makan dan bersosial untuk siapkan manuskrip ke 7 ini!

Selasa, 31 Mei 2011

Kakak Masuk Kolej

23 Mei yang lalu, kakak melapor diri di Kolej Mara Kulim dan sudah seminggu berada di sana. Alhamdulilah kerana berjaya memasuki kolej dan kedua kerana kedudukan kolej ini dekat dengan rumah. Kata kakak dia berminat bidang Fizik dan Sains Komputer. Jadi kami adik-adik kakak ucapkan tahniah dan peringatan kakak harus belajar dengan tekun. Syabas!