Rabu, 21 September 2011

Guru dan berguru...

Sebenarnya manuskrip terbaharu sudah siap diedit dan binding, jadi banyak masa terluang. Lalu aku ulangkaji kembali beberapa edisi bulanan majalah sastera dan tiba-tiba tanpa terduga, aku terfikir siapa guru aku dalam bidang penulisan sastera ini. Semua ini kerana tetamu/tokoh dalam ruang sastera memperihalkan guru dan mahaguru mereka hingga mereka berjaya menjadi penulis. Aku pejam mata sambil bersandar di kerusi rotan separuh uzur mencari titik mula dan aku gagal. Hanya terbayang bangunan sedikit futuristik dan janggal di Lembah Pantai. Perpustakaan Maktab Perguruan Lembah Pantai! Aku katakan janggal kerana bangunan besar, tersergam dan penuh adem itu dirasakan tidak kena pada kedudukan dalam kampus maktab yang sedikit usang! Seingat aku ada beberapa hobi semasa hidup di Key Eel dulu. Kunjungi bangunan futuristik itu, menonton wayang gambar, melihat artis di Pasar Seni atau paling tidak ke Pusat Islam ( melukis dalam perpustaakannya ). Dan bangunan futuristik itulah paling memberi kesan.

Tiada bukti untuk aku katakan aku membaca hampir keseluruhan karya sastera yang disusun kemas dalam bangunan futuristik itu. Jadi kesimpulannya, bangunan itulah guru aku! Baca dan baca atau sedikit melakar kerana keinginan menjadi pelukis ( cita-cita yang ditentang oleh arwah bapa ), lalu lahirlah Caturrangga sebuah cerpen yang kemudiannya disiapkan sewaktu bertugas di Sarawak! Jadi hingga petang semalam, aku masih fikirkan siapa guru aku dan di mana aku berguru sehingga aku sanggup kurangkan tidur, makan dan bersosial untuk siapkan manuskrip ke 7 ini!

Selasa, 31 Mei 2011

Kakak Masuk Kolej

23 Mei yang lalu, kakak melapor diri di Kolej Mara Kulim dan sudah seminggu berada di sana. Alhamdulilah kerana berjaya memasuki kolej dan kedua kerana kedudukan kolej ini dekat dengan rumah. Kata kakak dia berminat bidang Fizik dan Sains Komputer. Jadi kami adik-adik kakak ucapkan tahniah dan peringatan kakak harus belajar dengan tekun. Syabas!

Ahad, 6 Mac 2011

Memenuhi Undangan

Sepanjang Februari, saya mula memenuhi undangan dan sedaya upaya saya mengelak untuk mengecewakan sesiapapun. Namun sebagai petugas kerajaan segala undangan itu akan dipenuhi setelah mendapat kebenaran ketua jabatan. Sehingga detik ini, alhamdulilah bos saya telah memberi kerjasama yang baik. Maka, pelajar dan guru serta sekolah yang menjemput dapat bertemu dengan pengarang Kembara Amira. Saya betul-betul bahagia walaupun hakikatnya letih dan terpaksa menunda proses kreatif yang terus mendesak diri dan perasaan.

Undangan semakin memenuhi ruang setiap Jumaat. InsyaAllah undangan itu bakal saya penuhi.




Isnin, 24 Januari 2011

Kembara Amira Menguji Medan

Novel Kembara Amira mula menguji medan pengetahuan guru dan pelajar. Aku cuba meninjau pendapat dan komen dalam blog ( terima kasih kerana komen-komen itu ) dan ternyata novel ini benar-benar menguji medan. Apatah lagi buku-buku komersil yang berlambak di pasaran yang mengupas novel ini untuk memudahkan pelajar. Dalam pada aku tertanya-tanya ' perlukah aku masuk campur?'. Tema merupakan medan yang paling menguji kerana setiap blog dan setiap buku rujukan komersil aku lihat berbeza-beza, berbagai-bagai dan aku rasa ada yang kena dan lebih malang tema yang diberi tersasar jauh. Mungkin kerana persediaan yang tergesa-gesa atau penulis upahan begini biasa tidak mengkaji secara mendalam menyebabkan penilaian terhadap tema Kembara Amira berbagai-bagai. Mungkinkah aku perlu bertindak? Entah...

Lebih menarik ada blog memberi komen terhadap nama aku! Nama samaran aku ialah Amer Hmzah L.Kadir dan nama di dalam kad pengenalan Amer Hmzah B. L.Kadir.