Khamis, 26 Mac 2009

Catatan Dalam Catatan

Catatan 1 :
Ketika musafir minggu lepas, pertama kali bersolat Jumaat di Masjid Proton City yang baru dinaiktaraf dari surau kepada masjid. Suasana masjid yang indah walaupun sedikit kecil dipenuhi jemaah yang melimpah hingga ke ruang lobi masjid. Penyampaian khutbah oleh tuan imam padat dan aku tersentuh apabila beliau menukilkan bahawa jika di rumah kita dipenuhi dengan ratusan atau ribuan buku, adakah salah sebuah daripadanya buku tentang sirah Nabi Muhammad SAW? Jika tidak, betapa lemahnya jiwa kita sebagai umat baginda. Mungkin ada antara jemaah yang mengambil tindakan mencari buku-buku yang dimaksudkan oleh imam tersebut dan meletakkannya di rak buku di ruang tamu rumah. Khutbah yang mudah dan amat berkesan.

Catatan 2 :
Dalam kekalutan bermusafir, aku sempat singgah di R&R untuk sarapan. Bersama sahabat yang turut bermusafir di hujung minggu, kami berdua berbincang tentang isu-isu semasa lalu meninggalkan R&R tersebut untuk meneruskan perjalanan ke selatan. Namun beberapa minit kemudian aku tersedar bahawa kami hanya membayar untuk nasi lemak saja. Sedangkan air yang kami togok belum berbayar. Ini bermakna minggu ini kami akan singgah sebentar untuk membayar hutang yang tidak diduga itu.
Catatan 3 :
Aku sedang memandu apabila puteri kedua aku memarahi adiknya - tahu tak adik gagal menyampaikan maklumat dengan berkesan!. Aku terkejut kerana aku tidak menjangkakan anak aku yang berusia 12 tahun itu akan berkata demikian kepada adiknya yang berumur 11 tahun. Mereka berdua saling bertengkar dan tuduh menuduh kerana kegagalan tersebut. Aku hanya tersenyum sambil memandu. Emm... betapa manusia sering gagal ketika berkomunikasi!

Selasa, 24 Mac 2009

Hantu Gigi Jarang


Imbang Penuh
Sekitar tahun 2006, masyarakat Malaysia gempar dengan kisah-kisah 'bigfoot' dari selatan tanah air, iaitu Johor. Terlalu banyak saksi mendakwa melihat makhluk yang lebih dikenali sebagai 'Hantu Gigi Jarang', termasuk juga penemuan kesan tapak kaki yang dikatakan milik lembaga ini. Sesiapa saja yang meminati dunia misteri akan terpikat dengan kisah ini, terutama setelah mendapat liputan yang meluas di kalangan media. Aku juga turut teruja dengan berita ini dan semenjak kisah itu diberi liputan yang meluas, perkataan 'Hantu Gigi Jarang' mula terkenal. Kini sudah 3 tahun dan berita itu 'sejuk' tanpa sebarang perkembangan.

Makhluk ini dikata ditemui secara tidak sengaja sekitar Tanjung Piai, Mersing, Kahang, Kota Tinggi dan Taman Negara Endau Rompin. Malah atas liputan yang meluas pihak media menyebabkan Perbadanan Taman Negara Johor telah membentuk satu pasukan (mungkin saintis) untuk membuat kajian terhadap penemuan ini. Mungkin bidang cryptozoology terlalu baru buat rakyat Malaysia dan sudah pasti banyak peruntukan diperlukan oleh perbadanan ini untuk terus melakukan kajian ini. Cuma ada satu persoalan timbul dari dalam diri, sudah tiga tahun berlalu masih bertemu hantu ini?

Berdasarkan gambaran yang diberi oleh saksi saiz Hantu Gigi Jarang mungkin seperti gambaran di atas. Sudah pasti menarik dan orang yang berjaya menangkap hantu ini sudah pasti akan menjadi jutawan. Lihatlah pameran hantu yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Bukankah rakyat Malaysia suka benda yang pelik-pelik walaupun tidak suka mengkaji benda-benda pelik ini.

Begitu juga penemuan-penemuan UFO yang berlaku sekitar Malaysia tetapi malangnya tiada sebarang imej yang dirakam oleh aksi. Mungkin bidang ini perlu diterokai oleh rakyat Malaysia agar kisah tidak menjadi kisah dan mitos atau dongeng. Zaman kini bukti adalah segala-galanya. Emm...orang-orang Johor tunggu apa lagi!

Isnin, 23 Mac 2009

Kisah Kawan Sebelah

Kawan aku sedang mencari-cari idea untuk menamakan blog yang bakal dia lancarkan sehari dua ini. Jadi dia minta pendapat aku - aku berilah beberapa perkataan dan kemudian sama-sama ketawa. Cuma aku kata fikirkan konsep dulu kemudian belasahlah apa-apa nama. Aku perhatikan dia dan sekarang (10.07am) dia sedang asyik mengisi maklumat untuk mencipta blog. Aku lihat kesungguhannya dan bila aku tanya blog lama macam mana? Dia kata dah lupa kata laluan untuk masuk dan aku kata sebenarnya kau lama tak update! Sekarang aku tunggu lagi dan perhatikan dia (10.09am) masih asyik dan aku harap blognya akan siap sebelum tengah hari ini.

Mudahkan? Jadi jom blog!

Pisang yang bakal disedekahkan oleh jiran aku setelah selesai mencipta blog! Semoga dimurahkan rezeki...

Sabtu, 21 Mac 2009

Jom Aku Belanja!


Ada sesuatu yang enak apabila mendengar kata-kata itu terutama dari seorang yang baru mendapat 'tuntutan perjalanan' atau pengedar kopi kuat yang semakin kembung poket seluarnya akhir-akhir ini! Jadi apa tunggu lagi - jom! Teh yang berbuih, roti canai yang semakin nipis dan ringan dan disudahi dengan sebatang rokok. Sempurna. Tapi cuba rasa teh yang berbuih dan amat manis dan asap rokok yang disedut. Bukankah itu enak?


Cuba lihat reaksi kawan anda apabila anda yang belanja mereka. Jika anda makan roti canai kosong, dia hendak roti canai 'jantan'. Anda minum teh, dia pesan nescafe. Jika anda hirup sup tulang, dia bantai sup ekor. Jadi begitulah suasana yang anda hadapi tetapi anggaplah semua itu sedekah kerana anda sudah pasti ikhlas. Atau mungkin niat ikhlas itu terpesong ketika anda menerima bil! Mungkin juga dia sempat menyapu rokok anda dua-tiga batang, kemudian anda tersengeh membayar dan dia berlalu pergi sambil sendawa!
Tapi bukankah mereka semua rakan baik anda? Ahh...lebih baik belanja anak bini!

Isnin, 16 Mac 2009

Nik Nur Madihah : Antara Realiti Kehebatan Manusia


Sebenarnya aku berkira-kira untuk menulis perkara ini sejak semalam. Saban tahun apabila keputusan SPM dikeluarkan, ada saja idola baru akan muncul dan mendapat perhatian segenap kelompok masyarakat. Kali ini giliran Nik Nur Madihah; seorang pelajar yang kemudiannya kita sedar terlalu daif dalam kehidupan tetapi cemerlang dalam ilmu. Kemudian aku terfikir-fikir apabila Nur Madihah mendedahkan betapa dia sering berpuasa dan hanya makan roti kerana kedaifan keluarganya itu. Jadi di mana letaknya kajian/teori yang mengatakan bahawa faktor pemakanan menentukan kualiti akal seseorang? Jelas teori tersebut hanya satu teori yang boleh diamalkan oleh golongan yang mempunyai wang dan kekayaan. Berita terbaru pula menjelaskan kedaifan yang dialami oleh keluarga ini hingga menyebabkan aku berkata kepada seorang pembaca akhbar "ALLAH membayar secara tunai atas kesungguhan dan keimanannya!"

Apapun tahniah, semoga Nur Madihah tidak tenggelam dengan segala bentuk bantuan yang sedang bertali arus kerana begitulah budaya orang Malaysia! Gunakan peluang yang ada sebaik mungkin dan buktikan bahawa Islam dan Melayu masih kukuh dan wujud di muka bumi ini. Semoga kejayaan ini tidak dimanipulasi oleh golongan kapitalis yang hanya mahu mengaut keuntungan seperti yang berlaku terhadap para genius Malaysia sebelum ini!