Ahad, 22 September 2013

Peta & Cinta

Peta & Cinta - itulah judul manuskrip baharu yang sedang aku usahakan. Entah kenapa aku pilih judul begini; tetapi itulah yang muncul dalam fikiran setelah aku menulis beberapa perenggan. Apa kena mengena peta dengan cinta? Entah kerana proses penulisan baru bermula. Dalam dua malam aku selesaikan tiga bab yang panjang.Pertama kali aku menulis novel tanpa draf ( sutu cubaan yang berani ) dan berharap kisahnya tidak meleret-leret. Dialog yang dicipta agak santai dan dan minimakan watak ( satu lagi cubaan berani ). Sudah lama aku tidak rasakan detik menulis begini kerana selalunya aku terlau berharap pada draf yang telah disediakan. Dan semuanya datang mencurah seperti Niagara sehingga terpaksa melewatkan Isya'.
Apapun aku tidak mengharapkan Cinta mendominasi kisah kerana aku agak rimas apabila menulis tentang cinta. Tetapi adakah cinta itu yang aku maksudkan dalam karya kali ini? Perjalanan masih jauh dan masih banyak yang perlu aku satukan kolaj-kolaj idea agar dapat dibentuk sebuah novel.


Ahad, 7 Julai 2013

Di manakah ilhamku?

Setelah berehat begitu lama, aku kembali mengetuk papan kekunci untuk idea baharu. Aku rasa idea baharu ini memang baik dan paling menguji. Kadang kala aku terbawa-bawa apabila berbual dengan kawan-kawan sambil menghirup kopi. Malah ketika aku membedah  Kembara Amira bersama pelajar-pelajar Zon Utara, aku turut memperkatakan tentang idea aku secara tidak sengaja. Memang idea ini menghantui aku dalam tempoh masa yang agak lama dan aku berharap aku tidak akan bosan melayaninya. Idea kadang kala datang tanpa diduga dan malangnya ketika itu disiplin menulis mula longgar dan rasa amat membosankan.
Pagi tadi aku berada di Seri Baling Inn dan memang bersemangat apabila melihat remaja  seawal usia 13 tahun sudah berminat untuk menjadi penulis sastera. Aku sempat berbual dengan beberapa orang pelajar dan aku lihat ada sinar kesungguhan mereka menimba ilmu penulisan. Salah seorang mengaku membaca Kembara Amira 7 kali walau dia masih di Tingkatan 4. Semua itu tidak pernah aku lalui sebelum ini kerana aku belajar menulis melalui pengalaman dan pengalaman adalah guru terbaik. Terasa cemburu betapa anak-anak ini diberi peluang sedemikian rupa dan rasa itu mencair dalam diri kerana mereka benar-benar serius. Mereka bertanyakan novel terbaharu dan aku memberikan jawapan yang mungkin menakutkan mereka. Satu manuskrip ada di ITBM dan sebuah lagi ada pada Awan Metro Sdn Bhd dan kedua-duanya tanpa berita setelah sekian lama. Jawapan aku adalah hakikat bahawa dunia penghasilan novel di Malaysia memang begitu; kerana ada pepatah mengatakan kalau sudi katakan agar tidak ternanti-nanti.
Sementara itu idea baharu terus meronta agar ia dilepaskan ke skrin komputer. Namun idea ini begitu liar. Sudah lima kali bertukar gaya penulisan. Pertama ( dirasakan basi ), kedua ( terlalu serius nilai sejarahnya ), ketiga ( santai dengan kisah pertualangan ), empat ( hanya 1 bab ) dan lima ( masih tersangkut hingga sekarang ). Ramadan bakal menjelma dan aku harap kekuatan diri juga begitu. Biarlah idea ini terus mengalir atau sekadar bermain-main di fikiran. Kini aku sedar bahawa kerja menulis bukan sesuatu yang mudah dan tidak semudah aku menghasilkan novel-novel yang lalu.
Di manakah ilhamku?


Ahad, 27 Januari 2013

id - Demi Kepuasan Diri






'id' lebih merupakan satu kepuasan diri apabila dihasilkan sepanjang tahun 2010. Entah kenapa novel-novel yang aku hasilkan lebih kepada cara sebuah filem di layar perak; cuma aku sampaikan dalam bentuk teks. 'Kembara Amira', ' Kala Yuda', malah 'Krisandra-Cinta Yang Lara', juga begitu. Aku mahu pembaca nampak apa yang ingin aku sampaikan. Mungkin ramai tidak menggemari cara begini kerana aku bertindak memasukkan apa yang aku rasa penting dan sebaliknya orang lain merasakan benda itu tidak penting.

'id' lahir dengan idea spontan kerana memang aku tidak berniat untuk masuk bertanding. Biarlah 'Kala Yuda' memahat sejarah tersendiri dalam sayembara fiksyen sains ini. Tetapi idea spontan donut yang dimakan separuh di atas meja makan menyebabkan aku terfikir bagaimana sekiranya aku berjalan di atas donut itu dan mahu ke seberang sana untuk menyempurnakan satu bulatan. Lalu aku kaitkan dengan teori X dan Y. Teori-teori begini memang menjadi minat utama illuminati; sebuah gerakan besar Yahudi. Teori yang menyesatkan manusia dan melanggar fitrah manusia! Kemudian muncul unsur penyelamat ( Teori Messiah ) yang aku rasakan digunakan pakai oleh semua pemenang musim kedua. Jadi kesimpulannya, semua penulis yang ada minat dengan fiksyen sains akan terikat dengan teori penyelamat ini walaupun secara sedar atau tidak. 'id' tidak terkecuali. Eva menjadi penyelamat agar program 'Megalania' tidak digunakan sebagai suatu cara untuk mengubah fitrah manusia. Eva diberi program khas yang dibangunkan oleh Phia untuk mematikan sistem 'Megalania' agar tidak disalahgunakan oleh Tuba.

'id' lebih santai berbanding 'Kala Yuda'. ( ramai yang mempertikai kemenangannya ). 'Kala Yuda' lebih merupakan kuih lapis; berlapis-lapis dan pembaca yang gagal adalah pembaca yang tidak dapat menelah apa yang ingin aku sampaikan. Berbanding 'id' ( berdasarkan sebiji kuih! ), ceritanya lebih mudah dan tidak menguji pembaca 'id' mungkin karya terakhir untuk sayembara ini dan aku rasa sudah cukup. Cuma sekarang aku menanti karya fantasi yang amat aku gemar. Saban hari aku berdoa agar karya ini terbit dengan segera dan selepas itu aku selesa untuk berhenti menulis!

Ahad, 13 Januari 2013

Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim II

Majlis penyampaian hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Kumpulan Utusan-UTM musim II berlangsung pada 06.12.2012 di Dewan tun Hussein Onn, PWTC sekitar jam 3.00 petang. tidak seperti biasa, aku bawa satu keluarga kerana kebetulan sehari sebelum itu kami pulang bercuti dari Sabah. Aku mempertaruhkan 'id' dalam gelanggang dan boleh kira bernasib baik mendapat hadiah saguhati. Tanpa diduga aku bertemu dengan Prof Madya Dr Talib Samat dan mendengar berita-berita baharunya tentang pelancaran trevelognya di Pulau Pangkor ( kisah pencarian susur galur Datuk Menteri di Pulau Seychelles ) dan projek terbaharu penceritaan/pengisahan orang sastera berasal dari Felda di Institut Darul Aman. Seronok juga berbual dengannya. Kemudian bertemu dengan mantan editor UPND Sdr. Rozlan serta editor baharu Sdr Badrol. Kemudian masuk ke dalam dewan bertemu pulak dengan pemenang-pemenang hebat dan dihiburkan dengan dikir barat, kemudian makan-makan dan balik.
 Inilah rupa kulit depan 'id'...



Rabu, 29 Ogos 2012

Fantasi Menjadi Realiti ( Dalam Proses Kreatif )


Alhamdulilah setelah usai Ramadan, diri ini kembali aktif 'mencipta draf' untuk novel seterusnya. Ketika disoal oleh Dr Fatimah Busu - kenapa anda menulis novel - jawapan saya - untuk menulis apa yang tidak ditulis oleh orang lain! Dan sepanjang penghasilan novel; bermula dengan Kembara Amira, ada saja yang telah saya tulis ( pada asalnya suatu fantasi ) kemudiannya terbukti terjadi. Umpamanya, dalam Kembara Amira, saya menyentuh tentang penemuan 'emas orang bodoh' oleh Amira dan Itai. Tanpa saya duga beberapa tahun kemudian terdapat berita di dalam akhbar tentang penemuan emas tersebut di Malaysia.




Dalam Kala Yuda, saya menggambarkan Adam ( anak Saerah ) seorang kanak-kanak autistic savant yang mempunyai kebolehan luar biasa ( walaupun hakikatnya kanak-kanak cacat ) yang mempunyai kemampuan berfikir yang tidak terduga oleh manusia. Kemampuan Adam berfikir begitu diistilahkan sebagai photografic memories terbukti memang terdapat dalam dunia realiti.




Pemuda dalam gambar di atas ialah Stephen Wiltshire ( London ) adalah seorang autistic savant yang mempunyai kemampuan photografic memories berjaya melukis kota raya New York setelah terbang di atas bandar raya itu selama 20 minit.




Dalam salah satu mimpi saya, saya melihat bagaimana semut menguasai dunia dengan kekuatan yang mereka miliki. Dalam akhbar Utusan ( 25 Ogos ) yang lalu ada berita tentang 1 000 ekor semut spesis formica lugubris telag dipasang dengan alat radio oleh pasukan penyelidik Universiti York. Dan semut ini dilepaskan di Longshaw Estate dengan tujuan kajian komunikasi.

Adakah perkara ini saya telah tuliskan dalam proses kreatif saya?