Isnin, 24 Oktober 2011

Memori Haj : Makhluk Allah Jua ( Merai Tetamu Allah )

Ada berita mengatakan ketika kemuncak haji, MasjidilHaram menerima tetamu antara 4 hingga 7 juta jemaah. Memang sendat seluruh kawasan masjid. Aku ingin ceritakan kisah makhluk lain selain manusia yang memenuhi seluruh tanah haram waktu haji. Di tepi Elaf al Sud ada suatu koloni kucing jalanan yang mendiami bahagian bawah bangunan kecil pencawang elektrik ( bangunan ini seakan-akan sebuah kontena ) dan di pagar. Aku perhatikan ada beberapa ekor kucing jalanan ini mempunyai nilai komersil sekiranya berada di Malaysia, jika dijual mungkin mencecah ratusan ringgit. Termasuk seekor berbulu putih yang sentiasa menunggu di suatu kawasan kafe di Madinah. Koloni ini mendapat habuan makanan dari jemaah haji dan semua kucing ini sihat.

Lalat! Aku akui Makkah memang banyak lalat tetapi lalat yang tidak menyusahkan. Masalah jemaah ialah batuk dan berkahak, jadi di atas jalan memang banyak benda yang menyebabkan lalat-lalat mengerumuni benda-benda itu tetapi alhamdulilah, lalat tudak akan terbang dan hingap atas makanan jemaah haji. Cuba bayangkan jika keracunan berlaku. Sudah pasti melibatkan jumlah manusia yang cukup besar. Ribuan burung merpati memenuhi jalanan dan terdapat penjual kacang hijau bersedia dengan bungkusan kacang hijau untuk ditaburkan kepada burung-burung yang dikatakan berasal dari peliharaan puteri Nabi.

Makkah juga untuk mahluk lain bukan hanya untuk manusia!

Ahad, 23 Oktober 2011

Memori Haj : Hotel ( Merai Tetamu Allah )

Di Makkah, aku dan isteri menginap di Hotel Elaf alSud dan di Madinah pula Hotel Anwar Movenpick. Sekali aku dan isteri menginap di Concord Makkah untuk berehat. Elaf alSud seolah-olah bersandar pada tebing batu ( ini bersesuaian dengan nama hotel ini ) agak selesa. di sekitarnya terdapat beberapa terowong; antaranya dua terowong ke Masjidil Haram dan sebuah terowong ke bandar baharu al Aziziyah. Sebilik kami seramai tujuh orang dan aku yang berusia begini adalah yang paling muda. Sementara yang paling tua berumur 76 tahun yang aku panggil tok wan. Memang aku akui aku lalui tiga puluh hari lebih hari-hari yang menyeronokkan. Banyak ilmu, pengalaman dan aku tetap rindu bual bicara, kisah lucu dan perbincangan serius tentang hukum dan aturan haji ( sambil minum teh yang disediakan oleh Pak Ya seorang tukang masak kenduri kahwin dari Baling ). Elaf al Sud dilengkapi dengan klinik, pejabat ursan tabung haji dan kafe. Pekerja hotel adalah anak muda dari Indonesia dan Bangladesh. Sementara pekerja kafe anak muda dari Patani ( yang banyak dengan kisah ngeri hidup di Patani yang mungkin akan diselitkan kemudian ). Aku rasa Elaf al Sud amat menarik ketika pagi selepas Subuh hingga waktu sarapan kerana semuanya ada dijual di perkarangan hotel yang sesuai dengan selera aku dan isteri. Elaf al Sud benar-benar meriah!

Lobi Elaf al Sud menjadi tumpuan aku setiap jam 11.00 malam. Secawan teh uncang bercawan kertas ( awalnya berharga SR2.00 dan menjadi SR1.00 setelah aku boleh memesan teh dalam bahasa Malabari! ), beberapa batang rokok dan Nokia; aku baca Utusan Online. Aku amat tertarik dengan cara penghantaran air ke hotel. Beberapa lori tangki akan mengepam air ke bumbung hotel kerana di Tanah Haram tiada paip bawah tanah, lori air zam-zam, teksi/van untuk ke Tana'im ( untuk berniat umrah ) keran jemaah haji lebih gemar melakukan umrah pada waktu malam yang lebih dingin dan selesa., pemuda Melayu-Arab dengan lagak bersama Camry dan Honda ( penjual simcard telefon dan top up ); jalan depan Elaf al Sud memang hidup!

Di Madinah, Movenpick lebih selesa kerana pertama satu bilik hanya tiga orang dan kebetlan Madinah berada dalam musim sejuk. Memang memoi ini masih kuat dan berharap aku akan berkunjung ke sana buat kali kedua dan seterusnya.

Khamis, 20 Oktober 2011

Memori Haj : Penerbangan ( Sempena Merai Tetamu Allah )

Hakikatnya apabila mengetahui penerbangan ke Jeddah menggunakan 'kapal arab' ( Saudi Arabian Airlines ) sedikit mengecewakan kerana aku dan isteri mengharapkan Malaysian Airlines, tetapi kerana menerima semua yang berlaku dari awal adalah dugaan dan cabaran dalam rutin mengerjakan haji, aku dan isteri terima sahaja. Telahan aku tepat kerana apabila itik dan ayam bertemu ( maksud aku apabila bahasa Melayu dan bahasa Arab bertemu ),; komunikasi terus runtuh! Mungkin aku dan isteri adalah antara tetamu Allah yang muda ( walaupun umur kami berdua sudah melepasi 40 tahun ) berbanding majoriti jemaah warga emas; kami mudah faham dengan arahan dalam kabin. Aku lihat penggunaan tandas paling teruk dan mencemaskan ( kebetulan tempat duduk aku dan isteri betul-betul mengadap tandas dan pada mulanya isteri meluahkan rasa lega kerana ruang kaki yang agak luas ). Penerbangan lebih dari 8 jam memang menjemukan dan sudah pasti menguji kemampuan warga emas yang ada masalah pundi kencing. Semakin lama keadaan semakin teruk dan isteriku mula berharap agar penerbangan balik kami tidak berada berhampiran tandas! Lantai tempat letak kaki kami mulai basah dan pramugara yang merupakan pemuda dari Palestin dan Mesir mula bising kerana masalah penggunaan tandas penerbangan yang tidak betul. Lebih kelam kabut jemaah warga emas lupa di mana tempat duduk mereka! ( Aku ingin cadangkan agar kursus haji perdana turut mendedahkan cara penggunaan tandas penerbangan ). Bayangkan jika titisan air dari tandas menyentuh kabel yang mungkin terdedah dan akhirnya... Aku nekad tidak masuk ke dalam tandas sepanjang penerbangan dan berdoa agar pundi kencing aku tidak mendesak kerana aku sudah berihram dan khuatir terkena najis!


Ketika 'kapal arab' semakin menghampiri Lapangan terbang King Abdul Aziz, keadaan semakin terkawal dan tenang. Aku dan isteri ambil peluang berbual dengan pramugara yang berasal dari Palestin. Menggunakan bahasa Inggeris yang seminimanya tetapi mudah difahami, aku sedar dia adalah pramugara kontrak untuk musim haji. Saling bercerita hingga menjadi mesra dan dia ingin tahu jumlah gaji isteri apabila mengetahui isteriku bekerja. Aku lihat wajahnya sedikit berubah keana terkejut. Dari cerita yang disampaikan, aku dapat tahu dasar diskriminasi masih diamalkan di negaranya kerana menurutnya gaji peerja wanita lebih rendah berbanding gaji pekerja lelaki ( betulkah? ). Dia turut kagumi orang Melayu Malaysia kerana belajar baca al Quran dan kemudian belajar memahami bahasa Arab untuk memahami maksud al Quran.

Semasa 'kapal arab' memasuki 'bay', dia bersalam dengan aku dan berdoa agar haji kami haji mabrur, berharap dapat bertemu dalampenerbangan pulang dan dia kata dia suka Malaysia! Istimewanya 'kapal arab', penerbangan pulang dari Lapangan terbang Madinah ( tidak sampai satu jam perjalanan bas dari hotel ). Dan lebih terasa istimewanya, beg-beg yang dibawa pulang terus masuk ke dalam perut kapal terbang walaupun pada mulanya kami risau dengan barang yang dibeli melebihi berat. Selamatlah beberapa kilo kurma Ajwa, kacang-kacang dan gula-gula.

Hakikatnya aku sudah tidak bertemu dengan Ahmad, pramugara Palestin dalam penerbangan pulang.

Isnin, 17 Oktober 2011

Mencipta draf

Mencipta draf suatu proses yang amat aku gemari kerana aku boleh lakukan di mana sahaja yang aku mahu. Umumnya sebatang pen dan sekeping kertas A4 sudah memadai dan tambahan pula sekarang ini perkembangan pesat android ( gajet pintar ) amat membantu. Namun aku lebih gemar sebatang pen dan sekeping kertas kerana sempadan idea yang dapat aku curah dan lakarkan ; seolah-olah tiada. Draf ini boleh bermula dengan apa sahaja; lakaran atau huruf pertama, yang kemudiannya berkembang biak menjadi teras idea untuk sesuatu cerita. Draf bukan sesuatu yang tetap kerana ia boleh berubah atau kadang kala tidak banyak membantu, malah ada kalanya langsung tidak membantu kerana aku tidak mahu menggunakannya. Ini menyebabkan draf itu dibuang begitu sahaja hinggalah aku terfikir betapa baik sekiranya aku terus menyimpannya kerana kemungkinan besar suatu hari nanti aku akan gunakan catatan dan lakaran itu. Aku sertakan satu draf yang aku buat ketika aku menghadiri suatu taklimat. Jadi setelah selesai sahaja taklimat itu aku hanya mendapat satu draf dan perkara yang dtaklimatkan...kosong! Tangan terasa gatal dan idea datang secara tiba-tiba ( kemungkinan taklimat yang aku hadiri menjemukan! ), lantas aku catat dan lakar. Entah bila pula draf ini akan bertukar menjadi sebuah manuskrip.

Ahad, 9 Oktober 2011

Buku Rujukan Kembara Amira 2012

Semasa menunaikan haji tahun lepas, ada beberapa permintaan agar aku sediakan buku rujukan untuk novel Kembara Amira yang dipilih menjadi KOMSAS untuk Zon Utara. Lantas selepas pulang ke tanah air, aku usahakan sebuah buku rujukan dengan bantuan isteri. Aku lebih gemar katakan buku tersebut adalah suatu penerbitan belakang rumah kerana semuanya berlaku tanpa dirancang. Alhamdulilah, sambutan yang diterima begitu menggalakkan walaupun masih ada yang belum menyempurnakan bayaran buku yang ditempah ( sudah menjadi adat dalam dunia perniagaan ). Namun semangat masih kuat dan aku serta isteri sudah merancang penerbitan untuk tahun 2012. Kali ini perancangan penerbitan lebih baik apabila dimasukkan soalan-soalan percubaan Zon Utara bagi tahun 2011.

Buku rujukan kali ini dirasakan lebih sempurna dan jika ada sesiapa yang berminat untuk menempah hubungi sahaja 0195629595 ( Pn Suzana Othman ) atau 0142400412 ( Amerhmzah ) dan penghantaran adalah percuma.

Selasa, 4 Oktober 2011

Pertama...pertama dan pertama.

Cerpen pertama yang aku tulis aku berika judul caturrangga. Kebetulan alam hidup aku, selepas aku tinggalkan kampung aku berkenalan dengan dua permainan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran aku. Pertama, ragbi dan yang kedua, catur. Permainan ragbi ( sebenarnya aku langsung tdak tahu hukum hakam permainan ini ) menjadi sedikit kegilaan selepas dipilih menjadi pemain maktab. ( Secara jujur sehingga hari ini aku lebih rela memilih ragbi berbanding bola sepak! ) Kebetulan pula sekarang musim world cup permainan ini. Jadi, aku menjadi pengumpul tshirt permainan dan sekarang aku masih masih berangan-angan memiliki stamina seperti dulu! Permainan dalaman yang berjaya mencuri hati adalah catur dan sama seperti ragbi, aku buta hukum hakamnya!




Cerpen pertama yang aku tulis aku adaptasi dari permainan catur. Setelah tahu serba sedikit hukum hakam bermain ( biasanya tanpa strategi dan aku sering tewas... ) aku mula merangka menulis sebuah cerpen. Cerpen ini kemudiannya aku taip mengguna mesin taip sahabat semasa aku bertugas di Sarawak. Dalam keadaan kosong ( maksud aku perkembangan sastera Malaysia ) aku tidak tahu di mana hendak aku realitikan agar cerpen ini terbit di mana-mana penerbitan. Tanpa aku duga Sasterawan Negara A.Samad Said bersama Allahyarham Abdul Aziz H.M mengunjungi sekolah tempat aku bekerja dalam program Kembara Sastera dan di situ aku bertanya seorang pegawai DBP ( maaf aku tidak pasti namanya ) di mana harus aku mencuba dan menguji cerpen pertama ini. Dia mencadangkan Hadiah Sastera Kenyalang. Itulah cerpen pertama dan hasil pertama yang memenangi sayembara walaupun hadiah sagu hati.


Bertugas dengan tanggungjawab sebagai guru buku teks di sekolah banyak memberi peluang aku berkhayal dan masa-masa yang terluang itu aku kumpulkan apa sahaja perkara dan idea untuk menulis novel ketiga. Maka lahirlah Kembara Amira dan sekali lagi aku terperangkap dengan hakikat sebuah pertanyaan....siapa nak terbit novel sebegini? Aku sedikit fobia untuk bercakap dengan sesiapa sahaja melalui telefon dan aku lebih selesa beresemes. Tetapi demi Kembara Amira aku berani menelefon seseorang di UPND dan seorang wanita memberi maklumat ( juga aku tidak tahu namanya, jika tidak sudah pasti aku belanja nasi kandar! ) dan akhirnya Kembara Amira menyertai medan sayembara...Hadiah Sastera.


Itulah hakikat kisah cerpen pertama dan novel pertama...dan kisah ini akan berterusan hingga entah bila...