Isnin, 29 Mac 2010

Fantasi

Dalam apa keadaan sekalipun, pengarang mestilah mempunyai daya imaginasi yang kuat hatta pengarang itu menulis kisah benar sekalipun. Jadi untuk menjadi pengarang, seseorang itu mesti kuat berkhayal, penuh imaginasi dan mewahkan fantasi. Tahun lepas aku sudah siapkan sebuah manuskrip penuh fantasi yang aku cadangkan kemudiannya untuk jadikan trilogi ( aku harap aku mampu dan jika terlebih mampu aku akan jadikan empatlogi ka, limalogi ka... ). Kisah-kisah fantasi itu terus mendesak aku saban malam dan memaksa aku meletupkan papan kekunci laptop yang semakin kerap tertinggal huruf ini ( kawan aku kata banyak debu dan habuk di bawah punat-punat papan kekunci tu... ). Jadi tahun ini aku sedang siapkan manuskrip kedua sebagai sambungan kisah fantasi ini. Entah kenapa aku menghasilkannya dan tidak pernah memikirkan penerbitan mana yang berminat untuk menerbitkannya, hanya sekadar aku ingin katakan pelajar sekolah rendah sudah harus membaca buku-buku tebal yang mencapai 400 muka surat. Mungkin sudah sampai waktunya berlaku revolusi dalam dunia pembacaan rakyat Malaysia. Seingat-ingat aku, aku sudah membaca Hikayat Hang Tuah (versi Kassim Ahmad), Warisan Prosa Klasik dan Hikayat Panji Samerang sewaktu aku sekolah rendah dulu. Jadi mungkin kerana pembacaan yang sudah berusia puluhan tahun itu mendesak aku berfantasi sekarang. Dari sudut logik akal - tinggalkan seketika kerana anda sedang berfantasi. Doakan agar karya ini berjaya menarik minat penerbit dan insyaAllah anda akan disirami fantasi yang tidak diduga sama sekali!

Rupa-rupanya karya fantasi begini lebih sukar untuk dihasilkan!

Khamis, 25 Mac 2010

Kuala Lumpur Oh! Kuala Lumpur

Semalam ketika membelasah papan kekunci untuk menghilangkan rasa ketagih, radio Sinar menyiarkan sebuah lagu Search - lalu aku teringatkan Kuala Lumpur. Hujung 1980an aku berada di Kuala Lumpur, suatu tempat yang tidak pernah aku duga untuk menghirup udaranya yang pekat dan bersatu dengan ribuan penghuninya. Namun aku rasakan Kuala Lumpur yang pernah aku nikmati itu telah hilang bersama kerakusan manusia dan pembangunan. Dari kolej aku hanya perlu membayar 50 sen untuk masuk ke perut ibu kota menggunakan bas mini yang sarat. Lalu turun di Chow Kit, berjalan kaki tanpa tujuan, menyusuri kaki lima lalu singgah di kedai buku dan akhirnya merayau seketika di Pertama Kompleks. Meninjau pawagam (sesuatu yang gemar aku lakukan apabila poket aku mengizinkan aku membeli sekeping tiket). Kemudian melangkah lagi menuju Pasar Seni dan duduk mencangkung sambil mendengar Sani Sudin, PyanHabib, Imuda atau melihat gelagat Nasir Jani membaca puisi dan menjual stensilan puisi mereka dengan harga yang murah. Kemudian menghirup teh tarik serata mengunyahsekeping roti canai di restoran kepala ikan. Aku pernah cadangkan kepada Samsudin Othman agar kolej kami juga aktifkan baca pusi bawah tiang lampu. Namun cadangan itu hanya cadangan sahaja.

Tetapi hari ini aku rasa suasana itu sudah sukar untuk aku nikmati!

Selasa, 23 Mac 2010

Pesta Buku Untuk Siapa?

Untuk siapa sebenarnya pesta buku ini? Saban tahun pesta buku diadakan dan aku sering tertanya-tanya untuk siapa sebenarnya pesta buku ini diadakan? Adakah hanya orang Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang sahaja yang membaca buku? Bagaimana pula dengan orang utara, orang timur dan orang yang berada terlalu jauh dari ibu kota ini? Dalam usaha kempen galakan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia yang dikatakan amat memalukan, pihak yang menganjur pesta-pesta buku ini tidak bersikap realistik. Seharusnya pesta buku besar begini diadakan dalam bentuk zon agar semua penggemar buku dapat menikmati urusan membeli dengan potongan harga yang besar. Tetapi malangnya, pesta ini hanya untuk orang tertentu sahaja.

Untuk pihak pengurusan pesta buku, tolong fikir sikit!
(Poster pun guna tahun 2009 kerana 2010 belum ada! - Amin Fotopages)

Isnin, 8 Mac 2010

Ketagihan Tahap Aura

Setelah beberapa bulan tahap ketagihan aku sudah tidak dapat dibendungkan lagi. Ketagihan yang amat teruk hingga menjadikan aku tidak tentu arah. Setiap malam tidur aku terganggu dek ketagihan yang amat sangat ini. Bukan sebarang ketagihan kerana untuk menghilangkan ketagihan ini, aku memerlukan masa beberapa bulan. Tetapi sehingga entri ini ditulis aku belum melakukan sebarang tindakan untuk menghilangkan rasa ketagih ini. Lantas aku dapatkan sebuah buku nota; melakar, menggaris dan mencatat agar rasa ketagihan itu berkurangan. Namun semua itu belum memadai. Aku masih mencari alternatif agar rasa ketagihan itu segera hilang dan buat sementara waktu aku rasa masa yang tersedia belum sesuai untuk melakukan apa-apa.

Jangan tersalah jangka. Aku bukan ketagih rasa tembakau dari England. Cuma setelah berehat sekian lama dan Kala Yuda mencatat kejayaan tidak terduga, aku masih belum menulis apa-apa. Lantas untuk menghilangkan rasa ketagihan mengetuk papan kekunci laptop yang semakin uzur ini, aku rangka sebuah karya popular. Hanya sekadar untuk menghilang rasa ketagih yang amat sangat. Aku penuhi buku nota dengan pelbagai catatan. Memang benar, ketika ini aku sedang membelai biji benih agar beberapa hari nanti akan tumbuh daun muda hijau. Lalu tumbuh akar muda, daun, dahan, ranting dan akhir sekali buah yang ranum dan nikmat.

InsyaAllah dalam masa beberapa bulan nanti akan lahir sebuah karya lagi.

Sabtu, 6 Mac 2010

Kisah Siput Babi Lagi...

Ahh...terpaksa! Sekali lagi aku terpaksa mengkritik syarikat-syarikat mega yang berkhidmat seperti siput babi. Lembab! Semalam ketika aku mengunjungi sebuah bank untuk mengeluarkan wang simpanan aku menerusi ATM, aku dapati yang keluar hanya sekeping resit tanpa wang. Bengang... kerana bayaran bulanan estima aku masih belum dijelaskan lagi. Aku tunggu, tunggu, tunggu dan terus menunggu tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan oleh bank ini. Dari pukul 9.30 pagi terus lanjut ke pukul 11.00 pagi. Namun tiada perubahan. Semua mesin ATMnya seperti kedekut hendak keluarkan wang. Wang masuk boleh tetapi wang keluar tidak boleh! Hampas! Aku perhatikan 'front officer'nya yang mulut becok seperti 'makcik radio' pura-pura mesra tetapi bangang kerana tidak tahu masalah mesin ATM di hadapan mata. Dia tidak nampakkah orang beratur dan akhirnya kecewa kerana yang keluar hanya resit dan bukan wang!

Akhirnya aku angkat kaki sambil menyumpah seranah bank yang tak guna! Menyusahkan pengguna! Tiada tanggungjawab sosial! Argh........!
(Gambar dari sumber : Hongkiat.com)